Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Ripple, Matawang Krypto yang Stabil dan Dipercayai

Walaupun matawang krypto Ripple, XRP, adalah yang ketiga terbesar, tidak ramai yang begitu minat mengambil tahu tentang matawang itu. Kenapa? Faktor terbesar adalah nilai XRP yang dianggap begitu kecil dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan ‘gergasi’ seperti Bitcoin dan Ether.

Persoalannya, bagaimana XRP kekal sebagai matawang krypto terbesar?

Mari kita lihat kepada data XRP dahulu. Pada waktu penulisan, modal pasaran XRP adalah USD$6.7 billion dan nilainya adalah USD$0.17 (sumber dari coinmarketcap). Kita tahu modal pasaran adalah jumlah unit matawang krypto di darab dengan harga semasa dalam USD. Jadi, kalau kita lihat pada harga XRP, kita akan dapat tahu bahawa jumlah unit XRP yang telah dikeluarkan adalah besar untuk mendapa modal pasaran yang besar. Hebat, bukan?

Jawapan kepada mengapa XRP kekal di tempat ketiga terletak pada fungsinya. Ramai orang yang keliru tentang perbezaan Bitcoin dan XRP yang dilihat agak sama. Tetapi sebenarnya kedua-duanya memang sangat berbeza. Fungsi Bitcoin adalah sebagai kaedah pembayaran peer-to-peer manakala fungsi XRP adalah sebagai matawang krypto yang digunakan dalam sistem pembayaran untuk transaksi kewangan satu dunia. Masih lagi keliru?

Penulis akan cuba merungkai XRP satu persatu bermula dengan sejarah penciptaannya.

Ripplepay

Sebelum XRP dan sebelum Bitcoin lagi, sistem pembayaran peer-to-peer sudah pun wujud iaitu Ripplepay. Ianya dicipta oleh Ryan Fugger pada tahun 2004 untuk memudahkan pembayaran antara rakan-rakan dan perniagaan yang saling berkaitan. Ripplepay membolehkan pengguna mengeluarkan dan bertukar-tukar kredit (pinjaman) dengan pengguna lain dalam rangkaian yang dipercayai.

Contohnya, Abu berhutang RM10 dengan kawannya Badrul. Kebiasaanya Badrul tidak boleh berbuat apa-apa sehinggalah Abu memulangkan wang yang dipinjam. Tetapi katakanlah Badrul seorang yang kreatif dan ingin menggunakan hutang Abu untuk membeli sesuatu berharga RM10 daripada Chong yang dikenali Abu. Jadi Badrul memindahkan hutang tersebut dan kini Abu menjadi perantara antara Badrul dan Chong, dan berhutang dengan Chong sebanyak RM10.

Keadaan itu mudah bukan? Sekarang bayangkan Chong yang masih belum mendapat wangnya dari Abu ingin membeli sesuatu berharga RM10 daripada Devi yang kenal Abu. Sudah tentu Devi tidak menerima hutang itu kerana dia tidak kenal Abu. Tetapi bagaimana jika dia kenal Badrul? Sebelum itu, kita permudahkan hutang RM10 tadi kepada sekeping nota IOU. Bagaimana jika Chong boleh meminta Badrul mengambil IOU Abu dan mengeluarkan IOU sendiri untuk diberikan kepada Devi bagi pihak Chong? Sekarang Abu dan Badrul menjadi perantara antara Chong dan Devi. Begitulah seterusnya.

Kesimpulannya, ia adalah satu rangkaian yang terdiri daripada pengguna-pengguna yang dipercayai sesama sendiri, dan membolehkan pinjaman dilakukan dengan sesiapa pun. Itu adalah prinsip utama sistem Ripple.

Kewujudan Bitcoin sebagai pelengkap Ripplepay

Kepercayaan sudah tentu tidak cukup untuk mengelakkan risiko hutang tidak dilangsaikan. Devi mungkin percaya IOU yang dikeluarkan Badrul, tetapi bagaimana jika Badrul tidak mahu atau tidak boleh membayarnya kembali?

