Default – Above Header Ads
EXMO affiliate program

Pengawalan Bitcoin di Negara-negara Lain

Update 22/1/2018: Artikel ini pertama kali keluar pada 30 Mei 2017. Sewaktu ia dikeluarkan, kerajaan Jepun baru sahaja mengumumkan bahawa negara itu akan mengiktiraf Bitcoin sebagai legal tender. Beberapa bulan kemudian, kerajaan China mengumumkan larangan terhadap ICO dan baru-baru ini negara Korea Selatan, India, dan Malaysia sudah mula mengorak langkah untuk mengawal urus niaga Bitcoin. Dalam artikel ini, penulis telah mengemaskini maklumat tentang pengawalan Bitcoin yang sudah dijalankan dalam beberapa negara termasuk India, Jepun, Australia, Singapura, China dan Malaysia sendiri.


Sejak trend Bitcoin mula tersebar di seluruh dunia, banyak negara sudah mencuba untuk menyekat penggunaan Bitcoin di negara mereka. Namun begitu, semakin hari semakin mereka sedar bahawa fenomena ini tidak boleh disekat lagi. Ini adalah kerana kelebihan Bitcoin yang menjadikan ia tidak boleh dikawal selia oleh mana-mana pihak. Justeru itu, beberapa negara sedang membuat pertimbangan untuk menguatkuasakan pengawalan bitcoin atau regulated circulation. 

Masalah pengawalan Bitcoin

Sebenarnya, tidak semudah itu untuk mengenakan peraturan ke atas penggunaan Bitcoin. Masalah paling utama adalah kerana pemilikan dan urusan jual beli Bitcoin adalah berasaskan konsep anonymity. Struktur Bitcoin ini yang menggunakan teknologi blockchain hanya menggunakan kombinasi public key dan private key untuk menjalankan proses transaksi. Oleh kerana itu, kawalan Bitcoin sangat susah kerana tiada siapa tahu identiti penjual atau pembeli Bitcoin.

Tambahan lagi, Bitcoin bukan satu-satunya mata wang kripto yang boleh digunakan. Ini menyebabkan kawalan semua altcoin sukar dan kompleks. Kebanyakkan pemilik Bitcoin juga tidak mahu masuk campur penguatkuasa dalam hal berkaitan bitcoin. Ini boleh dilihat di negara Amerika Syarikat, di mana pemilik bitcoin tidak melaporkan bitcoin mereka dalam borang cukai walaupun terdapat undang-undang yang menguatkuasakan cukai ke atas Bitcoin di negara itu.

Negara-negara yang terlibat dalam pengawalan bitcoin

Walaupun terdapat pelbagai masalah untuk mengawal Bitcoin, banyak negara sudah mula merancang untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan Bitcoin. Hari ini penulis akan berkongsi beberapa contoh negara yang sudah mempunyai undang-undang Bitcoin atau sedang memulakan proses untuk mengawal selia penggunaan Bitcoin.

India

Tahun 2013 yang lalu, Reserve Bank of India (RBI) telah mengeluarkan satu pernyataan tentang amaran menggunakan mata wang kripto atau virtual. Kerajaan negara itu melihat penggunaannya berisiko tinggi kerana tiada nilai asas. Kenyataan RBI itu juga memberitahu orang ramai bahawa mereka akan menyiasat penggunaan mata wang kripto di negara itu.

Kenyataan itu diulang kembali pada awal tahun 2017 oleh kementerian kewangan negara itu dengan tambahan tentang status mata wang kripo yang menyalahi undang-undang. Ternyata kenyataan itu tidak diambil endah oleh orang ramai kerana transaksi bitcoin di negara itu kekal sama. Pada 12 April 2017, kerajaan India telah mengumumkan bahawa mereka sedang membentuk satu komiti untuk melaksanakan undang-undang ke atas Bitcoin. Komiti yang terdiri daripada central bank dan beberapa institusi kewangan lain, dijangka akan membentangkan laporan akhir dalam masa 3 bulan.

