Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Zilliqa, Platform Blockchain Generasi ke-3

Masalah skalabiliti dan teori ‘Scalability trilemma

Sejak kewujudan teknologi Blockchain yang diperkenalkan oleh Bitcoin, ramai yang berminat untuk menggunakan teknologi blockchain dalam bidang mereka antaranya perbankan, perniagaan dan sektor awam. Namun begitu, blockchain mempunyai kelemahannya yang tersendiri iaitu ‘scalability trilemma’ yang pernah diperkenalkan oleh pengasas utama Ethereum, Vitalik Buterin.

Menurut teori scalability trilemma, dengan teknologi terkini Blockchain, ianya adalah mustahil untuk sesebuah blockchain mempunyai 3 ciri utama terpenting pada masa yang sama iaitu desentralisasi, skalabiliti dan  keselamatan. Kebanyakan projek-projek utama Blockchain yang terkenal seperti Bitcoin dan Ethereum mengutamakan konsep desentralisasi dan keselamatan.

Projek-projek ini mengorbankan ciri skalabiliti Blockchain dan seperti yang diketahui umum, bilangan transaksi yang boleh berlaku pada blockchain Bitcoin dan Ethereum teramat rendah. Sehingga kini, skalabiliti masih menjadi isu besar untuk projek-projek Blockchain dan kebanyakan projek mengambil jalan untuk mengubah beberapa parameter protokol seperti pada algoritma konsensus dan implementasi blockchain yang berbeza untuk meningkatkan bilangan transaksi blockchain dengan mengurangkan ciri-ciri desentralisasi dan keselamatan.

Secara amnya, kebanyakan penyelesaian yang diberikan oleh projek-projek Blockchain lain ini datang dengan kelemahan baru.

Tumpuan Zilliqa untuk menyelesaikan masalah skalabiliti blockchain

Zilliqa merupakan sebuah projek matawang kripto yang berhasrat menjadi platform Blockchain throughput yang tinggi sekaligus menyelesaikan masalah skalabiliti yang ada pada projek-projek Blockchain kini. Zilliqa berhasrat untuk menjadi pesaing utama kepada projek Ethereum dengan membenarkan penggunaan kontrak pintar dan aplikasi desentralisasi di platform mereka.

Perbezaan utama antara Ethereum dan Zilliqa adalah Zilliqa akan mempunyai kelebihan transaksi yang lebih tinggi pada kos yang lebih rendah berbanding Ethereum dan platform Blockchain yang lain. Zilliqa menyelesaikan masalah skalabiliti secara langsung pada Blockchain dengan menggunakan penyelesaian teknologi baru yang sepenuhnya tanpa mengorbankan ciri-ciri desentralisasi dan keselamatan blockchain tersebut.

Teknologi sharding yang digunakan dalama projek Zilliqa

Zilliqa menggunapakai teknologi sharding iaitu sejenis pembahagian pangkalan data. Ianya berfungsi dengan memecahkan pangkalan data menjadi bahagian yang lebih kecil, lebih cepat, dan lebih mudah diurus yang dipanggil ‘data shards’. Pecahan data ini adalah pecahan pangkalan data, yang bermaksud bahawa pecahan data hanya mengandungi sebahagian daripada pecahan keseluruhan maklumat.

Isi kandungan shards hanya memberi makna apabila ianya disatukan dengan pecahan shards yang lain. Teknik sharding juga membolehkan semua data shards disimpan di beberapa server yang berasingan. Konsep sharding digunakan untuk membahagikan semua kerja pengesahan transaksi dan keselamatan rangkaian di seluruh rangkaian.

Pengesahan transaksi juga dilakukan oleh sekumpulan nod yang terdiri daripada 600 nod maksimum, yang dipanggil shard. Kehebatan teknologi sharding ialah ia membolehkan rangkaian menjadi lebih cepat dengan setiap tambahan nod-nod baru, bukannya lebih perlahan. Lebih ramai pengguna rangkaian Zilliqa, lebih banyak transaksi rangkaian boleh diproses pada kadar yang lebih cepat. Dengan setiap 600 nod baru, rangkaian transaksi akan meningkat.