Kewujudan Bitcoin membolehkan pembayaran dibuat tanpa kepercayaan, dan rekod lejar Bitcoin mengelakkan daripada risiko kerugian sebelah pihak. Dengan menggabungkan teknologi Bitcoin dan juga Rippleplay, sebuah sistem yang membolehkan IOU berdasarkan Bitcoin antara pengguna boleh dicipta.

Beberapa tahun setelah Bitcoin dicipta, OpenCoin (kini Ripple Labs) telah mengambil alih Ripplepay dan mula mengemaskini protokol Ripplepay. Konsep mengurus IOU masih dikekalkan, tetapi dengan inspirasi daripada Bitcoin, Ripple Labs telah mencipta sistem transaksi global dan pada masa yang sama mengeluarkan token mereka sendiri, iaitu XRP.

Token XRP tidak mengikuti prinsip decentralization

Fakta ini pasti mengelirukan anda, betul? Mari penulis jelaskan. Bitcoin dicipta untuk digunakan oleh pemiliknya tanpa perlu pihak ketiga, ini sudah jelas. Tambahan pula, bekalan Bitcoin yang terhad itu keseluruhannya boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Dua perkara ini membuatkan Bitcoin matawang krypto yang decentralized.

Bagi XRP pula, bekalannya juga adalah terhad tetapi lebih 50% daripada keseluruhan jumlah itu dimiliki oleh Ripple Labs. Sama seperti bank yang menguasai bekalan wang fiat. Jadi apa kesannya? Kadar Ripple mengeluarkan XRP akan memberi kesan kepada nilai pasaran XRP. Namun begitu, Mei tahun ini, Ripple Labs telah mengumumkan bahawa mereka akan 55 billion XRP ke dalam akaun escrow untuk memastikan jumlah bekalan XRP di pasaran diketahui awam (jumlah masih dipegang Ripple adalah 6,662,260,753 XRP dan 38,343,841,883 XRP ada di pasaran).

Sistem Ripple

Apa yang pasti, XRP dan sistem transaksi Ripple adalah dua benda yang berbeza. Sistem itu masih lagi decentralized kerana menggunakan konsep konsensus seperti proof-of-work Bitcoin, cuma kaedah yang berbeza. Kaedah yang digunakan membolehkan transaksi XRP berlaku dalam masa beberapa saat, berbanding transaksi Bitcoin yang mengambil masa lebih 10 minit. Tambahan lagi, XRP tidak mempunyai isu scalability kerana sistem itu membolehkan 1,000 transaksi diproses pada masa yang sama.

Berbalik kepada Ripplepay tadi, kepercayaan dalam sistem Ripple digunakan untuk mengesahkan transaksi. Dipanggil validator, mereka yang terdiri daripada institusi yang telah disarankan oleh Ripple dan dipilih oleh pengguna Ripple sendiri. Ini adalah sebab utama mengapa bank dan institusi menggunakan sistem Ripple.

XRP kini sudah didagangkan di lebih 30 platform pertukaran. Dan rangkaian global Ripple yang terdiri daripada bank dan institusi kewangan (lebih daripada 75) juga semakin bertambah. Baru-baru ini 10 lagi institusi kewangan menjadi pengguna Ripple -MUFG, BBVA, SEB, Akbank, Axis Bank, YES BANK, SBI Remit, Cambridge Global Payments, Star One Credit Union and eZforex.com.

Apa yang pasti, kadar penerimaan XRP sudah meningkat dengan begitu cepat dan trend ini dijangka akan berterusan. Persoalannya bukan sama ada XRP akan mengatasi Bitcoin, tetapi mampu kah XRP pergi lebih jauh daripada Bitcoin dan kekal signifikan dalam jangka masa yang panjang?

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads