HODL Bitcoin menjadi penghalang Penggunaan Meluas?
Kitaran pasaran kripto adalah umpama ujian bagi mereka yang mempunyai pelaburan dalam matawang kripto. Sama ada untuk “cut the losses” atau elak daripada kerugian lebih teruk dengan menjual matawang kripto atau “HODL” iaitu hold on for dear life semasa harga tengah menaik.
Tambahan lagi, strategi HODL adalah pilihan popular bagi orang ramai yang lebih gemar menyimpan Bitcoin dan matawang kripto dengan harapan harga akan naik setinggi langit telah melahirkan istilah baru dalam dunia matawang kripto. Jadi, tidak hairanlah jika kita sukar untuk melihat penggunaan matawang kripto di dunia sebenar, walaupun sudah satu dekad matawang kripto wujud!
Bayangkan, jika anda membeli Bitcoin awal Januari tahun 2017 yang pada masa itu hanya berharga USD$800, anda sudah dapat meraih keuntungan besar sangat-sangat besar jika anda jual Bitcoin sewaktu ianya bernilai USD$19,000 pada akhir tahun 2017. Malah anda mungkin sudah dapat membayar balik pinjaman rumah atau kereta anda jika anda begitu bernasib baik.
Hakikatnya, melihat kepada momentum dan potensi matawang kripto untuk naik lagi, lebih ramai yang akan HODL matawang kripto. Harga matawang kripto yang tidak stabil (volatile), ditambah dengan psikologi pasaran yang mudah dipengaruhi anasir-anasir luar, adalah punca utama yang menjadikan penggunaan meluas di dunia sebenar terhalang. Mari kita lihat Bitcoin, contoh paling utama matawang kripto.
Paradoks penciptaan Bitcoin sebagai matawang yang berfungsi
Bitcoin dicipta untuk menjadi alternatif kepada matawang fiat, yang memberi kuasa kepada pengguna dan melindungi hak privasi mereka. Untuk menjadi matawang yang berfungsi, Bitcoin harus mencapai tiga fungsi asas matawang – sesuatu yang boleh menjadi perantara untuk pertukaran (medium of exchange), sesuatu yang mempunyai nilai (store of value), dan memberi satu ukuran sama untuk menilai sesuatu barangan (unit of account).
Medium of exchange
Sebelum matawang wujud, pertukaran barangan atau perkhidmatan dilakukan secara langsung iaitu sistem barter. Dalam sistem barter, seseorang harus mempunyai sesuatu barangan atau boleh menawarkan sesuatu perkhidmatan yang dianggap bernilai dan dikehendaki oleh penerima. Masalah utama sistem ini adalah kedua-dua orang yang ingin membuat pertukaran perlu mempunyai keinginan yang sepadan dengan barangan/perkhidmatan untuk bertukar tangan, dan kemungkinan ini sangat kecil.
Kewujudan matawang fiat menyelesaikan masalah ini kerana ianya diterima dalam semua jenis transaksi, tidak kira sama ada salah satu pihak tidak menginginkan barangan/perkhidmatan yang ditawarkan. Dalam kes Bitcoin pula, ia dicipta untuk menjadi medium of exchange yang tidak memerlukan kepercayaan terhadap pihak ketiga dan juga melindungi identiti pengguna. Ini adalah antara ciri yang menarik minat orang ramai untuk mula menggunakan Bitcoin, khususnya pasaran gelap. Dan apabila harga Bitcoin semakin naik, menunjukkan kadar penerimaan yang semakin meningkat, perniagaan juga mula menerima bayaran dalam bentuk Bitcoin.
Ini menunjukkan Bitcoin berjaya memenuhi fungsi utama matawang, iaitu sebagai medium of exchange.
Store of value
Untuk kekal sebagai sesuatu perantara pertukaran yang berfungsi, Bitcoin harus mempunyai nilai yang berkekalan dengan masa. Berbanding dengan matawang fiat, Bitcoin lebih efektif dalam mengekalkan nilai kerana pengeluarannya adalah terhad kepada 21 juta, menyebabkan Bitcoin menjadi matawang yang terhad, dan permintaan yang meningkat menaikkan harga Bitcoin.
Oleh sebab itu, Bitcoin sering dibandingkan dengan emas yang juga sesuatu yang masih mempunyai nilai sejak beratus tahun dahulu. Bitcoin dilihat sebagai versi emas yang lebih cair (liquid) dan mudah disimpan kerana sifatnya yang digital. Di sinilah paradoks pertama penciptaan Bitcoin wujud.
Disebabkan nilai Bitcoin yang semakin hari semakin meningkat tanpa kawalan, dan pada masa sama bekalan Bitcoin yang semakin berkurangan, pengguna Bitcoin yang memilih untuk HODL Bitcoin sebenarnya menghalang Bitcoin daripada diedarkan. Kesannya, jumlah Bitcoin untuk digunakan sebagai medium of exchange untuk membeli barangan dan perkhidmatan akan berkurangan, dan lama kelamaan tidak akan digunakan lagi.
Unit of account
90 peratus transaksi berkaitan Bitcoin tidak bersifat komersial, dan perniagaan yang dahulunya menerima Bitcoin tidak lagi menerimanya kerana harga yang tidak stabil dan juga keengganan orang ramai membelanjakan Bitcoin yang dimiliki. Kelebihan Bitcoin dari segi caj bayaran yang kecil berbanding kad kredit dan bayaran serta merta tidak akan menarik minat orang ramai membelanjakan Bitcoin jika mereka merasa menyimpannya lebih menguntungkan.
Di sini, Bitcoin telah gagal menjadi matawang yang berfungsi sebagai ukuran untuk menilai sesuatu barangan. Setahun yang lalu, 1 BTC mungkin boleh membeli satu Macbook Pro biasa, tetapi jika anda menyimpan 1 BTC itu sewaktu harga all-time high, anda mungkin sudah dapat membeli sebuah motor Kawasaki. Tetapi mungkin juga anda membeli 1 BTC sewaktu harganya sudah tinggi, dan membelanjakannya sewaktu harganya jatuh. Perbezaan harga yang sangat drastik dalam sejarah Bitcoin menyebabkan ia tidak boleh menjadi matawang yang efektif untuk digunakan, khususnya bagi perniagaan yang berisiko untuk kerugian yang banyak jika harga Bitcoin jatuh mendadak.
Kesimpulan
Ada juga yang membuat spekulasi bahawa apabila kesemua 21 juta Bitcoin sudah dikeluarkan, harga Bitcoin akan mencapai satu plateau dan akan menjadi stabil. Namun begitu terdapat risiko harga Bitcoin jatuh dengan mendadak sebelum ia stabil. Tambahan lagi, sangat sukar untuk meramal apa akan terjadi selepas itu. Pakar ekonomi merumuskan keadaan ekonomi yang deflationary (kekurangan bekalan wang yang menyebabkan permintaan barangan/perkhidmatan yang berkurangan) sangat berbahaya dan salah satu cara untuk memulihkan ekonomi tersebut adalah dengan mencetak wang baru.
Memandangkan bekalan Bitcoin tidak boleh bertambah, adakah akan ada matawang kripto lain yang boleh menggantikan Bitcoin? Setakat ini, Bitcoin mungkin satu-satunya matawang kripto yang tidak dikawal (oleh pencipta), jadi apa perbezaan matawang kripto lain dan matawang fiat dari segi pengawalan. Ini adalah persoalan-persoalan yang masih belum boleh di jawab, dan selagi itu, matawang kripto hanya akan digunakan sebagai alat untuk tujuan pelaburan.
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!