Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Silk Road: Sejarah Hitam Bitcoin

Kalau anda sudah peka dengan matawang kripto, terutama Bitcoin, pada tahun 2011, anda sudah tentu pernah mendengar tentang Silk Road. Atau pernah menggunakannya?

Baiklah. Di bawah andaian anda semua “noob” tentang Silk Road, mari penulis menceritakan tentang sejarah hitam Bitcoin yang sehingga hari ini masih lagi dianggap sebagai faktor terbesar penggunaan Bitcoin yang meluas.

Apa itu Silk Road?

Di permukaannya, Silk Road adalah sebuah platform seperti eBay, Lazada, Amazon dan seangkatan dengannya, di mana anda boleh jual beli apa sahaja. Apa yang membezakannya dengan platform yang lain adalah ia hanya wujud dalam darknet atau dark web. Bagi yang tidak tahu, dark web adalah internet yang hanya wujud dalam darknet, yang juga adalah sebahagian daripada deep web, bahagian WWW yang tidak diindeks dalam enjin pencarian Google, dan hanya boleh diakses menggunakan software yang tertentu sahaja.

Jadi apa yang membuatkan Silk Road ini popular dalam kalangan mereka yang melayari darknetPlatform ini terkenal dengan reputasinya sebagai marketplace untuk penjualan dadah, senjata dan macam-macam lagi produk yang diharamkan di majoriti negara di dunia. Silk Road adalah lokasi pilihan pengedar dan pengguna dadah, peminat senjata haram, pencari pembunuh upahan dan sesiapa sahaja yang memerlukan servis yang tidak ditawarkan di dunia sebenar.

Siapa pencipta Silk Road?

Silk Road dilancarkan pada tahun 2011 oleh seorang individu bernama Ross Ulbricht (yang dikenali sebagai Dread Pirate Roberts) dan ianya aktif selama 3 tahun sebelum ia berjaya ditumpaskan oleh pihak FBI. Salah satu sebab Silk Road boleh bertahan selama 3 tahun adalah kerana pembayaran dalam platform itu dibuat menggunakan Bitcoin, di samping kewujudannya di darknet.

Ross Ulbricht yang berasal dari Austin, Texas mempunyai sarjana muda dalam bidang fizik dari University of Texas dan Sarjana Kejuruteraan dari Pennsylvania State University. Ross dikenali dengan pandangan libertarian tentang dunia dan sering mempersoalkan campur tangan kerajaan dalam polisi negara.

Ross yang pada awalnya berkerja di universitinya  membuat keputusan untuk berpindah ke Silicon Valley untuk mencuba nasib sebagai pengasas start-up seperti kebanyakan computer programmer yang lain ketika itu. Di situlah lahirnya konsep asal untuk Silk Road iaitu menjadikan dunia suatu tempat yang lebih baik dengan “menggunakan teori ekonomi untuk menghapuskan paksaan dan sifat agresif dalam kalangan manusia”.

Silk Road dicipta untuk menjadi free market, di mana kewujudannya diluar kawal selia kerajaan. Ideologi Ross untuk Silk Road adalah sesiapa sahaja yang mengakses platform itu boleh membuat keputusan sendiri tentang apa yang ingin di jual atau di beli tanpa perlu takut dengan akibatnya. Memandangkan Silk Road beroperasi menggunakan Tor, kesemua interaksi pengguna adalah anonymous, dan Bitcoin yang digunakan sebagai matawang dalam platform itu menambahkan lagi keyakinan pengguna Silk Road.

Pada tahun 2011, sebuah artikel oleh Adrian Chen yang diterbitkan di Gawker telah melonjakkan nama Silk Road di Internet dan semakin ramai pengguna yang download Tor untuk akses Silk Road. Selama 3 tahun Silk Road beroperasi, lebih USD$1 bilion telah dibelanjakan di platform itu, dan nilai aset Ross adalah lebih USD$28 juta sewaktu dia ditangkap.

