Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Apa itu ‘Bounty Program’ dan Kenapa Anda Patut Tahu Tentangnya?

Bila kita bercakap tentang ICO, ramai orang sudah tahu ianya adalah kaedah projek membuat kutipan dana dalam bentuk matawang kripto. Infrastruktur ICO lebih kurang sama seperti crowdfunding, atau mungkin lebih mudah. Pelabur hanya perlu ke laman web ysng melancarkan ICO, mendaftar dan membeli matawang kripto baru itu dengan menggunakan matawang kripto lain atau matawang fiat (jika ada).

Apa yang menarik adalah dari segi pemasaran ICO ini. Memandangkan dunia matawang kripto, walaupun secara perlahan-lahan sudah menjadi mainstream, masih lagi tidak diterima secara meluas, model advertising tradisional seperti penggunaan billboard, iklan di TV atau radio masih lagi tidak efektif dan hanya membuang masa dan wang projek. Malah, Facebook dan Twitter yang membuat keputusan untuk melarang iklan-iklan matawang kripto juga telah merosakkan peluang ICO untuk dipasarkan.

Jadi, pencipta ICO perlu mengambil langkah yang lebih kreatif untuk menyebarkan projek mereka. Disitulah bounty program banyak membantu projek-projek ICO.

Rangka bounty program

Bounty program/campaign secara am adalah tawaran yang diberikan oleh startup, laman web dan software developer yang membolehkan individu memperoleh ganjaran atau pengiktirafan apabila mereka melakukan tugas pemasaran, laporan masalah atau penambahbaikan perkhidmatan. Dalam ICO, sejumlah token akan disimpan sebagai insentif untuk bounty hunters yang membantu menyebarkan tentang sesuatu projek ICO.

Jenis bounty program

Kebiasaannya bounty program dilancarkan samada sebelum ICO, atau pre-ICO bounties, atau selepas ICO, atau post-ICO bounties.

Pre-ICO bounties

Objektif utama di sini adalah untuk menyebarkan tentang ICO yang akan dilancarkan. Dalam kempen ini, kebanyakka tugasan adalah berkaitan marketing, atau pemasaran. Projek ICO akan menawarkan token mereka kepada individu yang mengiklankan projek mereka di pelbagai arena media sosial, seperti:

  • Facebook
  • Twitter
  • Youtube
  • Telegram
  • Slack
  • Blog termasuk Steemit, Medium, dan sebagainya

Selain itu, mereka juga akan menawarkan token kepada pengguna forum Bitcointalk yang meletakkan signature yang diberi oleh projek ICO pada setiap post mereka di forum itu. Selalunya bounty hunter terdiri daripada social media influencers, atau mereka yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Jumlah token akan diberikan mengikut jumlah pengikut dan juga post mereka.

Post-ICO bounties

Kempen ini pula adalah untuk tujuan penambahbaikan produk atau perkhidmatan projek tersebut. Dengan cara ini, mereka boleh mendapatkan komen atau maklum balas secara langsung daripada pengguna. Contoh bounty program di sini adalah

  • Terjemahan – Token akan ditawarkan kepada individu yang boleh membuat terjemahan whitepaper atau laman web mereka. Selain daripada itu, terdapat juga projek yang memerlukan individu menjaga (moderate) forum dalam bahasa asal mereka. Bahasa yang popular adalah seperti Perancis, Jepun, Sepanyol, Jerman, Belanda dan sebagainya.
  • Laporan masalah – Projek ICO juga banyak menawarkan ganjaran dalam bentuk matawang kripto atau fiat kepada individu yang melaporkan masalah tentang penggunaan laman web, walletplatform dan produk-produk lain berkaitan. Laporan-laporan inilah yang banyak membantu developer untuk menambah baik produk mereka dan juga memuaskan hati penyokong projek tersebut.

Kebaikan bounty program

Buat pengguna, bounty program adalah cara terbaik untuk menyertai dan melabur dalam dunia matawang kripto tanpa mengeluarkan wang sendiri, hanya tenaga dan masa. Dan jika anda seorang yang popular dan mempunyai ramai pengikut, atau fasih dalam beberapa bahasa, peluang untuk diterima sebagai bounty hunter sangatlah tinggi. Ini adalah kerana projek ICO mempunyai prasyarat untuk memastikan tugasan pemasaran dijalankan secara efektif.

