an image on a post about bitcoin gold

25 Oktober 2017. Satu lagi tarikh penting dalam sejarah Bitcoin. Ada apa dengan tarikh itu? Ramai yang sudah tahu, tetapi bagi mereka yang masih belum tahu, pada 25 Oktober nanti, blockchain Bitcoin akan melalui satu lagi hard fork dan mencipta satu matawang kripto baru, iaitu Bitcoin Gold (BTG). Proses yang akan berlaku lebih kurang sama seperti yang pernah berlaku dengan Bitcoin Cash sebelum ini, dan anda tidak perlu melakukan apa-apa untuk persediaan menerima matawang kripto baru ini.

Mengapa hard fork ini berlaku?

Jika hard fork yang berlaku pada 1 Ogos lalu berkaitan dengan isu scalability yang dihadapi Bitcoin, hard fork kali ini adalah berkaitan isu monopoli aktiviti mining Bitcoin. Seperti yang kita tahu, sistem Bitcoin menggunakan algoritma SHA-256 dan kadar kesukaran mining Bitcoin naik dan turun berdasarkan tempoh masa untuk membentuk 2,016 blok sebelumnya.

Monopoli melalui penggunaan ASIC

Pada awal kewujudan Bitcoin, penggunaan CPU biasa mencukupi untuk mining Bitcoin, namun begitu lama kelamaan dengan kadar kesukaran yang semakin meningkat, miners mula mencari jalan untuk mining Bitcoin dengan lebih efektif dan efisyen. Mereka mula menambah baik cip yang sedia ada dan mencipta Application Specific Integrated Circuits (ASIC), yang mula digunakan untuk mining Bitcoin.

Lama-kelamaan, dengan hash power yang meningkat disebabkan penggunaan ASIC ini, aktiviti mining Bitcoin menjadi semakin mahal dan sukar bagi mereka yang tidak mempunyai cip tersebut. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat besar mula membeli kelengkapan ASIC dengan banyak dan akhirnya, merekalah yang memonopoli aktiviti mining Bitcoin.

Semakin ramai miners yang menyertai mining pool mereka, semakin banyak ASIC yang digunakan dan ini menyebabkan aktiviti mining Bitcoin kini lebih centralized dan kuasa di tangan kumpulan miners ini yang berpusat di China. Bitmain adalah syarikat yang memiliki lebih 28.9 peratus daripada keseluruhan processing power dalam aktiviti mining Bitcoin melalui mining pool AntPool dan BTC.com. Untuk perspektif dalam bentuk kewangan, angka 28.9 peratus ini bersamaan dengan sejumlah Bitcoin yang dilombong setiap hari yang bernilai lebih kurang USD$2 juta.

Bitcoin Gold ingin mengembalikan akses mining kepada sesiapa sahaja

Dari segi kepakaran dalam industri, Bitmain dilihat sebagai syarikat yang sangat progresif dan sepatutnya diraikan. Namun begitu, ramai pengkritik dalam komuniti Bitcoin menganggap monopoli syarikat itu adalah bertentangan dengan konsep decentralized Bitcoin, dan terdapat risiko di mana rangkaian blockchain Bitcoin dimanipulasi oleh Bitmain yang boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem Bitcoin.

Kesan daripada itu, sekumpulan miners merancang untuk membuat satu lagi hard fork ke atas blockchain Bitcoin dan menjana Bitcoin Gold. Menurut developer Bitcoin Gold yang menggunakan nama samaran “The Sorrow”, Bitcoin Gold akan menggunakan algoritma mining yang berbeza daripada SHA-256, iaitu Equihash. Equihash adalah protokol proof-of-work yang digunakan oleh matawang kripto Zcash, dan ia berdasarkan ruangan memori. Dalam erti kata lain, kebolehan untuk mining Bitcoin Gold adalah berdasarkan jumlah memori (RAM) yang ada dalam komputer.

Untuk permulaan, kadar kesukaran mining Bitcoin Gold akan diselenggara setiap blok, berbanding Bitcoin yang diselanggara setiap dua minggu. Ini adalah untuk memberi kemudahan kepada miner yang menggunakan GPU untuk membentuk blok mengikut kadar kesukaran. Kod yang sama yang digunakan dalam Bitcoin Cash, replay protection, juga digunakan untuk mengelakkan pengguna daripada membelanjakan Bitcoin ataupun Bitcoin Gold tanpa sengaja.

Adakah Bitcoin Gold akan bersaing dengan Bitcoin?

Menurut developer Bitcoin Gold, matawang kripto itu bukanlah pesaing Bitcoin dan tidak akan menjejaskan rangkaian blockchain Bitcoin yang sedia ada. Jumlah Bitcoin tidak akan bertambah dan akan kekal pada 21 juta. Bitcoin Gold boleh dianggap sebagai contingency plan jika hard fork berkaitan protokol Segwit2x bulan November akan datang tidak berjalan dengan lancar.

Seperti misi Bitcoin Cash, Bitcoin Gold juga ingin mengembalikan konsep decentralized Bitcoin yang terancam kesan daripada monopoli satu golongan miners. Oleh itu, penyelesaian yang diutarakan oleh Bitcoin Gold dilihat sebagai pelengkap sistem Bitcoin yang sedia ada, dan berbanding Bitcoin Cash yang telah membahagikan komuniti Bitcoin kepada dua (penyokong dan penentang Bitcoin Core), Bitcoin Gold tidak menjejaskan komuniti Bitcoin, hanya memberi peluang kepada lebih banyak GPU miners untuk menyertai aktiviti mining.

Kesimpulan

Sama ada Bitcoin Gold akan menjejaskan komuniti Bitcoin atau tidak, kita hanya akan tahu selepas 25 Oktober. Namun begitu, berita seperti ini sudah pasti akan memberi kesan kepada pemilik Bitcoin yang kurang arif tentang hal ini. Ini adalah kerana sentimen panik yang timbul akibat daripada berita tentang hard fork berlaku, walhal ianya perkara yang menjadi kebiasaan dalam dunia matawang kripto. Jadi, sebelum anda membuat keputusan menjual Bitcoin anda secara panik (dan memandangkan harga Bitcoin pun sudah mencecah lebih RM20,000 pada hari ini), pastikan anda belajar dulu tentang hard fork dan apa kesannya kepada matawang kripto terlebih dahulu!

 

1 COMMENT

  1. Payah betul nak predict pergerakan crypto. Walaupun terdapat kebimbangan tentang implikasi Segwit2x ni, BTC tiba-tiba melonjak. Dengan mudah resistance $5,000 boleh pecah. Bukan setakat tu – harga terus meningkat hingga ke $5,700 dalam masa 24 jam!

    Nampak gaya macam ramai orang dok target nak dapatkan Bitcoin Gold. Dengan harapan akan jadi macam Bitcoin Cash. Mereka jual altcoins untuk convert ke BTC. Rasa macam altcoins sekarang ni `murah’. Tapi tidak mustahil boleh jadi lebih murah pada masa terdekat ni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here