Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Apa yang Menarik di Consensus 2018?

Dalam dunia matawang kripto dan teknologi Blockchain, konferens adalah acara yang dinanti-nantikan. Ini adalah kerana di situlah anda berpeluang mendengar ucapan daripada thought leaders, menghadiri forum-forum tentang perkembangan dunia matawang kripto, melihat pameran dan yang paling penting, bertemu dengan mereka yang mempunyai minat yang sama seperti anda. Consensus adalah konferens tahunan yang dianjurkan oleh Coindesk, dan ianya antara acara yang paling besar dalam industri matawang kripto dan teknologi Blockchain.

Consensus 2018 telah berlangsung pada 14-16 Mei 2018 di New York dan banyak laman berita yang melaporkan kehadiran mencecah lebih 8,500 peserta dan lebih 50 peratus daripadanya adalah peserta dari luar Amerika Syarikat. Penulis adalah antara yang bernasib baik dapat menghadiri konferens tersebut. Jadi, dalam artikel ini penulis ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman penulis di konferens tersebut.

#Protip#1 : Jika anda seorang yang minat untuk belajar tentang teknologi Blockchain dan matawang kripto dengan lebih mendalam, konferens Blockchain adalah tempat terbaik untuk anda.

Dalam acara tahun ini, lebih 250 penceramah – pengasas-pengasas matawang kripto, wakil daripada penguatkuasa kerajaan, pakar dalam bidang undang-undang dan ramai lagi – di jemput untuk berbincang tentang isu-isu berkaitan Blockchain dan matawang kripto. Consensus 2018 juga menganjurkan satu sesi ‘Blockchain job fair’ dan pertandingan ‘Hackathon’ selain daripada beratus-ratus pameran dan demonstrasi.

#Protip#2 : Pastikan anda membeli tiket anda sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum konferens tersebut, atau sebaik sahaja ia diumumkan. Ini adalah kerana semakin dekat dengan tarikh konferens, semakin mahal tiket. Pada masa yang sama, kos untuk pergi/balik dan penginapan juga akan bertambah.

Menurut laporan berita, kehadiran di Consensus 2018 tiga kali lebih besar daripada tahun sebelumnya, menunjukkan lebih ramai yang sudah peka dengan isu-isu tentang Blockchain dan matawang kripto. Dan seperti kebanyakan konferens Blockchain yang lain, kaum lelaki yang memonopoli jumlah kehadiran Consensus 2018 walaupun gerakan ‘Satoshi is Female’ yang mempunyai misi untuk menjadikan dunia Blockchain lebih inklusif, khususnya untuk golongan wanita telah mula membina momentum dan ini dapat dilihat daripada jumlah peserta wanita yang signifikan di konferens itu.

Tema Consensus tahun ini adalah ‘Building the Future of Blockchain and Crypto‘ dan kebanyakan sesi bersama penceramah industri menyentuh tentang pembangunan teknologi Blockchain dalam industri selain kewangan dan juga perkembangan seterusnya dalam teknologi Blockchain. Dua topik yang penulis rasa sangat kritikal dalam dunia Blockchain yang dibincangkan adalah tentang keperluan untuk self-regulatory organisation sebagai ganti kerajaan dan juga kebolehoperasian Blockchain (chain interoperability).

Dalam perbincangan tentang kawal selia kerajaan, salah seorang daripada ahli panel, Yuzo Kano dari bitFlyer telah menceritakan pengalaman beliau sebagai syarikat di bawah pengawalan kerajaan Jepun. Satu dunia mungkin melihat pengiktirafan kerajaan Jepun terhadap matawang kripto pada tahun 2017 sebagai suatu yang positif, tetapi menurut Yuzo Kano, ianya meletakkan pelbagai sekatan kepada operasi pertukaran dalam negara itu. Wakil daripada US Commodity Futures Trading Commission dan juga ahli parlimen negara Gibraltar yang menjadi ahli panel juga bersetuju bahawa self-regulatory organisation mungkin lebih baik daripada campur tangan kerajaan secara langsung. Ini adalah sejajar dengan objektif pasaran matawang kripto untuk membentuk satu pasaran bebas dari pengaruh dan kawal selia kerajaan.

Perbincangan kebolehoperasian Blockchain pula adalah tentang penyelesaian isu skalabiliti dalam Blockchain yang buat masa ini masih lagi terpencil kepada ekosistem tersendiri. Walaupun setiap Blockchain menekankan privasi, sekuriti, fleksibility dan kecekapan setiap sistem kerana ianya terpencil, ia juga menghadkan perkembangan Blockchain dan juga network effects. Jika ianya dapat diselesaikan, potensi baru seperti pemindahan aset dari satu Blockchain ke Blockchain yang lain, program eskrow untuk matawang kripto dan juga pengurusan data lebih besar dapat direalisasikan.

Banyak lagi isu-isu menarik yang ditimbulkan dalam Consensus 2018 seperti Blockchain dalam insurans kesihatan, impak sosial media dalam perspektif terhadap Blockchain, Blockchain sebagai alat demokrasi dalam kerajaan dan macam-macam lagi. Selain itu, Consensus 2018 juga menjadi platform pelancaran pelbagai projek matawang kripto seperti txTENNA, RSK, Polymath 2.0, Blockstack, SONM, dan Streamr. Demonstrasi projek-projek sedia ada seperti Atonomi, Aurora Labs, BitFury, ZCoin, Waves dan HelloGold juga menarik perhatian ramai peserta, terutama mereka yang baru menjejaki dunia matawang kripto.

Untuk pengetahuan semua, HelloGold adalah platform jual beli emas secara digital di Malaysia dan adalah salah satu daripada pemenang FinTech Award Malaysia dan juga penerima Critics’ Choice Most Innovative Islamic Retail Product Award.

Buat penulis, ini adalah kali pertama penulis menghadiri konferens berskala besar seperti ini. Banyak perkara baru yang penulis pelajari, terutama tentang isu-isu kritikal dalam dunia matawang kripto dan teknologi Blockchain yang cuba untuk diselesaikan. Apa yang pasti, konferens seperti Consensus 2018 adalah platform terbaik bukan sahaja untuk membina ilmu pengetahuan tetapi juga untuk membina network, mencari peluang baru dan juga mempamerkan projek-projek menarik. Mana tahu penulis dapat bertemu dengan pembaca coin.my di mana-mana konferens akan datang!

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads