An image for a post on 'nilai mata wang krypto'

Kesilapan pelabur-pelabur

Pasaran untuk mata wang krypto kini sedang berkembang dengan begitu laju sekali. Jumlah modal pasaran bagi keseluruhan mata wang krypto yang di senaraikan sudah melebihi USD$111 bilion. Angka ini sudah meningkat lebih enam kali daripada sejak Januari yang lalu, di mana jumlah modal pasaran adalah sebanyak USD$18 bilion.

Di sebalik gambaran yang positif itu, nilai mata wang krypto mudah untuk turun dan naik. Ini adalah kerana pelabur-pelabur besar yang melabur dalam mata wang krypto sedikit sebanyak mempengaruhi trend demand and supply di pasaran.

Fenomena masa kini yang semakin menular dalam masyarakat adalah Fear of Missing Out (FOMO). FOMO adalah suatu perasaan bimbang atau takut yang dihadapi jika didapati orang lain sudah lebih awal memperoleh sesuatu. Dalam kes ini, setiap mata wang krypto yang mendapat pulangan tinggi menarik minat pelabur untuk membuat pelaburan.

Namun begitu, sifat mata wang krypto yang mudah turun naik menyebabkan pelabur amat sensitif dengan harga mata wang krypto yang jatuh. Kebanyakan mereka akan mula menjual semula token mereka dan menyebabkan harga pasaran jatuh lebih mendadak. Pelabur-pelabur ini akan menyedari kesilapan mereka yang terburu-buru apabila harga mata wang krypto kembali naik dan menyebabkan mereka menarik diri daripada melabur sama sekali.

Kesilapan ini mungkin dapat dielakkan jika pelabur dapat meramalkan masa depan mata wang krypto. Sama seperti bursa saham, ramalan jangka masa pendek dan panjang mata wang krypto bergantung kepada beberapa faktor seperti potensi projek, produk-produk yang dikeluarkan, penerimaan orang ramai dan banyak lagi.

Ramalan jangka masa panjang

Kali ini penulis ingin menyentuh tentang ramalan dari segi ekonomi dan fokus kepada dua mata wang krypto paling atas: Ether dan Bitcoin. Ramalan jangka panjang ini mungkin akan berguna kepada pelabur-pelabur yang berminat untuk menyimpan mata wang krypto mereka dan bukannya untuk day trade.

Jika kita melihat saiz ekonomi dunia, GDP nomina pada tahun 2016 adalah USD$ 78 trilion. Menjelang tahun 2020, IMF menganggar GDP nomina akan meningkat ke USD$91 trilion.

Dan pada masa itu, kita juga boleh mengandaikan bahawa sebahagian daripada GDP nomina dunia akan melingkungi teknologi blockchain. Palancaran Enterprise Ethereum Alliance yang baru-baru ini, pelaburan besar daripada institusi perbankan dunia dalam teknologi blockchain, negara-negara seperti Rusia dan China yang dilihat semakin berminat untuk mendigitalkan mata wang mereka – peristiwa-peristiwa ini adalah bukti-bukti yang jelas menunjukkan mata wang krypto semakin mendapat nama di mata dunia.

Jadi, mari kita mengambil angka yang mudah dan agak realistik untuk meramalkan harga Ether dan Bitcoin menjelang 2020. Jika kita mengandaikan bahawa 5% daripada GDP nomina dunia adalah berkaitan teknologi blockchain, nilai keseluruhan mata wang krypto dianggarkan dalam USD$4.55 trilion.

Memandangkan Ethereum dan Bitcoin adalah mata wang krypto paling atas, kita akan membahagikan jumlah saiz market mata wang krypto kepada: 25% Bitcoin, 25% Ether dan 50% bagi semua mata wang krypto yang ada di pasaran. Ini bermakna BTC dan ETH, masing-masing akan mewakili sebanyak USD$1.1375 trilion.

Nilai Bitcoin

Menjelang 2020, sebanyak lebih kurang 18,375,000 BTC akan dikeluarkan. USD$1,137,500,000,000 dibahagikan dengan 18,375,000 BTC = setiap BTC bernilai lebih kurang $61,900, kenaikan lebih +2,200% daripada sekarang.

Nilai Ether

Nilai Ether agak sukar untuk dikira kerana kita tidak tahu jumlah sebenar Ether dan impak penggunaan Proof-of-Stake kepada pengeluaran Ether. Berdasarkan model pengeluaran asal Ether tahun 2014, anggaran pengeluaran Ether pada tahun 2020 adalah di antara 100 juta hingga 162 juta Ether. Jadi kita akan menggunakan limit bawah iaitu 100 juta Ether.

USD$1,137,500,000,000 dibahagikan dengan 100,000,000 ETH = setiap ETH bernilai USD$11,375, kenaikan lebih +4,000% daripada sekarang.

Rumusan

Ini hanya ramalan yang mudah, tidak mengambil kira spekulasi pasaran serta pengaruh-pengaruh luar seperti pengawalan kerajaan dan lain-lain. Ramalan ini mungkin boleh menjadi lebih positif atau sebaliknya, tetapi kalau kita melihat trend kini, sememangnya mata wang krypto semakin diterima di seluruh dunia dan trajektorinya positif.

Apa yang penting adalah anda peka dengan perubahan trend bukan sahaja di pasaran mata wang krypto tetapi juga polisi negara-negara terhadap mata wang krypto. Kemungkinan besar mata wang krypto bakal menggantikan mata wang fiat di masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here