Yang terbaru, bank-bank di India termasuk State Bank of India, Axis Bank, HDFC Bank, ICICI Bank dan Yes Bank kini telah membekukan akaun-akaun yang disyaki terlibat dalam jual beli Bitcoin. Tindakan bank-bank tersebut telah menyebabkan platform pertukaran di India seperti Koinex terpaksa memberhentikan operasi mereka buat sementara waktu. Dan pada yang sama juga, harga Bitcoin jatuh kembali setelah pulih pada hari minggu lalu kesan sentimen negatif terhadap tindakan bank negara itu.

China

People’s Bank of China (PBOC) telah mengambil langkah pertama dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas penggunaan bitcoin pada 5 Disember 2013. Institusi-institusi kewangan di negara itu telah dilarang sama sekali untuk menguruskan transaksi bitcoin. Dalam kenyataan PBOC di laman web mereka, larangan ini termasuk meletakkan harga, membeli, menjual dan menawarkan produk insurans yang berkaitan bitcoin.

Walaupun begitu servis-servis pertukaran bitcoin di negara itu tetap menjalankan jual beli bitcoin seperti biasa dan permintaan untuk bitcoin di China semakin meningkat. Pada tahun 2014, PBOC telah mengeluarkan arahan supaya bank-bank komersial dan syarikat-syarikat yang menguruskan pembayaran bitcoin untuk menutup operasi mereka selama dua minggu.

Awal tahun ini PBOC telah memulakan pemeriksaan on-site ke atas tiga servis pertukaran terbesar China, OKCoin, BTCChina, and Huobi. Laporan mengatakan bahawa pemeriksaan sudah hampir tamat dan ketiga-tiga servis pertukaran itu akan dikenakan penalti pentadbiran. Baru-baru ini syarikat kewangan media terbesar China, Caixin, telah mendedahkan bahawa PBOC telah menyiapkan draf undang-undang berkenaan perniagaan bitcoin dan servis pertukaran yang akan dikuatkuasakan bulan Jun nanti.

Pada bulan September yang lalu, tindakan kerajaan China melarang ICO di negara itu menyebabkan beberapa platform ICO popular ditutup. Ia juga menjadi signal kepada negara-negara lain untuk mempertimbangkan pengawalseliaan ke atas matawang kripto. Selain itu, kerajaan negara itu juga telah meminta platform pertukaran di negara itu menghentikan operasi mereka. Kini, rakyat China hanya boleh membeli matawang kripto melalui platform pertukaran peer-to-peer atau pasaran over-the-counter. Jika dahulu China mendominasi pasaran jual beli Bitcoin, kini Amerika Syarikat yang telah mengambil tempatnya, berikutan penutupan platform pertukaran di Korea Selatan.

Jepun

Pada 7 March 2014, kerajaan Jepun telah menetapkan bahawa bitcoin tidak akan dianggap sebagai mata wang atau bon di negara itu di bawah Akta Perbankan dan Undang-undang Instrumen Kewangan dan Pertukaran. Keputusan itu juga mengimplikasikan bahawa tiada undang-undang di negara itu yang melarang individu dan organisasi daripada menerima bitcoin dalam pertukaran barangan dan perkhidmatan.

Bermula 1 April 2017, kerajaan Jepun telah mengumumkan undang-undang berkenaan perniagaan dan pertukaran bitcoin telah berkuatkuasa dan bitcoin secara rasminya diterima sebagai mata wang di negara itu. Seksyen 3 dalam Akta Perbankan negara Jepun kini mengandungi penyataan tentang mata wang virtual yang mengenali bitcoin dan altcoin lain sebagai kaedah pembayaran yang sah.

Jepun dianggap sebagai satu-satunya negara Asia yang mengambil tindakan positif terhadap Bitcoin. Pengiktirafan Bitcoin di negara itu telah membuka peluang kepada perniagaan untuk menerima Bitcoin sebagai bayaran dan reformasi cukai dimana cukai keatas pembelian Bitcoin ditarik balik telah menarik ramai pelabur luar untuk membeli Bitcoin di pasaran Jepun. Kerajaan Jepun juga telah memberi galakkan kepada syarikat teknologi untuk menjalankan penyelidikan ke atas teknologi Blockchain dan penggunaannya, malah sedang develop Blockchain mereka sendiri, dipanggil “miyabi”, untuk mengembangkan industri perbankan di negara itu.

Australia

Negara itu menganggap mata wang kripto sebagai aset, dan semua transaksi yang melibatkan mata wang kripto boleh dikenakan cukai. Pada 20 Ogos 2014, Pejabat Cukai Australia (ATO) telah mengeluarkan kertas garis panduan serta draf-draf untuk menguatkuasakan undang-undang ke atas mata wang krypto.

Menurut ATO, GST akan dikenakan ke atas Bitcoin yang dijual dan keuntungan pula akan dikenakan cukai. Penguatkuasaan undang-undang itu telah menimbulkan masalah dari segi double-taxing apabila GST dikenakan ke atas barangan dan servis serta mata wang kripto yang di gunakan dalam transaksi. Pada awal tahun lalu juga kerajaan Australia telah mengesahkan bahawa undang-undang yang menjadikan Bitcoin mata wang biasa dan bukan aset akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2017.

Singapura

Kerajaan Singapura telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan masuk campur dalam hal jual beli menggunakan Bitcoin pada Disember 2013. Namun begitu, pada Januari 2014, Jabatan Cukai Singapura, Inland Revenue Authority of Singapore telah mengeluarkan garis panduan berkenaan pembelian, penjualan dan pertukaran Bitcoin untuk perniagaan tempatan dan individu yang memiliki Bitcoin.

Dalam panduan itu, jika sesuatu perniagaan menggunakan Bitcoin dalam operasi mereka, cukai akan dikenakan ke atas keuntungan daripada Bitcoin yang diperoleh. Menukar barangan dan servis dengan Bitcoin pula akan dikenakan GST. Bitcoin tidak dianggap sebagai barangan, ataupun matawang di negara itu. Sebaliknya GST yang dikenakan adalah ke atas servis menjual Bitcoin.

Dasar tidak campur kerajaan Singapura dalam hal matawang kripto juga telah menjadikan Singapura sebagai lokasi yang sangat ideal untuk syarikat-syarikat teknologi membuka cawangan di situ. Malah, Monetary Authority of Singapore dan The Associations of Banks in Singapore telah berjaya mencipta software prototype menggunakan teknologi Blockchain untuk kegunaan bank di negara itu di masa terdekat ini.

Malaysia

Di negara kita sendiri, Bank Negara telah mengeluarkan kenyataan pada 3 Januari 2014 mengumumkan bahawa penggunaan Bitcoin atau mata wang digital tidak diiktiraf sebagai sah. Mereka juga tidak mengawal selia urus niaga Bitcoin. Ramai orang berpendapat ini adalah perkara yang baik, kerana ketiadaan cukai atau campur tangan pihak berkuasa untuk mengawal Bitcoin.

Tetapi baru-baru ini, pihak LHDN telah mengeluarkan kenyataan bahawa jual beli Bitcoin tertakluk di bawah Akta Cukai 1967 dan akan dikenakan cukai pendapatan. Ramai yang berpendapat ia tidak adil memandangkan Bitcoin tidak diiktiraf sebagai legal tender di Malaysia. Sebenarnya, kerajaan Malaysia mengikut jejak langkah beberapa negara lain yang tidak mengiktiraf Bitcoin namun mengenakan cukai keatasnya, seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Jerman.

Penulis rasa ini hanyalah langkah-langkah awal sebelum kerajaan mengawal selia urusan matawang kripto sepenuhnya. Adakah Malaysia akan menjadi seperti Korea Selatan dan China, atau Jepun dan Singapura? Apa pendapat anda?