Default – Above Header Ads

Menuju Kearah Kebolehoperasian Blockchain: Peluang dan Cabaran

Hari ini, kebolehoperasian blockchain hampir tidak wujud. Mesti anda tertanya-tanya apakah itu kebolehoperasian blockchain atau di dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai “Chain Interoperability”. Saya nyatakan contoh mudah di sini untuk anda bayangkan.

Jika anda ingin memindahkan nilai merentasi blockchain yang berbeza, contohnya anda ingin menukarkan nilai Ethereum kepada nilai Bitcoin, anda mesti melakukannya dengan memindahkan Ethereum ke bursa pertukaran seperti Bitfinex, berdagang di bursa tersebut dan kemudian menukar kembali mata wang kripto tersebut di blockchain baru iaitu di blockchain Bitcoin.* Proses ini perlahan, mahal dan melibatkan risiko pihak yang terlibat terutamanya risiko di bursa pertukaran, dan juga ketidaktentuan harga pasaran.

Maka disini makna kebolehoperasian blockchain adalah untuk menukar nilai aset di suatu blockchain ke nilai aset di blockchain yang lain tanpa memerlukan perantaraan bursa pertukaran. Kebolehoperasian blockchain ini bertujuan untuk menjadikan penukaran nilai aset dari berlainan blockchain tidak memerlukan perantara (decentralized) dan menjamin keselamatan dari aspek risiko penggodaman dan ketidaktentuan harga pasaran.

Secara umumnya, terdapat dua cara untuk mencapai kebolehoperasian blockchain:

  1. Cross-chain Messaging (Mesej Rentas Blockchain)
  2. Cross-chain Atomic Swap (Pertukaran Atomik Rentas Blockchain).

Cross-chain Messaging (Mesej Rentas Blockchain)

Cara ini melibatkan penyampaian mesej di antara blockchain, yang mana cara ini memerlukan wujudnya satu blockchain perantara yang akan menjadi penyampai mesej tersebut, dan memerlukan juga suatu protokol yang dinamakan inter-blockchain communication protocol (protokol komunikasi antara-blockchain). Protokol ini adalah satu keperluan dalam cara ini untuk mengelakkan berlakunya masalah perbelanjaan berganda (double spending) di antara blockchain. Blockchain perantara ini akan menjamin maklumat baki global diantara dua blockchain yang anda gunakan, dan juga akan menjadi langkah keselamatan dalam mengelakkan masalah perbelanjaan berganda di antara blockchain.

Cross-chain Atomic Swap (Pertukaran Atomik Rentas Blockchain)

Jika mesej rentas blockchain lebih menekankan berkenaan komunikasi antara blockchain, pertukaran atomik rentas blockchain lebih mementingkan proses pemindahan nilai antara blockchain. Proses ini sebenarnya sudah berjalan, terutamanya antara blockchain yang mempunyai asas program yang sama, namun untuk menjadikan pertukaran atomik rentas blockchain sesuai untuk semua jenis blockchain masih dalam pembangunan. Penjelasan mudah bagi teknik ialah ia akan berfungsi sebagai bursa pertukaran terdesentralisasi, iaitu bursa pertukaran yang tidak dimiliki oleh satu pihak sahaja. Jika platform pertukaran atomik rentas blockchain berjaya, sudah tiada lagi keperluan untuk berurusan di bursa pertukaran mata wang kripto, dan akan menyelesaikan masalah penggodaman bursa pertukaran mata wang kripto.**

Senarai Ringkas Projek Yang Membangunkan Kebolehoperasian Blockchain

Berikut adalah senarai ringkas yang dapat membantu para pembaca untuk meneroka projek-projek kebolehoperasian blockchain.

  1. Cosmos
  2. Polkadot
  3. COMIT
  4. Block Collider
  5. 0x Protocol
  6. OmiseGO
  7. ARK

Penutup

Jika teknologi kebolehoperasian blockchain ini berjaya sepenuhnya, ia bakal membawa kemajuan baru di landskap blockchain, dan bakal menjadikan dunia blockchain lebih selamat, kukuh dan dapat berinteraksi dengan lebih mudah di dunia sebenar. Namun masih terdapat banyak lagi cabaran yang masih perlu diselesaikan supaya teknologi ini dapat digunakan secara menyeluruh di alam blockchain.

Artikel ini hanyalah sebagai pengenalan kepada cabaran dan peluang yang wujud di dunia blockchain. Semoga para pembaca dapat memanfaatkan berkenaan ilmu ini sama ada untuk melakukan pelaburan atau untuk mengambil bahagian di dalam senarai ringkas projek yang telah saya nyatakan, atau mungkin anda dapat menyelesaikan masalah ini dengan cara anda sendiri.

Nota:

* Terdapat perkhidmatan seperti Changelly yang memudahkan proses ini, namun secara asasnya ia turut bergantung kepada bursa pertukaran dalam prosesnya. Maka perkhidmatan ini tidak digolongkan dalam teknologi yang menyumbang kepada kebolehoperasian blockchain.

** Ini lebih menekankan ketidakperluan bursa pertukaran untuk menukarkan satu mata wang kripto ke mata wang kripto yang lain, bukannya pertukaran antara mata wang fiat dan mata wang kripto.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads