Adakah Bitcoin selamat?
Bitcoin sudah hampir menjadi suatu yang tidak asing lagi di masa kini. Satu dekad selepas kemunculannya, salah satu wallet terbesar Bitcoin, Coinbase melaporkan ia sudah mempunyai lebih 15 juta pengguna dan angka itu meningkat dalam ribuan pengguna setiap hari. Itu belum mengambil kira mereka yang pernah mendengar tentang Bitcoin atau berminat ingin tahu lebih lanjut tentang matawang kripto.
Penulis banyak mendapat soalan daripada rakan-rakan tentang Bitcoin, dan antara yang selalu ditanya adalah “Adakah Bitcoin selamat?”. Penulis rasa soalan ini sangat penting untuk pengguna, tidak kira pendatang baru ataupun yang sudah lama menyertai dunia matawang kripto. Ini adalah kerana terlalu ramai yang menyertai dunia matawang kripto tanpa betul-betul memahami tentang asas matawang kripto. Akibatnya, mereka adalah antara yang paling mempunyai risiko kerugian atau kehilangan pelaburan mereka. Dalam artikel ini penulis akan cuba mengupas isu keselamatan Bitcoin ini.
Teknologi Blockchain menghidupkan Bitcoin
Pertama sekali, kita semua wajib tahu tentang teknologi Blockchain untuk faham tentang Bitcoin. Subjek ini telah diulas berulang kali dalam laman web ini seperti di sini dan di sini. 2 perkara penting yang kita perlu tahu tentang teknologi ini adalah: 1) incorruptible dan 2) immutable.
Incorruptibility
Selalu kita mendengar istilah ini apabila kita bercakap tentang rasuah. Dalam dunia Internet yang dipenuhi data sensitif, istilah ini bermaksud tiada sesiapa boleh menggunakan maklumat atau data untuk kepentingan sendiri. Sama juga dengan teknologi blockchain. Dalam rangkaian ini, beribu-ribu node mengesahkan transaksi dalam blok secara berterusan setiap 10 minit.
Untuk mengambil alih rangkaian ini, seseorang individu atau kumpulan perlu menguasai lebih daripada 50% daripada total computing power dalam sistem itu. Harus kita ingat bahawa kos mining rig dan dicampur dengan elektrik bukanlah murah, jadi insentif bagi mereka adalah sangat kecil. Sebab itulah teknologi ini dianggap incorruptible.
Immutability
Istilah ini bermaksud sesuatu tidak akan berubah atau tidak boleh diubah. Dalam kes Bitcoin, transaksi dimasukkan ke dalam blok sebelum di proses oleh nodes. Blok-blok ini mempunyai hash function daripada blok-blok sebelumnya sebagai rujukan. Jadi, jika satu blok diambil dan hash function blok tersebut diubah, apabila blok tersebut diproses oleh node lain, perbezaan hash function akan menyebabkan blok tersebut dan blok-blok seterusnya ditolak olah node lain dan akibatnya, tidak disahkan.
Untuk memastikan ini tidak berlaku, seseorang itu mesti mengambil blok yang diingini bersama-sama semua blok-blok lain seterusnya dan mengubah setiap hash function dalam blok-blok yang telah diambil tadi. Usaha ini bukan sahaja mengambil masa yang lama tetapi juga tenaga elektrik yang banyak.
Kedua-dua ciri-ciri ini sangat penting dalam membentuk keselamatan Bitcoin.
Jadi kenapa pernah ada berita tentang kehilangan Bitcoin?
Tidak dinafikan sejarah Bitcoin juga mempunyai titik-titik hitam. Peristiwa terbesar sekali adalah serangan ke atas Mt Gox menyebabkan syarikat itu kehilangan sebanyak 850,000 BTC yang bernilai lebih USD$470 juta pada tahun 2013. Mt Gox pada waktu itu adalah syarikat servis pertukaran terbesar Bitcoin.
Seperti yang kita tahu, transaksi Bitcoin melibatkan tandatangan digital (ciri-ciri ini menyebabkan Bitcoin dianggap anonymous). Tandatangan digital ini dijana dengan menggunakan private key dan public key. Seperti nama mereka, public key ini diketahui awam dan digunakan sebagai alamat utama untuk menjalankan transaksi. Manakala private key pula hanya diketahui pemiliknya yang digunakan untuk akses Bitcoin mereka.
Kebanyakan wallet dan servis pertukaran pada hari ini melindungi private keys melalui encryption. Pada September 2011, seorang hacker telah mencuri private keys pemilik Bitcoin yang disimpan dalam Mt Gox, yang masih belum melalui proses encryption. Hacker tersebut hanya mula mengeluarkan Bitcoin daripada alamat-alamat berkaitan private keys bermula tahun 2013. Apa yang pelik adalah sistem Mt Gox menganggap pengeluaran Bitcoin ini sebagai deposit, dan memasukkan sehingga 40,000 BTC ke dalam wallet alamat-alamat itu.
Mt Gox bukanlah syarikat pertukaran Bitcoin pertama yang diserang, tetapi ia adalah yang terbesar dalam sejarah. Antara syarikat-syarikat pertukaran Bitcoin yang pernah diserang hackers termasuk Bitcoinica, BitFloor, Poloniex, Bitcurex dan Canadian Bitcoins. Bukan syarikat pertukaran sahaja, malahan servis wallet Inputs.io dan BIPS, dan bank Bitcoin Flexcoin menemui nasib yang sama. Skim Ponzi juga banyak berleluasa dan yang paling besar adalah kes Bitcoin Savings and Trust yang telah mengambil lebih 700,000 BTC daripada pelanggannya.
Adakah ini bukti Bitcoin tidak selamat?
Tidak sama sekali. Cuba kita lihat balik semua kes-kes di atas. Apa persamaan antara mereka semua? Kesemua kehilangan Bitcoin melibatkan serangan hackers ke atas syarikat pertukaran. Bermakna bukan Bitcoin yang tidak selamat, tetapi sistem keselamatan syarikat-syarikat itu sendiri yang tidak cukup.
Dari dahulu sehinggalah kini, pasti akan ada berita kehilangan matawang kripto, sama ada kerana dicuri oleh hackers atau atas kecuaian syarikat pertukaran atau pencipta matawang kripto itu sendiri. Memandangkan matawang kripto adalah coding dalam komputer semata-mata, tidak mustahil kehilangan akan berlaku. Bezanya, matawang kripto yang hilang sangat sukar untuk ditemui kembali, sama seperti jika wang tunai yang hilang.
Namun begitu, sistem Blockchain Bitcoin atau matawang kripto itu sendiri sangat sukar untuk diserang hackers kerana ciri-ciri yang telah diulas di atas. Sama seperti kita memilih bank untuk menyimpan wang kita, wallet atau platform pertukaran yang dipilih untuk Bitcoin kita juga adalah risiko yang ditanggung kita sendiri.
Kesimpulan
Jadi persoalan sama ada Bitcoin itu selamat atau tidak lebih banyak bergantung kepada pengguna. Buatlah pilihan yang bijak dalam menyimpan Bitcoin anda, kerana berbeza dengan wang fizikal, jika anda kehilangan Bitcoin atau matawang kripto lain, kemungkinan besar anda tidak akan menemuinya kembali.