Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Kejatuhan Harga Matawang Kripto: Adakah patut Kita Risau?

Sejak 11 Julai yang lalu, hampir keseluruhan harga matawang krypto di pasaran mengalami kejatuhan yang teruk. Menurut coinmarketcap.com, nilai keseluruhan matawang krypto di pasaran jatuh lebih daripada USD$50 trilion sejak 20 Jun lagi. Di waktu penulisan, nilai tersebut adalah USD$70 trilion, berbanding USD$114 trilion awal bulan Jun yang lalu.

1 Kejatuhan Bitcoin, Ether dan Ripple

Bitcoin yang jatuh nilainya daripada USD$2555 sejak minggu lepas kini bernilai lebih kurang USD$1994 pada masa penulisan. Manakala Ethereum, jatuh lebih teruk hampir 50 peratus dan kini bernilai hanya USD$160 daripada USD$400 Jun lalu. Ripple juga mengalami situasi yang sama dengan Ethereum, nilainya jatuh daripada USD$0.35 kepada lebih kurang USD$0.16.

2 Keadaan yang membimbangkan

Kejatuhan nilai hampir semua matawang krypto di pasaran sudah pasti membimbangkan banyak pihak. Namun begitu, amat penting untuk kita lihat keadaan ini dalam konteks yang betul. Bagi mereka yang prihatin terhadap berita dunia matawang krypto ini, mereka pasti mengingati nilai matawang krypto sebelum kenaikan mendadak bermula hanya setengah tahun dahulu.

Jika anda ingat, seawal 1 Januari tahun ini, bitcoin bernilai lebih kurang USD$1000, dan Ether hanya bernilai USD$8.35. Walaupun kejatuhan kali ini lebih teruk berbanding Mei lalu, nilai matawang krypto masih lagi tinggi dan trend kenaikan mereka masih lagi stabil.

Kebanyakan penganalisa berpendapat bulan Julai adalah bulan kritikal dalam tempoh pembetulan harga matawang krypto disebabkan oleh isu yang dihadapi dalam rangkaian bitcoin. Ramai yang merasa bulan Ogos akan mendatangkan berita lebih positif dan harga matawang krypto akan kembali meningkat.

3 Penjelasan tentang kejatuhan Nilai Matawang Krypto

Kejatuhan harga matawang krypto menyebabkan pemilik matawang krypto mula menjual simpanan mereka secara panik dan berterusan. Terutama pelabur-pelabur baru yang membeli matawang krypto ketika harga masih lagi tinggi – risau dengan trend menurun, mereka merasakan tidak berbaloi menyimpan matawang krypto.

Apa yang menyebabkan matawang krypto jatuh dengan begitu mendadak? Di bawah adalah antara sebab-sebab yang mungkin menyebabkan kejatuhan tersebut.

1. “Perang saudara” yang dihadapi komuniti Bitcoin

Perbahasan tentang isu scalability Bitcoin sudah berlansung sejak beberapa tahun lalu. Persoalan sama ada kapasiti blok Bitcoin akan ditingkatkan antara golongan miners dan developers bakal terjawab pada 1 Ogos nanti.

Komuniti Bitcoin berkemungkinan besar akan berpisah kepada dua, seperti ETH dan ETC: satu golongan yang menyokong protokol SegWit dan satu lagi yang akan mengekalkan protokol yang sama. Akibat daripada peristiwa ini, harga bitcoin akan menghadapi penurunan nilai yang sangat besar, mungkin separuh daripada nilai bitcoin sekarang.

Kebimbangan ini membuatkan ramai pelabur gementar dan pesimis terhadap masa depan bitcoin, dan mereka menukar bitcoin mereka kepada matawang fiat. Tambahan pula, harga bitcoin yang jatuh secara otomatik menarik nilai matawang krypto lain, menyebabkan keseluruhan pasaran itu jatuh.

2. Projek ICO mencairkan dana terkumpul

Baru-baru ini, trend menukarkan sejumlah matawang krypto yang besar kepada matawang fiat semakin menular. Lebih-lebih dalam kalangan projek ICO yang baru sahaja menyelesaikan ICO mereka. Banyak projek yang berdasarkan teknologi blockchain telah mengumpul dana dalam bentuk ETH – nilai yang sudah mencecah USD$700 juta sejak bulan lalu.

Projek-projek yang serius akan memegang matawang krypto yang terkumpul, namun banyak projek yang hanya ingin mengaut untung yang cepat, (baca: skim ponzi) akan terus mencairkan dana mereka. Projek seperti EOS yang berjaya mengumpul USD$200 juta dalam bentuk ETH didakwa meletakkan kesemua dana mereka di Bitfinex untuk dicairkan. TenX, yang menyenaraikan Vitalik Buterin antara pelabur mereka juga telah mencairkan sebanyak 30 peratus daripada dana mereka.

Dari perspektif projek ICO, mencairkan dana mereka adalah langkah yang berjaga-jaga kerana ia menyediakan safety net dari keadaan pasaran matawang krypto yang tidak stabil dan mengalih fokus kepada projek mereka. Namun begitu, strategi mereka ini sedikit sebanyak menjejaskan nilai matawang krypto yang mereka tukarkan itu.

3. Manipulasi pasaran dan keadaan panik yang bertambah

Kita sedia tahu bahawa pasaran matawang krypto tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak. Keadaan ini juga dikenali sebagai “free market”, di mana satu sistem ekonomi tercipta apabila harga sesebuah komoditi di tentukan oleh pembeli dan persaingan antara penjual, tanpa pengawalan dari kerajaan.

Namun begitu, kritikan utama terhadap istilah ini adalah di dalam dunia sebenar, sistem ini terdedah kepada monopoli yang menetapkan harga tanpa pengawalan. Dan ini adalah apa yang berlaku di dunia matawang krypto. Aktiviti-aktiviti yang biasanya melanggar peraturan di pasaran saham banyak berlaku di sini. Pemain-pemain besar cuba mempengaruhi pasaran matawang krypto dengan mengunakan bots untuk menjual dan membeli matawang krypto.

Apa yang menyebabkan keadaan pasaran lebih parah adalah pelabur-pelabur yang hanya ingin mendapat untung cepat. Apabila mereka melihat harga matawang krypto yang jatuh, mereka mula menjual simpanan mereka secara panik. Kombinasi ini berkemungkinan menyebabkan harga matawang krypto sukar untuk naik kembali.

Suatu Kerisauan atau ada Sinar Harapan?

Terdapat banyak spekulasi tentang harga matawang krypto. Antara yang terkuat adalah trend menurun ini akan berterusan sehingga awal Ogos, bilamana kita akan mendapat resolusi tentang isu Bitcoin. Di tambah dengan pencairan drastik projek ICO, nampaknya trend itu akan kekal.

Namun begitu, seperti di awal penulisan, jika kita melihat dari konteks yang betul, kita boleh menganggap semua matawang krypto sedang melalui tempoh pembetulan. Dan overall trend nilai mereka sebenarnya naik dari masa ke masa.

Jadi, bagi mereka yang tidak berpeluang membeli bitcoin atau ether atau mana-mana matawang krypto lain kerana harga yang tinggi, inilah peluang anda. Bagi mereka yang sudah memiliki matawang krypto dan berasa gusar, nilai matawang krypto anda sedikit sebanyak ditentukan oleh keputusan anda. Dunia matawang krypto masih lagi di fasa nascent atau baru lahir, tetapi dengan peredaran masa lebih ramai lagi yang akan prihatin dengan dunia ini dan pada masa itu, anda akan merasa rugi melepaskan matawang krypto yang anda sudah miliki.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.