Default – Above Header Ads

Mining Kripto Masih Menguntungkan Ke?

Dulu Bitcoin disamakan dengan lombong emas. Pada tahun 2008, Satoshi Nakamoto telah memperkenalkan sistem pembayaran elektronik peer-to-peer yang telah membuka pintu ke dunia baru pintu kebebasan kewangan. Dan bukan itu sahaja, Nakamoto telah memperkenalkan satu sistem pengesahan transaksi berdasarkan insentif untuk memastikan keseluruhan sistem berjalan dengan lancar.

Pada awalnya, Bitcoin hanya menarik perhatian mereka yang sudah terlibat dalam bidang kriptografi, komputer sains dan yang mempunyai ideologi yang sama untuk menggunakan sistem ini. Jadi, tidak hairanlah jika pada awal perkenalan Bitcoin, ganjaran Bitcoin yang diberikan untuk aktiviti perlombongan Bitcoin adalah besar.

Perlombongan Bitcoin telah berkembang hari hanya segelintir peminat dan penyokong Bitcoin dalam industri yang baru sahaja wujud, kepada apa yang kita ada hari ini, iaitu sebuah industri yang melibatkan pengeluar peralatan perlombongan dan syarikat perlombongan besar.

Jika dahulu sesiapa sahaja yang mempunyai komputer boleh melombong Bitcoin, kini hanya mereka yang mempunyai peralatan perlombongan berkuasa tinggi sahaja yang akan menganggap usaha mereka setimpal dengan kos perbelanjaan mereka. Kebanyakan pelombong pada hari ini adalah mereka yang membayar untuk mendapat tempat dalam mining pool yang dikuasai syarikat perlombongan besar.

Hakikatnya, perlombongan matawang kripto tidak akan menguntungkan bagi individu atau mereka yang ingin melakukannya dalam skala yang kecil. Tetapi adakah ia berbaloi untuk syarikat besar juga? Sebelum kita menjawab persoalan itu, mari kita ulangkaji balik apa itu perlombongan matawang kripto.

Sistem Matawang Kripto

Kita sedia tahu sistem matawang kripto berdasarkan blockchain mempunyai infrastruktur yang berbeza berbanding bank, institusi kewangan atau mana-mana syarikat perkhidmatan pemindahan wang. Sistem yang tidak memerlukan pengantara ini sebaliknya memberi insentif kepada sesiapa sahaja dalam rangkaian untuk mengesahkan transaksi dengan cara menyelesaikan masalah matematik rumit, tercipta dari kriptografi, dan membentuk blok baru.

Blok

Dalam setiap blok terdapat transaksi Bitcoin, yang dipilih dari mempool iaitu di mana transaksi yang belum disahkan diletak, dan kemudiannya direkod oleh pelombong sehingga ia membentuk satu blok yang akan dihubungkan ke blok-blok sebelumnya dalam satu rantaian. Dan inilah yang dinamakan Blockchain.

Proof of Work

Protokol Proof-of-Work yang diperkenalkan oleh Satoshi Nakamoto adalah aktiviti kriptografi yang perlu diselesaikan oleh pelombong untuk membentuk blok baru dalam rangkaian. Untuk belajar tetang proses yang berlaku dengan lebih mendalam, anda boleh baca artikel Apa itu hash function dan Apa yang anda perlu tahu hashrate.

Dalam artikel di atas, penulis membincangkan tentang hash, iaitu teka-teki kriptografi yang perlu diselesaikan oleh pelombong.

Ganjaran blok

Pelombong akan mendapat ganjaran blok daripada menyelesaikan teka-teki kriptografi dan membentuk blok baru. Jumlah itu pada awalnya ditetapkan pada 50 Bitcoin, dan dibahagi dua kepada 25 Bitcoin, pada tahun 2012, dan dibahagikan lagi kepada dua pada tahun 2016 dan kini adalah 12.5 Bitcoin setiap blok baru. Peristiwa pembahagian ganjaran blok yang seterusnya dianggarkan pada tahun 2020.

Pembahagian blok akan berterusan sehingga kesemua 21 juta Bitcoin telah dikeluarkan. Satu-satunya cara untuk melombong Bitcoin baru adalah melalui ganjaran blok, dan hanya pelombong sahaja yang boleh melakukannya.

Melombong Bitcoin; Untung atau Tidak

Ramai yang apabila mengetahui tentang perlombongan Bitcoin teruja untuk menyertainya untuk mendapatkan ganjaran blok dalam Bitcoin. Ya, 10 tahun yang lalu, anda masih boleh terus menggunakan komputer anda untuk melombong Bitcoin. Namun begitu, kini lain pula ceritanya.

Satoshi Nakamoto telah mencipta peraturan dalam perlombongan Bitcoin untuk memastikan keseluruhan sistem sentiasa berjalan dengan lancar. Peraturan yang telah ditetapkan adalah semakin banyak kuasa komputer dalam rangkaian, semakin sukar untuk menyelesaikan teka-teki kriptografi itu. Dalam erti kata lain, tahap kesukaran dalam proses perlombongan akan diselaraskan secara otomarik kepada jumlah keseluruhan kuasa dalam rangkaian.

Semakin banyak pelombong dalam rangkaian, semakin sukar teka-teki itu; dan apabila ramai yang menarik diri, tahap kesukaran akan berkurang. Kitaran inilah yang mengimbangi jumlah pelombong dalam rangkaian secara efisyen, kerana tahap kesukaran ditetapkan supaya blok baru boleh ditambah setiap 10 minit.

Dan persoalan sama ada melombong menguntungkan atau tidak; jawapan pendek adalah “tidak”.

Jawapan panjang adalah ia bergantung kepada kapasiti anda, perbelanjaan, dan juga harga matawang kripto.

Evolusi perlombongan matawang kripto bermula dengan pelombong individu, kepada cip khusus ASIC yang berkuasa tinggi kepada syarikat besar yang menguasai mining pool. Jika anda baru mahu berkecimpung dalam perlombongan matawang kripto, anda perlu melihat banyak faktor seperti: hash rate, ganjaran blok, tahap kesukaran, kos dan penggunaan tenaga, yuran mining pool, harga matawang kripto dan banyak lagi kos lain.

Anda mesti sudah mendengar tentang syarikat Bitmain yang terpaksa menghentikan pekerjanya kan? Ataupun syarikat perlombongan GigaWatts yang sudah bankrap? Ataupun jumlah penjualan Nvidia yang jatuh teruk? Dalam keadaan pasaran yang menurun ini, syarikat besar pun terjejas. Apatah lagi pelombong individu.

Ada yang berkata perlombongan matawang kripto selain dari Bitcoin, atau Ethereum masih lagi menguntungkan. Ya, mungkin betul kerana tidak begitu banyak persaingan. Namun begitu, seperti yang disebut di atas, banyak lagi faktor lain yang perlu dipertimbangkan, terutama harga matawang kripto itu sendiri.

Jika anda betul-betul ingin mencuba nasib dalam perlombongan anda boleh cuba mencari matawang kripto yang senang untuk dilombong dan boleh menggunakan GPU seperti Ravencoin, Grin, ZENCash, AEON, Electroneum, Feathercoin, Monero, Dogecoin, dan Vertcoin. Banyak lagi matawang kripto lain dalam pasaran yang boleh dipilih. Apapun pastikan anda membuat penyelidikan dan pengiraan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti perlombongan anda.

Selamat Berjaya!

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.