Aplikasi Teknologi Blockchain dalam Industri Gaming
Kita telah banyak belajar tentang aplikasi teknologi Blockchain dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, kesihatan, pengurusan data dan macam-macam lagi. Kali ini, penulis ingin menyentuh tentang aplikasi teknologi Blockchain dalam industri gaming. Pasaran gaming global telah berkembang dengan cepat sejak beberapa tahun yang lalu, dan pada tahun 2016, keuntungan yang dijana telah mencecah USD$91 bilion.
Menurut SuperDataResearch, syarikat perkhidmatan data intelligence, 2016 merupakan tahun yang paling signifikan dalam pasaran permainan digital. Angka ini di jangka akan mencecah lebih USD$130 bilion menjelang 2020.
Melalui era dotcom dan Internet-of-things, industri gaming yang dahulunya lebih tradisional dan fokus kepada permainan video offline, kini industri ini telah menuju ke arah media online yang bernilai berbilion dolar. Walaupun segmen yang berkembang pesat adalah online games seperti mobile games dan pc games, teknologi baru mempunyai potensi untuk mengubah keseluruhan industri gaming.
Dan salah satu teknologi baru itu adalah teknologi Blockchain, yang mempunyai potensi yang sangat besar dalam industri gaming dalam jangka masa panjang.
Sebenarnya matawang digital telah lama wujud dalam dunia gaming. Sistem permarkahan dalam permainan video selalu dikaitkan dengan jumlah token, atau barangan berharga yang dimiliki pemain. Dan permainan role-playing adalah permainan pertama yang menjana ekonomi mereka sendiri dalam dunia permainan, melalui pertukaran atau jual beli barangan antara pemain. Namun begitu, matawang digital dalam dunia permainan tidak mempunyai apa-apa nilai di dunia sebenar, tidak seperti matawang krypto.
Model permainan tradisional juga menggunakan sistem pay-to-play, di mana anda perlu membayar untuk bermain. Contohnya permainan arked, kemudian permainan video console dan juga pc. Dan apabila wujudnya Internet-of-Things, kategori games terbaru, iaitu MMORPG (Massive Multi-player Online Role-Playing Games) seperti World of Warcraft, Guild Wars dan DOTA mula menjadi pilihan ramai. Dunia permainan ini walalupun dalam alam maya, mencerminkan ekonomi pasaran dunia sebenar, di mana jual beli barangan alam maya berlaku menggunakan matawang digital dalam permainan. Contoh lain seperti permainan eSports yang dahulunya hanya menjadi hobi para remaja kini di dalam perancangan menjadi salah satu sukan Olimpik pada tahun 2022.
Apabila Bitcoin wujud pada tahun 2009, banyak permainan yang menggunakan model play-to-pay dicipta, di mana anda boleh mendapatkan satoshi iaitu denominasi kecil Bitcoin apabila anda main permainan tersebut. Lama-kelamaan banyak developer yang mula mencipta permainan berdasarkan teknologi Blockchain. Antara contoh permainan yang sudah mula menggunakan teknologi Blockchain termasuk:
- Motocoin – matawang krypto pertama yang menggunakan protokol proof-of-play, di mana token Motocoin boleh dilombong dengan cara bermain game Motocoin.
- FirstBlood – membolehkan pemain eSports bermain menggunakan smart contract dan oracles dalam Blockchain
- Beyond the Void – Multi-player Battle Arena (MOBA) pertama menggunakan teknologi Blockchain yang mempunyai matawang krypto sendiri iaitu Nexium
- Game Credits – platform di mana satu matawang krypto yang sama boleh diterima dalam pelbagai online game yang lain.
- Decentraland – platform permainan alam maya (virtual reality) yang dimiliki pengguna
- Spell of Genesis – platform yang membolehkan jual beli kad secara online (online trading card game) yang menggunakan teknologi Blockchain
Di atas adalah contoh-contoh perintis aplikasi teknologi Blockchain dalam industri gaming. Teknologi Blockchain membolehkan ekonomi baru yang dimulakan oleh Uber dan Airbnb, sharing economy yang melibatkan hubungan langsung (peer-to-peer) menjadi semakin popular dan banyak syarikat yang sudah mula menyelidik bagaimana untuk memadankan inovasi ini ke dalam sistem tradisional mereka. Teknologi Blockchain yang bersifat decentralized ini akan membolehkan pemain berhubung secara langsung dan membuat pertukaran sesama sendiri tanpa perantara.
Pada masa sama, teknologi Blockchain juga membuatkan pasaran video games lebih adil bagi develepor dan pemain. Tanpa kawalan daripada pemilik platform permainan, pemain dan developer boleh membuat transaksi secara bebas tanpa kawalan. Di masa akan datang, teknologi Blockchain pasti akan mengubah keseluruhan industri gaming, lebih-lebih lagi dalam jangka masa yang panjang.