Tether Pemain Penting dalam Dunia Matawang Kripto
Rasa seperti lama tempoh pembetulan pasaran matawang kripto kali ini. Sehinggakan ramai yang sudah berasa gusar melihat kejatuhan matawang kripto yang dimiliki di pasaran. Lebih-lebih lagi apabila setiap kali membuka laman web coinmarketcap.com, hampir kesemua matawang kripto berada dalam keadaan merah.
Sepertimana yang kita tahu, psikologi pelabur dalam membeli dan menjual matawang kripto banyak memainkan peranan dalam naik turun harga matawang kripto. Contohnya, antara faktor yang menyumbangkan kejatuhan dalam pasaran kripto kali ini adalah tindakan kerajaan Korea Selatan yang mengikut jejak langkah kerajaan China, begitu juga dengan kerajaan India dan yang terbaru adalah masalah yang dihadapi oleh Tether. Artikel kali ini penulis akan menyentuh sedikit tentang isu Tether ini.
Apa itu Tether?
Tether adalah satu matawang kripto yang mempunyai satu fungsi utama, iaitu menjadi matawang kripto yang bersandarkan US Dollar. Ini bermakna tidak seperti matawang kripto lain yang tidak bersandarkan aset fizikal, setiap Tether yang dikeluarkan mempunyai sandaran 1 US Dollar dalam simpanan syarikat Tether Limited.
Pernah dengar istilah stable coin? Tether adalah salah satu usaha untuk menjadi satu stable coin, di mana ia adalah gabungan kestabilan harga US Dollar dan fungsi matawang kripto. Memandangkan harga matawang kripto yang tidak menentu di pasaran, Tether membolehkan pelabur menggunakan Tether untuk membeli Bitcoin atau matawang kripto lain dengan cepat dan mudah tanpa perlu menunggu proses pemindahan wang melalui bank. Dan pada masa yang sama, pemilik Tether boleh menjual Tether kembali kepada syarikat tersebut dan mendapatkan US Dollar pada bila-bila masa sahaja. Kepercayaan kepada idea dan fungsi Tether inilah yang membolehkan nilainya terikat kepada Dollar.
Siapa yang menggunakan Tether?
Secara amnya, sesiapa sahaja (terutama pengguna dari Amerika Syarikat) yang menggunakan perkhidmatan platform pertukaran besar akan menggunakan Tether. Malah, platform pertukaran seperti Bitfinex (yang dibawah pengurusan yang sama dengan Tether) juga memegang simpanan pengguna mereka dalam USDT (penanda token Tether). Ini adalah kerana kebanyakan platform pertukaran tidak mahu atau sukar berurusan dengan bank tradisional, yang juga tidak mahu terlibat dalam syarikat kripto.
Tether menawarkan alternatif yang stabil, tanpa perlukan bank sebagai pengantara. Sepertimana yang kita tahu, kebanyakan bank dan institusi kewangan terikat dengan peraturan dan undang-undang negara dan juga dikawal selia kerajaan, jadi platform pertukaran yang menggunakan Tether boleh meletakkan harga US Dollar kepada matawang kripto yang disenaraikan tanpa perlu memiliki akaun bank.
Dan yang paling penting, USDT sangat berguna sewaktu harga matawang kripto sedang jatuh kerana ia membolehkan pengguna mengekalkan jumlah simpanan matawang kripto dalam US Dollar. Seperti yang anda boleh lihat di bawah, nilai USDT masih lagi USD$1, walaupun matawang kripto lain sedang jatuh.
Kontroversi Tether
Kita sudah melihat bahawa Tether merupakan matawang kripto yang sangat berguna dan penting, bukan sahaja kepada pelabur biasa tetapi juga kepada platform pertukaran besar yang tidak mahu berurusan dengan bank. Dan yang paling penting, kita tahu betapa pentingnya untuk syarikat Tether Limited mengekalkan simpanan US Dollar mereka, supaya setiap Tether yang dikeluarkan (2,280,109,970 USDT) terikat dengan jumlah US Dollar yang sama.
Selama ini, ramai pengkritik Tether mempersoalkan sama ada syarikat itu betul-betul mempunyai simpanan lebih USD$2 bilion untuk Tether. Pada bulan Januari baru-baru ini, Tether yang bernilai dalam lingkungan USD$850 juta telah dikeluarkan, menyebabkan ramai pelabur yang mula ragu-ragu dengan pengeluaran Tether tanpa bukti sandaran mereka kepada US Dollar.
Baru-baru ini di sebuah konferens Bitcoin, syarikat Tether Limited di gesa untuk membuktikan simpanan mereka melalui external audit. Syarikat tersebut bukan sahaja tidak dapat menunjukkan laporan audit mereka, malah mereka telah mengesahkan khabar angin yang mengatakan mereka sudah tidak berurusan dengan firma perakaunan Friedman LLP yang sepatutnya melakukan audit ke atas akaun syarikat itu. Selain daripada itu, Bank of Taiwan dan Wells Fargo – yang menyokong transaksi Tether – mengumumkan bahawa mereka tidak lagi berurusan dengan Bitfinex.
Dan kontroversi terbaru adalah subpoena, atau surat rasmi mengarahkan kehadiran individu/syarikat ke mahkamah, yang telah dihantar kepada syarikat Tether dan juga platform pertukaran Bitfinex oleh US Commodity Futures Trading Commission. Berikutan berita yang dilaporkan oleh Bloomberg itu, nilai Bitcoin jatuh lebih 10 peratus di bawah paras USD$9,000, diikuti kejatuhan matawang kripto lain.
Kenapa keadaan ini merisaukan pelabur?
Jika Tether menghadapi masalah atau terpaksa menghentikan operasi dan menarik balik Tether dari pasaran, ia akan memberi impak yang besar kepada pasaran matawang kripto, memandangkan banyak platform pertukaran besar yang menggunakan Tether sebagai pengganti US Dollar. Kejatuhan Tether boleh menyebabkan pelabur hilang kepercayaan terhadap matawang kripto jika mereka kehilangan pelaburan berbilion dollar di platform pertukaran yang menggunakan Tether.
Satu lagi kerisauan pengkritik adalah syarikat Tether mengeluarkan Tether baru semasa harga Bitcoin sedang jatuh, dan menggunakan Tether tersebut untuk membeli Bitcoin, menyebabkan kenaikan harga artificial untuk tempoh masa yang singkat. Ini adalah antara sebab-sebab mengapa ramai yang ingin melihat laporan audit daripada syarikat Tether.
Kesimpulan
Tidak dinafikan, Tether memainkan peranan yang sangat penting dalam pasaran matawang kripto. Selagi matawang kripto tidak diiktiraf mana-mana negara dan institusi kewangan masih lagi mengambil langkah berjaga-jaga dalam berurusan dengan syarikat kripto, Tether akan menjadi piihan kebanyakan platform pertukaran kerana kemudahannya, dan kebergantungan ini akan mengekalkan Tether di pasaran matawang kripto.
Ironinya, Tether telah mengambil alih fungsi bank di dunia matawang kripto. Adakah ini menunjukkan bahawa dunia matawang kripto pun tidak boleh kekal dalam keadaan desentralisasi? Bagi mereka yang pro-desentralisasi, Tether dianggap sebagai salah satu market manipulator yang sangat berbahaya. Sebaliknya, pelabur yang bergantung kepada Tether pula menganggap Tether sebagai insurans pelaburan mereka, kerana at the end of the day, konsep desentralisasi tidaklah sepenting keuntungan pelaburan yang boleh diraih.
Bagaimana pula dengan anda?
Berita terbaru 26/06/2018 : Hari ini CCN melaporkan bahawa Tether telah mengeluarkan 250 juta token USDT pada 25 Jun dan ini menandakan terdapat kapital baru yang masuk ke dalam pasaran matawang kripto. Seperti yang penulis telah terangkan di atas, USDT penting kerana membeli kestabilan kepada pelabur, dan juga perlindungan pelaburan jika harga matawang kripto jatuh kerana ia disandarkan kepada nilai Dollar. Jadi tidak hairanlah jika kita boleh melihat kesan positif terhadap pasaran matawang kripto dalam hari-hari yang akan datang.
Berita terbaru 18/10/2018 : Pada 17 Oktober 2018, kebanyakan laman berita matawang kripto melaporkan nilai Tether yang jatuh sehingga USD$0.80, pada masa yang sama menaikkan harga Bitcoin sebanyak 12 peratus di platform pertukaran yang menggunakan Tether. Situasi yang dinamakan “Tether Premium” ini disebabkan keadaan panik di pasaran matawang kripto di mana pelabur mula menukarkan Tether kepada Bitcoin. Beberapa matawang kripto ‘altcoin’ lain juga dilihat meningkat sebelum jatuh kembali pada hari ini.
Walaupun tiada sebab yang kukuh mengapa nilai Tether tiba-tiba menjunam, ramai penganalisa pasaran matawang kripto beranggapan ini adalah kerana pelabur sudah mula hilang kepercayaan terhadap Tether sebagai pilihan stablecoin, memandangkan masih lagi tiada ketelusan daripada pencipta Tether tentang simpanan US Dollar yang dikatakan sama dengan jumlah bekalan Tether yang diedarkan.
Pada masa yang sama nilai Tether jatuh, pesaing Tether, TrueUSD naik 0.6 peratus diikuti kenaikan nilai stablecoin yang baru dilancarkan bulan yang lalu, PAX. Pada waktu penulisan, nilai Tether sudah pulih ke USD$0.97.
Maklumat tentang Tether
Nama token : Tether
Penanda token : USDT
Konsep : Matawang Kripto bersandarkan US Dollar
Jumlah bekalan : 3,080,109,502 USDT↑
Dalam edaran : 2,206,421,736 USDT↑
Pencipta : Tether Limited
CEO: Ludovicus van der Velde (juga CEO Bitfinex yang beroperasi di Hong Kong)
Algorithm : Omnilayer Protocol
Yuran transaksi : Tiada
Laman web : Tether
Whitepaper : Tether Whitepaper
Nilai pada 18 Oktober 2018
Modal pasaran (USD) : $2,145,152,563
Harga (USD) : $0.972231
Nilai (BTC) : 0.00014895
Nilai (OMNI) : 0.24055714
Rank (coinmarketcap) : 8↑