Buat projek ICO pula, yang selalunya tidak mempunyai dana permulaan atau kapital yang besar, press release atau kempen iklan tradisional mungkin terlalu mahal dan akan membazir sumber yang sudah ada. Bounty program adalah sesuatu yang lebih mudah bagi mereka, lebih-lebih lagi kerana kos yang diperlukan rendah berbanding kaedah pengiklanan tradisional.

Projek ICO yang melancarkan bounty program boleh menguruskannya sendiri daripada awal sehingga akhir kempen itu atau mengupah orang lain untuk menguruskannya. Jika projek itu melancarkan bounty campaign sendiri, kos mereka hanyalah pada sejumlah token yang sudah disimpan, dari 0.5-1 peratus. Mereka tidak perlu menghabiskan ribuan dolar untuk kempen pemasaran tradisional yang mahal dan tidak begitu efektif.

Keburukan bounty program

Setiap perkara pasti ada baik buruknya. Sama seperti bounty program. Ia mungkin sesuatu yang bagus bagi mereka yang ingin mendapatkan token percuma, tetapi ia juga bergantung kepada projek ICO tersebut. Sepertimana ada ICO yang hanya penipuan atau skim ponzi, individu juga perlu berhati-hati dalam menyertai bounty program.

Cuba fikirkan. Anda memasarkan sesuatu produk kepada rakan-rakan, kenalan dan pengikut anda. Sudah pasti anda tidak mahu mengiklankan produk yang berunsur penipuan atau mempunyai risiko yang tinggi, betul bukan? Selain daripada itu, bounty program yang tidak diurus dengan baik akan membenarkan sesiapa sahaja untuk menyertainya, dan tidak membezakan sama ada individu itu betul-betul menyokong projek itu atau hanya inginkan ganjaran. Akibatnya, satu komuniti artifisial akan terbentuk di mana tidak semua menyokong projek tersebut dan ini juga menyebabkan harga matawang kripto itu tidak stabil.

Kebanyakan bounty program tidak meminta bounty hunter mendedahkan kepada orang lain bahawa mereka adalah bounty hunter, dan juga tidak mengumumkan bahawa projek itu melancarkan bounty program, dan ini mengurangkan ketelusan sesuatu projek.

Cabaran bounty program

Bounty program menjadi sesuatu yang popular apabila pelancaran ICO semakin meluas. Memandangkan ia adalah sesuatu yang tidak memerlukan pengguna mengeluarkan duit sendiri untuk mendapatkan token, ia menjadi sesuatu yang dikejar oleh peminat kripto. Namun begitu, sama seperti ICO yang mendapat banyak halangan daripada kerajaan, bounty program juga berada di bawah pengawasan, terutama oleh SEC (US), Federal Trade Commission  (US) dan juga Office of Fair Trading (UK).

Ini adalah kerana SEC menganggap bounty program seperti ICO yang menjual sekuriti, kerana ia menggalakkan orang ramai menyertai sesuatu kempen komoditi yang mempunyai risiko kewangan yang tinggi. Buat syarikat yang beroperasi di Amerika Syarikat yang menawarkan bounty program, tidak kira jika ICO mereka adalah token sekuriti ataupun tidak, di bawah Howey Test, token yang ditawarkan melalui bounty program dianggap sebagai sekuriti dan perlu didaftar di bawah SEC.

Bagaimana untuk menyertai bounty program

Seperti yang dikatakan sebelum ini, bounty program adalah cara yang baik untuk mendapatkan token, dan token itu boleh disimpan sebagai pelaburan anda. Kebanyakkan tugasan yang perlu dilakukan tidak teknikal dan jika anda seorang yang aktif di media sosial, sudah tentu anda tidak rugi apa-apa malah boleh meneruskan hobi anda sambil membuat duit.

Selalunya bounty program akan dilancarkan di forum-forum berkaitan matawang kripto seperti Bitcointalk atau Cryptocurrencytalk. Anda juga boleh mengikuti laman web ICO Drops atau ICO Bounty Hunt untuk melihat senarai bounty program yang ada.

 

Kesimpulan

Bounty program mungkin adalah cara yang baik untuk individu mendapatkan token percuma tetapi seperti ICO, pengguna perlu tetap berhati-hati dalam memilih untuk menyertai bounty program. Ia adalah sebahagian daripada projek sama yang akan melancarkan ICO, dan tidak semua projek itu betul atau mempunyai potensi.

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.