Positif
Kita semua sudah sedia tahu tentang sejarah penciptaan Bitcoin. Tujuan utama Bitcoin wujud adalah untuk memberi kuasa kembali kepada orang ramai, melalui proses desentralisasi. Pada masa yang sama, penggunaan Bitcoin melindungi hak privasi pengguna dan juga menghilangkan keperluan untuk bergantung kepada pihak ketiga dalam transaksi. Kesemua itu adalah misi dan visi Bitcoin.
Namun begitu, kenyataannya adalah kawal selia diperlukan, lebih-lebih lagi dalam sesebuah industri yang sudah memproses berbilion dolar. Dan bagi kebanyakan orang, jaminan kerajaan memberi lebih keyakinan terhadap Bitcoin dan matawang kripto. Contoh terbaik adalah negara Jepun.
Kesan paling utama daripada pengiktirafan kerajaan Jepun adalah kenaikan dalam permintaan Bitcoin dalam negara itu. Jepun kini merupakan antara negara yang mempunyai transaksi terbesar Bitcoin, selain daripada Amerika Syarikat. Semasa undang-undang Jepun mula efektif selepas 1 Mei, harga Bitcoin mula naik daripada USD$1,200 ke lebih USD$2,000 dan trajektori Bitcoin masih lagi menaik sehingga kini.
Selain itu, penerimaan kerajaan Jepun telah memberi kelulusan rasmi kepada perniagaan di seluruh Jepun untuk mula menerima Bitcoin sebagai bayaran. Syarikat perniagaan besar seperti Bic Camera, Megane Super dan Marui sudah pun membuat perancangan untuk menerima bayaran dalam bentuk Bitcoin di cawangan-cawangan mereka seluruh Jepun. Sebanyak lebih 260,000 kedai yang menggunakan aplikasi point-of-sale oleh Air Regi juga akan mula menerima Bitcoin menjelang akhir 2017.
Akhir sekali, pengiktirafan kerajaan Jepun telah menjadi contoh terbaik bagi negara-negara lain dan hasilnya adalah seperti domino effect, di mana negara-negara lain seperti Russia dan Australia, malah Malaysia sendiri, sudah mula membuat perancangan untuk mengawal selia Bitcoin dan seterusnya matawang kripto. Secara perlahan-lahan Bitcoin mula menjadi nama yang besar dan signifikan di mata dunia, membuka pintu untuk matawang kripto lain menembusi dunia sebenar.
Negatif
Di sebalik kesan positif daripada pengiktirafan Bitcoin ini, ramai masih berpendapat dunia matawang kripto akan kehilangan status decentralized jika dikawal selia. Selama ini, pasaran Bitcoin dan matawang kripto adalah berdasarkan konsep free market, di mana kadar bekalan dan permintaan yang menetapkan harga sesuatu matawang kripto. Dan dalam pasaran ini, ia menyumbang kepada kebebasan dan ketelusan dalam pasaran, dan juga persaingan yang sihat.
Dengan pengawalan selia platform pertukaran dan peraturan ketat berkaitan ICO, keseluruhan ekosistem matawang kripto akan terjejas. Perkara yang paling dirisaukan adalah kehilangan privasi pengguna melalui peraturan penyimpanan maklumat transaksi pengguna. Pada masa yang sama, pengawalan Bitcoin akan menyekat mereka yang membuat transaksi bernila berjuta-juta dolar melalui Bitcoin sepertimana yang berlaku dengan matawang fiat sekarang.
Akhir sekali, pengawalan Bitcoin bermakna tujuan utama Bitcoin wujud tidak akan tercapai, di mana kuasa yang diletakkan di tangan pemilik Bitcoin diambil oleh kerajaan. Mungkin tidak secara keseluruhan, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kesan daripada tindakan kerajaan seperti kerajaan China baru-baru ini membuktikan bahawa campur tangan boleh menjejaskan pasaran matawang kripto.