Kejatuhan Ross Ulbricht dan penutupan Silk Road

Pada 2 Oktober 2013, pihak FBI telah menyerbu sebuah perpustakaan awam di San Francisco dan menangkap seorang individu yang dipercayai menggunakan identiti Dread Pirate Roberts dan adalah pengasas Silk Road. Individu tersebut adalah Ross Ulbricht, dan dia telah ditangkap “red-handed” ketika dia menggunakan alias Dread Pirate Roberts untuk akses platform Silk Road sebagai admin dan berhubung dengan seorang ejen FBI yang menyamar sebagai pembeli.

Pihak FBI menemui Bitcoin bernilai lebih puluhan juta dalam komputer riba Ross Ulbricht dan juga sebuah jurnal yang mendokumentasikan semua aktiviti Silk Road. Ross Ulbright didakwa atas tuduhan penggubahan wang haram, penggodaman komputer, konspirasi untuk mengedar narkotik, dan juga cubaan untuk membunuh enam individu. Dan dalam masa beberapa jam sahaja selepas penangkapan Ross Ulbricht, laman web Silk Road dirampas dan platform tersebut ditutup.

Sebanyak 26,000 BTC dirampas oleh FBI daripada akaun Silk Road, bernilai lebih kurang USD$3.6 juta ketika itu (USD$206 juta pada hari ini). Pada Oktober 2013, FBI mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah merampas 144,000 BTC yang dimiliki Ross Ulbricht. FBI telah pun menjual 29,657 BTC bernilai USD$18 juta ketika itu secara lelong dan pada tahun 2017 telah menjual 144,336 BTC untuk USD$48 juta, di mana salah seorang pembelinya adalah Tim Draper, seorang VC yang telah membeli 30,000 BTC.

Apakah kesudahan Silk Road?

Ross Ulbricht bukanlah satu-satunya admin untuk platform Silk Road. Selepas penangkapannya pada Oktober 2013, Silk Road 2.0 telah dilancarkan oleh admin-admin lain. Silk Road 2.0 beroperasi selama satu tahun sebelum admin tersebut ditangkap pada 6 November 2014 dalam operasi “Operation Onymous. “Operation Onymous” adalah sebuah operasi yang dijalankan penguatkuasa undang-undang untuk menjatuhkan pasaran di darknet dan servis-servis lain yang ditawarkan dalam Tor. Silk Road 3 Reloaded (yang sebelumnya bernama Diabolus Market) menggantikan Silk Road 2.0 setelah ia ditutup dan beroperasi sehingga 2017 dan kemudiannya ditutup kerana kekurangan dana.

Sehingga hari ini masih ramai lagi yang mencari alternatif kepada platform Silk Road. Dengan jumlah matawang kripto yang semakin hari semakin banyak, tidak mustahil ada pasaran darknet seakan Silk Road yang masih beroperasi. Ross Ulbricht telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol, tetapi kes mahkamahnya telah menaikkan isu tentang hukuman negara Amerika Syarikat terhadap pengedaran dadah. Tiga hakim yang bersidang untuk kes tersebut juga telah mengkritik polisi kerajaan yang mengharamkan dadah.

Fakta menarik tentang kejatuhan Silk Road

Memandangkan kewujudan Silk Road di darknet, amat sukar untuk mempercayai bahawa pihak FBI berjaya menjatuhkan platform tersebut. Hakikatnya, Silk Road jatuh dengan semudah pencarian Google. Klu terakhir tentang identiti Ross Ulbricht ditemui oleh Gary Alford, seorang penyiasat jenayah IRS yang membuat pencarian Google dan berjaya mengaitkan alias Dread Pirate Roberts dengan satu lagi alias Ross Ulbricht, ‘altoid’ yang digunakan untuk mempromosi Silk Road di forum lain. Alias itu pula dijejak melalui Internet kepada forum Bitcoin yang mengandungi alamat emel peribadi Ross Ulbricht.

Menarik bukan? Menunjukkan bahawa apa sahaja yang kita buat dalam Internet boleh dijejak dengan begitu mudah. jadi berhati-hatilah dengan aktiviti online anda, tidak kira menggunakan matawang kripto atau tidak. Bak kata pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.