Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Mana Lagi Selamat, Hot Wallet atau Cold Wallet?

Dalam dunia alam nyata, kita ada pelbagai cara untuk menyimpan matawang fiat. Paling utama adalah dalam bank. Ada yang menyimpan wang tunai dalam dompet, di bawah tilam, atau dalam peti rahsia yang disembunyikan. Ada yang simpan antara buku, dalam tabung babi comel dan banyak tempat lagi. Pendek kata, banyak tempat simpanan untuk duit kita yang kita anggap selamat.

Dalam dunia matawang kripto pun begitu juga, tetapi pilihan dia tidak begitu banyak seperti alam nyata. Kita boleh bahagikan wallet untuk matawang kripto kepada dua: hot wallet dan cold wallet. Dan seperti matawang fiat, dua-dua mempunyai cara penyimpanan yang berbeza dan juga tahap keselamatan yang berbeza.

Tetapi, yang mana satu lebih selamat?

Jom kita rungkaikan tentang kedua-duanya dalam artikel ini.

Perbezaan

Satu perbezaan besar antara keduanya adalah cold wallet adalah jenis wallet yang membentuk dan menyimpan private key anda di luar talian (offline) manakala hot wallet pula ada potensi untuk dedahkan private key anda kepada Internet jika anda tidak berhati-hati dengan wallet itu.

Kenapa perbezaan ini penting? Kita sedia tahu apa sahaja yang boleh dihubungkan dengan Internet mempunyai risiko besar kepada godaman menggunakan trojanphishing, keylogging dan macam-macam lagi aktiviti yang menjejaskan maklumat peribadi anda.

Dalam erti kata lain, ia adalah tahap keselamatan wallet itu. Hot wallet adalah umpama akaun semasa anda dan cold wallet adalah seperti akaun simpanan anda. Akaun simpanan menyimpan majoriti duit anda, dan akaun semasa hanya mempunyai sebahagian kecil yang digunakan untuk berbelanja.

Hot wallet

Seperti yang disebut di atas, hot wallet adalah wallet yang selalunya berhubung dengan Internet. Hot wallet boleh melibatkan private key anda dipegang oleh organisasi lain seperti bursa pertukaran kripto atau projek matawang kripto itu sendiri, atau private key yang anda simpan, seperti desktop wallet.

Online wallet

Wallet jenis ini adalah wallet yang boleh diakses melalui pelayar web. Contohnya di bursa pertukaran tidak kira peer-to-peer atau berpusat seperti Remitano, Binance, Bitfinex, Gemini, Coinhako dan sebagainya. Hot wallet ini dianggap cara penyimpanan yang paling mudah dicairkan kerana ia menghubungkan anda secara langsung kepada platform perdagangan.

Namun begitu, ia adalah yang paling berisiko untuk godaman. Mesti anda selalu dengar cerita tentang bursa pertukaran kripto yang digodam kan? Ini adalah kerana bursa pertukaran ini kebanyakkannya menggunakan hot wallet walaupun mereka boleh sahaja menggunakan kombinasi cold wallet/hot wallet.

Sama juga dengan pengeluar matawang kripto itu sendiri. Terdapat banyak projek matawang kripto yang menawarkan wallet di laman web mereka untuk menyimpan kripto. Ia akan berisiko tinggi jika projek kripto itu tidak mempunyai cold wallet untuk menyimpan dana pengguna. Sebagai pengguna kripto yang bijak, anda perlu memilih bursa pertukaran yang sekurang-kurangnya menggunakan cold wallet dan hanya menyimpan sebahagian dari simpanan anda untuk mengurangkan risiko.

Contoh: Bittrex, Bitfinex, Binance, Gemini

Kelebihan:

  • Kecairan yang cepat; paling mudah untuk akses perdagangan
  • Sesuai untuk jumlah yang kecil dan penggunaan kripto yang cepat

Kekurangan:

  • Private key anda disimpan oleh pihak ketiga
  • Risiko godaman dan kehilangan dana

Desktop wallet

Wallet jenis ini adalah aplikasi yang anda muat turun dari laman web ke komputer peribadi anda. Private key anda akan disimpan dalam ruangan simpanan di komputer anda. Alternatif ini lebih baik dari segi keselamatan kerana anda tahu di mana private key anda, tetapi anda masih lagi terdedah kepada risiko godaman, kecurian komputer, ruangan simpanan terpadam dan sebagainya.

Selalunya pengguna kripto akan menyimpan desktop wallet di dalam komputer yang jarang digunakan untuk berhubung dengan Internet. Namun begitu, proses untuk menggunakannya agak leceh dan mengambil masa.

Contoh: Exodus, Multibit, Bitcoin Core

Kelebihan:

  • Menyimpan private key di komputer anda
  • Lebih selamat daripada online wallet

Kekurangan:

  • Masih terdapat risiko godaman, kecurian dan sebagainya
  • Jika komputer anda rosak, anda mungkin kehilangan private key anda selamanya

Mobile wallet

Satu lagi hot wallet yang semakin popular adalah mobile wallet. Banyak desktop wallet yang sudah mengeluarkan versi mobile wallet untuk kemudahan pengguna. Ia adalah cara yang cepat dan mudah untuk akses wallet anda. Kelebihannya adalah kombinasi online wallet dan desktop wallet, tetapi ianya juga terdedah kepada kombinasi risiko kedua-duanya.

Contoh: Mycelium, Breadwallet, Jaxx, Coinomi

Kelebihan:

  • Anda menyimpan private key di telefon pintar anda
  • Boleh mengurus dan akses aset kripto dengan mudah dan cepat

Kekurangan:

  • Lebih terdedah kepada serangan siber seperti keylogging, phishing, rooting dan banyak lagi
  • Jika telefon pintar anda hilang, selamat tinggal kriptoku.

Cold wallet

Senang cerita, cold wallet ni tidak berhubung dengan Internet, ataupun sebahagiannya offline. Terdapat beberapa jenis cold wallet yang boleh dipilih.

Paper wallet

Pernah tak tengok Bitcoin paper wallet?

Sumber: bitcoinpaperwallet.com

Secara amnya, paper wallet adalah kertas yang mempunyai private key dan juga public key anda di atasnya. Ini adalah cara paling asas dan selamat untuk menyimpan private key anda dari godaman. Namun begitu, tidak seperti wallet digital, anda perlu menaip sendiri alamat private/public key anda setiap kali anda ingin menggunakannya.

Jika anda salah taip? Macam biasa, selamat tinggal kriptoku.

Paper wallet terbaik jika anda ingin HODL kripto anda sampai bila-bila atau menghadiahkannya kepada girfriend/boyfriend/tunang/isteri/suami/anak/ibu/bapa/datuk/nenek dan sebagainya.

Kelebihan:

  • Tidak boleh digodam (selagi tidak digunakan dalam transaksi)
  • Jika anda jutawan Bitcoin, boleh simpannya di paper wallet

Kekurangan

  • Terdedah kepada risiko kecurian, tersilap recycle, masuk dalam shredder dan sebagainya
  • Susah untuk dicairkan
  • Risiko mata juling sebab menaip alamat kripto dan salah taip

Hardware wallet

Boleh dikatakan wallet jenis ini paling popular sebagai alternatif online wallet. Ini adalah kerana tahap keselamatannya yang tinggi berbanding wallet lain. Wallet ini adalah alat digital yang menyimpan private key anda dalam perisiannya dan juga memproses transaksi anda tanpa anda terdedah kepada risiko kehilangan private key anda di Internet.

Caranya adalah dengan menghubungkan alat anda ke komputer anda dengan menggunakan kabel USB. Tambahan lagi, anda juga boleh menyimpan pelbagai matawang kripto dalam wallet ini, membolehkan anda mengurus aset kripto anda dengan mudah. Walaupun begitu, alat ini agak mahal berbanding alternatif lain dan proses memindahkan simpanan anda ke tempat lain juga mengambil masa.

Contoh: Trezor, Ledger Nano S (review di sini)

Kelebihan:

  • Menyimpan private key anda dengan selamat
  • Dianggap cara paling selamat untuk menyimpan kripto
  • Boleh menyimpan pelbagai kripto

Kekurangan:

  • Mahal
  • Proses pemindahan kripto mengambil masa dan tidak ideal untuk pedagang harian
  • UI yang kurang mesra dan sukar difahami
  • Sukar untuk dibeli terutama mereka yang di luar Amerika Syarikat

Kesimpulan

Kini anda sudah tahu perbezaan hot wallet dan cold walletanda boleh membuat pilihan sendiri tentangnya. Ia adalah pilihan antara keselamatan dan juga kemudahan penggunaan. Jadi, bergantung kepada penggunaan anda, kedua-dua jenis wallet boleh menjadi sesuai untuk anda.

Apa yang penting adalah anda membuat keputusan berdasarkan penyelidikan menyeluruh kerana itulah peraturan no.1 di dalam dunia kripto ini.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads