Default – Above Header Ads

Adakah Jumlah Bitcoin Benar-benar 21 Juta?

Apabila kita bercakap tentang sesuatu yang berharga, kita pasti akan mendengar tentang kecurian atau kehilangan barangan itu. Tidak kira sama ada ianya matawang fiat, barang kemas, emas atau apa sahaja aset yang mempunyai nilai. Sama juga dengan matawang digital, lebih-lebih lagi Bitcoin.

Selama 10 tahun kewujudan Bitcoin, terlampau banyak berita tentang kecurian Bitcoin melalui penggodaman atau mereka yang membiarkan diri mereka terdedah dengan jenayah siber. Tetapi yang paling menyedihkan adalah mereka yang kehilangan Bitcoin, bukan kerana kecurian tetapi kerana kecuaian dalam menyimpan private key atau wallet mereka.

Sepertimana emas boleh hilang dalam pelayaran, dan wang tunai hancur kerana kebakaran, matawang digital juga boleh hilang begitu sahaja dalam Blockchain. Malah, buat matawang digital, ia tidak ubah seperti analogi, “so near yet so far”. Ini adalah kerana rekod tentang jumlah dalam wallet boleh dijumpai melalui blockchainexplorer, tetapi malangnya akses kepada wallet itu sudah hilang selamanya.

Itulah antara risiko terbesar matawang kripto.

Jumlah Bitcoin yang hilang adalah signifikan

Menurut kaji selidik pada tahun 2017 yang dibuat oleh sebuah organisasi forensik digital, Chainalysis sebanyak 3.79 juta Bitcoin telahpun hilang dari peredaran. Laporan Chainalysis menunjukkan bahawa jumlah Bitcoin yang telah hilang sejak dilombong mencecah 17 ke 23 peratus dari jumlah dalam edaran. Dan jika kita menilainya dalam US Dollar pada hari ini, jumlah yang telah hilang adalah lebih daripada USD$35 bilion.

Gambar rajah di atas menunjukkan kaji selidik Chainalysis yang membahagikan kehilangan Bitcoin kepada beberapa kategori, termasuk daripada peredaran, jumlah Bitcoin asal yang masih di tangan Nakamoto Satoshi, melalui jual beli, pelaburan (atau mereka yang HODL) dan perlombongan, di mana jumlah kehilangan adalah kosong.

Bitcoin Satoshi

Apa yang menarik adalah Chainalysis menganggap Bitcoin yang dimiliki Nakamoto Satoshi, penciptanya, telah hilang buat masa ini. Ramai pengguna Bitcoin telah membuat spekulasi bahawa Satoshi memiliki lebih 1 juta Bitcoin, walaupun spekulasi tersebut masih belum dibuktikan. Malah, memandangkan tiada satu alamat wallet yang memiliki baki jumlah 1 juta Bitcoin, agak sukar untuk membuktikan spekulasi ini.

Berdasarkan spekulasi ini, Chainalysis juga telah membuat keputusan untuk meletakkan jumlah Bitcoin yang dimiliki Satoshi dalam kategori Bitcoin yang telah hilang, mungkin selamanya. Satu-satunya cara untuk spekulasi itu dibuktikan adalah jika suatu hari nanti Satoshi membuat keputusan untuk mendedahkan identitinya, atau memasukkan kembali jumlah Bitcoin itu ke dalam pasaran.

Apa impak kajian ini?

Menurut pengetahuan umum, jumlah bekalan Bitcoin adalah 21 juta. Dan jumlah ini digunakan dalam penilaian Bitcoin dalam pasaran. Memandangkan salah satu faktor penilaian Bitcoin adalah bekalannya yang terhad, kehilangan Bitcoin yang mencecah hampir suku daripada jumlah bekalannya pasti akan menyebabkan supply and demand Bitcoin menjadi tidak tepat dan tidak menunjukkan keadaan atau nilai sebenar Bitcoin dalam pasaran.

Persoalannya, adakah penemuan yang menunjukkan bekalan Bitcoin semakin terhad ini akan mengubah persepsi orang ramai terhadap Bitcoin? Kita semua sedia tahu bahawa polisi kewangan yang digunakan untuk menambah atau mengurangkan bekalan matawang fiat mempunyai impak terhadap kadar pertukaran matawang fiat. Menggunakan logik yang sama, sudah pasti nilai Bitcoin akan melonjak lebih tinggi apabila kita semakin dekat dengan perlombongan Bitcoin yang terakhir.

Pengiraan jumlah modal pasaran Bitcoin yang menggunakan jumlah Bitcoin dalam edaran (kini lebih 17 juta) adalah termasuk peratus yang telah hilang. Dan jika diambil kira penemuan Chainalysis, jumlah sebenar Bitcoin adalah lebih kurang 17 juta sahaja. Namun begitu, penulis tidak begitu merasakan ia akan memberi impak yang besar terhadap nilai Bitcoin pada masa akan datang kerana bagi ramai pengguna, jumlah bekalan Bitcoin yang rasmi adalah 21 juta dan Bitcoin yang hilang sudah pun dilombong.

Apa yang pasti, jika suatu hari nanti Satoshi membuat keputusan untuk mengeluarkan 1 juta Bitcoin yang dimilikinya, kajian ini sudah tidak boleh digunakan lagi, dan pada ketika itulah pasaran Bitcoin akan mendapat impak yang besar kerana bekalan yang tiba-tiba bertambah.