an image on a post about cashless society

Baru-baru ini Khairy Jamaluddin telah mengeluarkan kenyataan tentang sasaran menjadikan Malaysia sebagai “cashless society” menjelang tahun 2050. Di Malaysia, nilai transaksi dalam segmen pembayaran mudah alih (mobile payment) adalah USD$7 billion berbanding negara China yang mempunyai nilai transaksi sebesar USD$786 bilion. Sasaran 2050 itu menunjukkan Malaysia masih lagi perlu melonjak lebih jauh untuk mencapai status cashless society.

Menurut Wikipedia, cashless society menggambarkan keadaan ekonomi di mana transaksi kewangan tidak dijalankan menggunakan wang dalam bentuk fizikal seperti wang kertas dan syiling, tetapi melalui pemindahan maklumat digital sebagai perwakilan matawang diantara dua pihak.

Namun begitu, dalam konteks masa kini, cashless society bukan sahaja merangkumi transaksi menggunakan kad kredit atau debit tetapi ia juga meliputi penggunaan matawang kripto dalam dunia sebenar. Tidak mustahil dalam masa beberapa tahun lagi, negara maju termasuk Amerika Syarikat, Jepun, dan China akan beralih sepenuhnya ke transaksi digital.

Transformasi China menjadi Cashless Society

Jadi, dalam post ini, penulis ingin mengambil kesempatan untuk bercerita tentang negara China yang sebenarnya sudah lama memulakan transformasi menjadi cashless society. Sejak tahun 2014 lagi, negara tersebut sudah implementasi era mobile payment, atau pembayaran mudah alih. Pada tahun 2016 sahaja, mobile payment di negara China mencecah lebih 38.6 trilion yuan (USD$5.75 trilion), kenaikan lebih 200 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kini sudah hampir 70 peratus daripada populasi di negara China menggunakan perkhidmatan pembayaran mudah alih ini. Perkembangan pasaran e-commerce di negara itu adalah hasil daripada penambahan pasar online Alibaba, iaitu Taobao dan Tmall, dan juga JD.com yang dimiliki oleh syarikat teknologi Tencent. Jumlah pembeli barangan online di China sahaja adalah lebih 467 juta orang.

Di China, hampir semua restoran dan kedai makan menerima bayaran dalam bentuk digital. Malah, lebih 68 peratus kedai yang menerima pembayaran mudah alih terdiri daripada kedai runcit dan gerai makanan. Rata-rata penduduk China tidak membawa wang tunai ke mana-mana, dan hanya membayar secara tunai untuk saiz transaksi yang kecil sahaja.

Aplikasi Alipay dan WeChat

Anda pasti pernah mendengar tentang Alipay dan WeChat Pay, bukan? Kedua-dua ini adalah aplikasi pembayaran mudah alih yang sangat popular di negara China. Wechat diperkenalkan oleh syarikat teknologi Tencent sebagai aplikasi mesej pada tahun 2011. Dalam masa beberapa tahun sahaja, aplikasi itu telah berkembang menjadi platform yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk membeli-belah, membuat bayaran bil, memanggil teksi dan macam-macam lagi.

Pengguna WeChat sudah mencecah lebih 850 juta orang dan 87.4 peratus daripadanya menggunakan aplikasi WeChat Pay yang ditawarkan. Proses pembayaran melalui aplikasi WeChat Pay sangat mudah dengan hanya menggunakn kod QR di kedai-kedai. Aplikasi WeChat telah membina satu ekosistem perkhidmatan yang hebat – bermula dari aplikasi mesej/media sosial, dan berkembang ke perkhidmatan di dunia sebenar.

Sumber: technode.com

WeChat adalah pesaing terbesar Alipay, yang diperkenalkan pada tahun 2004 sebagai satu servis escrow dan pembayaran online. Sama seperti WeChat, Alipay menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran online, pemindahan wang kepada pengguna Alipay lain, menambah nilai kredit telefon bimbit, pembelian tiket pengangkutan awam dan pembayaran bil dan banyak lagi. Alipay membuat kerjasama dengan banyak perniagaan kecil dan juga pasar raya besar seperti Wal-mart dan Carrefour.

Jumlah pengguna Alipay kini telah mencecah lebih 400 juta orang dan transaksi melalui Alipay lebih 42.3 bilion yuan. Alipay masih lagi memonopoli pasaran pembayaran mudah alih di China (54%) berbanding WeChat Pay (40%).

Sumber: huffingtonpost.com

China menuju ke arah matawang digital

Aplikasi Alipay dan WeChat telah menjadi norma dalam kehidupan rakyat China, dan ianya menjadi faktor terbesar yang menyumbang kepada penerimaan penduduk negara itu terhadap Bitcoin dan matawang kripto. Malah, dalam The Chinese Communist Party’s Thirteenth Five-Year Plan (2016-2020), kerajaan China mempunyai perancangan untuk mengembangkan sektor ekonomi digital negara itu, termasuk kemudahan transaksi kewangan dalam bentuk digital, teknologi 5G, dan juga penambahbaikan big data dan Internet of Things (IoT).

Dalam jangka masa panjang, kerajaan China mempunyai misi yang lebih besar daripada mengawal selia Bitcoin dan matawang kripto yang dijual beli di negara itu. Kerajaan China telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan matawang digital Renminbi (RMB) negara itu sendiri, dan pada Jun tahun kerajaan China telah menubuhkan Institut Matawang Digital PBoC, sebuah makmal penyelidikan yang sedang mencipta prototype matawang kripto berdasarkan penyelidikan tentang teknologi Blockchain.

Kesimpulan

Kita sudah banyak membincangkan elemen-elemen penting matawang kripto. Dari perspektif kerajaan, sudah tentu penggunaan matawang kripto negara memberikan kuasa yang besar kepada kerajaan untuk mengawasi setiap transaksi yang berlaku. Dan untuk jangka masa panjang, sistem matawang kripto yang telus dapat membantu kerajaan dalam membanteras jenayah berkaitan pengubahan wang haram, pengelakan cukai dan pasaran gelap. Tambahan lagi, matawang kripto akan mengurangkan kos pengeluaran wang kertas, penjimatan perbelanjaan yang sangat signifikan untuk sesebuah negara.

Namun begitu, hakikatnya, matawang kripto yang dikuasai kerajaan bercanggah dengan elemen utama matawang kripto, iaitu decentralization. Apa akan terjadi kepada hak privasi pengguna? Ironinya, matawang kripto menjuarakan konsep libertarian yang membolehkan individu menjalankan transaksi secara rahsia tanpa memerlukan kuasa pusat.

Jika anda pernah membaca buku bertajuk “1984” hasil nukilan George Orwell, anda pasti tahu petikan paling popular dalam buku itu, “Big brother is watching you”. Ia adalah gambaran sebuah dunia dystopia, dimana setiap perkara yang dilakukan diawasi oleh kuasa pusat. Dan sedar atau tidak, ia juga adalah metafora yang tepat untuk menggambarkan dunia kita kini. Kewujudan matawang kripto adalah pengubat keadaan ini, tetapi pada masa yang sama, ia juga boleh menjadi racun kepada masyarakat yang ingin bebas daripada penguasaan. Adakah mustahil untuk mencari middle ground dalam dunia matawang kripto ini?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here