Algoritma konsensus PBFT dan implementasi kontrak pintar di platform Zilliqa

Kumpulan Zilliqa telah menyatakan bahawa Blockchain mereka dapat mengendalikan hasil transaksi yang disebutkan di atas tanpa mengorbankan ciri dan aspek desentralisasi. Hal ini dapat dilakukan kerana algoritma konsensus hibrid mereka yang unik iaitu pencampuran Proof-of-Work dengan consensus Byzantine Fault Tolerance Praktikal.

Proof-of-Work digunakan untuk membuktikan identiti nod, dan setelah ini dilakukan, nod tersebut akan diberikan shard. Berikutan ini, shard (600 nod) akan mencari konsensus dalamnya sendiri untuk mencapai konsensus untuk microblock, dan kemudian dengan pecahan shards lain untuk blok terakhir melalui algoritma Byzantine Fault Tolerance Praktikal (PBFT).

Zilliqa juga bertujuan untuk membolehkan implementasi kontrak-kontrak pintar dan aplikasi desentralisasi (DApp) digunakan di atas platformnya. Namun, penggunaan teknologi sharding menjadi kekangan untuk implementasi kontrak pintar dan aplikasi desentralisasi kerana ia memerlukan jumlah komunikasi yang tinggi diantara setiap shards yang berlainan untuk membiarkan kontrak pintar dan dapp berjalan seperti yang diharapkan.

Oleh kerana itu, platform pada mulanya hanya menyokong kontrak pintar yang dicipta untuk functional programming dan data flow. Untuk membolehkan penggunaan kontrak pintar dalam platform Zilliqa berasaskan sharding, kumpulan Zilliqa telah mencipta programming language baru yang digelar Scilla. Pada dasarnya, Scilla merupakan sebuah programming language  yang memahami cara memisahkan kerja komputasi suatu kontrak dari aspek komunikatif suatu fungsi.

Penangguhan mainnet kepada Januari 2019

Baru-baru ini, kumpulan Zilliqa telah mengumumkan bahawa mainnet mereka yang dijangka akan dilancarkan pada suku ke-3 tahun 2018 akan ditunda kepada bulan Januari 2019. Antara sebab utama penundaan ini ialah untuk memastikan bahawa kod-kod yang ditulis tersebut mendapat ujian yang betul dan menyeluruh oleh pasukan teras mereka, komuniti dan firma pengauditan. Selain itu, mereka juga bercadang untuk melaksanakan audit keselamatan yang menyeluruh, mengintegrasi platform mereka dengan wallet-wallet dan membawa masuk lebih banyak aplikasi desentralisasi kepada platform mereka.

Kesimpulan

Projek Zilliqa menawarkan penyelesaian utama kepada masalah skalabiliti yang ada pada projek-projek Blockchain dengan adanya bukti untuk tuntutan transaksi yang tinggi dari testnetnya, yang memberikan harapan yang baik untuk mainnet mereka sebaik sahaja ia dilancarkan. Walaupun terdapat penangguhan pada mainnet mereka, mereka telus dalam berkomunikasi dengan pelabur-pelabur mereka. Buat masa ini, teori skalabiliti yang tidak terhad daripada Blockchain Zilliqa adalah strategi jualan utama mereka, Namun mereka mungkin memerlukan sesuatu inovasi tambahan untuk bersaing dengan platform-platform gergasi sedia ada seperti Ethereum dan NEO.

 

Maklumat tentang Zilliqa

Nama token : Zilliqa
Penanda token : ZIL
Umur : 1 tahun
Konsep : Platform Blockchain yang Lebih Canggih, Lebih Pantas
Pencipta : Prateek Saxena, Xinshu Dong dan Amrit Kumar
Jumlah bekalan : 12,600,000,000 ZIL
Dalam edaran : 7,845,981,266 ZIL
Pre-mine : Ya
Kelajuan Transaksi : 1,218 Tx/s (3 shards), 2,488 Tx/s (6 shards)
Ganjaran Blok : Gas Fee (sama seperti Ethereum)
Algorithm : Ethash
Protokol konsensus : PoW/PBFT
Mining : Ya
Laman web : Zilliqa
Sumber Bacaan : Dokumentasi

Nilai pada 31 Oktober 2018
Modal pasaran (USD) : $268,851,166
Harga (USD) : $0.034266

Nilai (BTC) : 0.00000545 BTC

Nilai (ETC) : 0.00017446 ETH
Profile (coinmarketcap) : https://coinmarketcap.com/currencies/zilliqa
Rank (coinmarketcap) : 30

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads