an image on a post about matawang kripto

Sejak kebelakangan ini, banyak pula berita tentang pengawalan bitcoin dan matawang kripto berlegar di sosial media. Nampaknya tindakan kerajaan China melarang ICO dan mengawasi platform pertukaran seolah-olah membuka jalan untuk negara-negara lain mula membuat perancangan mengawal matawang kripto di negara masing-masing.

Dalam post lalu, penulis ada membincangkan kesan pengawalan Bitcoin di Jepun dan juga secara ringkas, implikasi jika kerajaan Malaysia membuat larangan ke atas penjualan matawang kripto. Penulis juga ada bercerita tentang negara-negara yang mesra Bitcoin, dan dalam senarai itu, tidak semua negara yang mempunyai rangka undang-undang untuk pengawalan Bitcoin dan matawang kripto.

Dua perkara yang dibuktikan daripada pengawalan Matawang Kripto

Pengawalan Bitcoin dan matawang kripto akan membuktikan dua perkara. Yang pertama, negara-negara di dunia tiada pilihan lain selain daripada mengiktiraf matawang kripto. Mungkin bukan sebagai matawang atau sekuriti mahupun komoditi, tetapi pengiktirafan bahawa dunia matawang kripto sudahpun menembusi hampir serata dunia. Sama ada matawang kripto mampu dikawal oleh kerajaan atau tidak adalah persoalan seterusnya.

Yang kedua adalah matawang kripto mampu menjejaskan kedudukan sebuah kerajaan sebagai penguasa dari segi kewangan. Selama ini bank dan institusi kewangan mendapat kebenaran dan lesen dari pihak kerajaan untuk mencetak wang kertas baru. Ini adalah antara polisi kewangan (monetary policy) yang telah ditetapkan bank negara untuk mengawal inflasi, selain daripada menaik dan menurunkan kadar faedah (interest rate). [Nota: Penulis tidak akan menerangkan dengan lebih mendalam, dan jika anda berminat tentang topik ini boleh baca siri asal usul bank di coin.my.]

Dalam kes matawang kripto khususnya Bitcoin, ianya tiada kuasa pusat dan sifatnya yang decentralized menyebabkan ia amat mustahil untuk kerajaan menguasai transaksi Bitcoin. Tambahan lagi, pengeluaran Bitcoin telah pun ditetapkan pada 21 juta, jadi tiada polisi atau peraturan yang boleh ditetapkan untuk mempengaruhi penggunaan Bitcoin. Walaupun kebanyakan matawang kripto dikuasai oleh penciptanya, sifat decentralized dari segi pengeluaran dan pengesahan transaksi masih lagi dikekalkan. Satu-satunya cara untuk kerajaan menguasai sesuatu matawang kripto adalah dengan mencipta matawang kripto sendiri.

Criminalize atau legalize Matawang Kripto

Sumber: steemit.com

Penulis bukanlah seorang peguam, mahupun pakar dalam bidang undang-undang. Daripada apa yang penulis pernah baca, dan mengambil dari contoh negara-negara lain, terdapat dua pilihan untuk menguasai matawang kripto: ban matawang kripto sepenuhnya (criminalization) atau mengiktiraf matawang kripto dibawah undang-undang (legalize).

Apa rasional untuk ban matawang kripto (Cause and effect of criminalization)?

Jika kita ambil contoh dadah, pengharamannya adalah untuk tujuan menghentikan pengeluaran dan pengedaran dadah. Jika kedua-dua ini dapat dikawal, jumlah pengambilan dadah juga akan berkurangan. Logik, betul tak? Namun disebabkan apa sahaja aktiviti dadah adalah haram di bawah undang-undang, ia umpama menabur benih untuk mengembangkan pasaran gelap.

Ini adalah kerana pengharaman dadah menjadikan dadah suatu komoditi yang sukar untuk didapati dan kita semua tahu teori demand and supply, bukan? Bekalan yang kurang dan permintaan yang tinggi menyebabkan harga dadah naik secara mendadak. Dan memandangkan pengguna dadah kebanyakannya sudah ketagih, undang-undang yang dilaksanakan tadi sudah menjadi counter-efffective, malah dilihat sebagai menggalakkan pengedar dadah untuk meneruskan aktiviti penjualan yang sangat menguntungkan untuk menjadi lebih kaya dan berkuasa.

Dalam kes matawang kripto, buat masa ini, terdapat hanya empat negara yang telah  mengharamkan penggunaan Bitcoin dan matawang kripto iaitu Bangladesh, Bolivia, Ecuador dan Kyrgyzstan. Dalam negara-negara ini, jika seseorang ditemui menyimpan atau menggunakan Bitcoin dan matawang kripto, dia boleh dimasukkan ke dalam penjara. Adakah pengharaman ini dapat menghentikan penggunaan matawang kripto di negara itu? Untuk jangka masa pendek, sudah tentu. Tetapi cuba bayangkan apabila majoriti dunia mengiktiraf matawang kripto, apa anda rasa akan berlaku di negara-negara ini?

Lihat sahaja keadaan hampir darurat di negara Venezuela. Negara itu tidak mengiktiraf matawang kripto dan tidak juga menghalang penggunaannya, tetapi mengenakan tindakan undang-undang terhadap miners atas kesalahan menyalahgunakan elektrik yang mendapat subsidi di negara itu. Namun begitu, masih lagi ramai yang memilih untuk meneruskan aktiviti mining secara senyap kerana keadaan terdesak.

Dari sini kita dapat lihat orang ramai akan mula menganggap matawang kripto sebagai penyelamat memandangkan ia tidak boleh dipengaruhi polisi kewangan kerajaan dan penggunaannya tidak terhad dalam satu negara sahaja. Malah, matawang kripto adalah contoh cross-border payment yang sangat efektif berbanding pemindahan wang secara elektronik melalui institusi kewangan.

Adakah legalizing matawang kripto untuk kebaikan semua?

Criminalization mungkin sesuatu yang agak drastik dan tidak mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak, bagaimana pula dengan legalization? Bak kata pepatah Inggeris, if you can’t beat ’em, join ’em.

“You can’t stop things like Bitcoin. It will be everywhere and the world will have to readjust. World governments will have to readjust.”

– John McAfee

Itu adalah petikan daripada kata-kata pengasas McAfee Incorporation tentang fenomena Bitcoin dan matawang kripto yang tidak dapat dihentikan lagi. Jika pada awalnya kerajaan Amerika Syarikat dan China menjadi contoh dalam pengawalan Bitcoin, kini Jepun telah menjadi ketua di mata dunia dengan rangka undang-undang yang dilihat lebih progresif. Jepun telah membuka jalan untuk negara-negara lain mempertimbangkan legalization matawang kripto.

Persoalannya, adakah undang-undang berkaitan matawang kripto memberi kebaikan kepada pengguna, ataupun kerajaan? Bagi kerajaan, terdapat beberapa tujuan utama undang-undang dirangka termasuk keselamatan, pengawalan jenayah, dan juga kaedah untuk menambah pendapatan negara. Rang undang-undang yang dirangka Jepun dan China memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawasi platform penjualan matawang kripto di negara itu. Dan dalam negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia dan Singapura, cukai dikenakan atas jual beli Bitcoin.

Bagi pengguna pula, pengiktirafan kerajaan dianggap sebagai suatu jaminan dalam penggunaan matawang kripto. Mereka menyokong undang-undang dirangka atas tujuan menjamin keselamatan dan hak mereka sebagai pengguna. Lihat sahaja Jepun, di mana pengiktirafan Bitcoin menjadi pemangkin kepada penerimaan Bitcoin sebagai kaedah bayaran di kedai-kedai seluruh negara itu.

Pihak yang dilihat boleh terjejas secara negatif adalah mereka yang menggunakan matawang kripto khususnya Bitcoin untuk tujuan jenayah seperti money laundering atau pasaran gelap. Tidak dinafikan penipuan dan jenayah kripto masih lagi berleluasa kini kerana kerajaan tidak mempunyai prosedur yang boleh diikuti untuk menangani masalah ini. Contoh terbaik adalah Silk Road yang beroperasi dari 2011-2013 sebelum dijatuhkan oleh FBI. Namun begitu, tidak lama selepas itu, Silk Road 2.0 dilancarkan sebelum dijatuhkan lagi sekali oleh FBI dan Europol pada November 2014. Dan yang terbaru adalah Silk Road 3.0 yang baru sahaja ditutup.

Jadi adakah undang-undang matawang kripto ini umpama win-win situation? Kompromi antara pengguna matawang kripto dan kerajaan untuk memastikan ekosistem matawang kripto dapat wujud tanpa tentangan mana-mana pihak mungkin adalah solusi yang perlu dipertimbangkan. Apa pendapat anda?

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here