Teknologi Blockchain: Adakah Malaysia Bersedia?
TEKNOLOGI BLOCKCHAIN: ADAKAH MALAYSIA BERSEDIA?
Baru-baru ini, kecoh media sosial dengan cemuhan dan kritikan terhadap Harapan Coin, sebuah inisiatif YB Khalid Samad dalam menyediakan dana untuk Pakatan Harapan berhadapan dengan PRU14 tempoh hari. Semuanya gara-gara sikap segilintir pihak media yang memetik kata-kata YB Khalid secara tidak tepat ketika beliau melancarkan Seminar Blockchain Kebangsaan, lantas menjadi tular di media sosial.
Kritikan-kritikan yang tidak berasas dan tuduhan melulu yang dilontarkan terhadap Harapan Coin bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat ‘marhaen’, tetapi mereka yang dilihat ‘terhormat’ dan cerdik turut terlibat sama. Sebagai individu yang terlibat secara aktif dengan blockchain dan matawang kripto, saya tidak dapat tidak tertanya-tanya, adakah mereka yang mengkritik dan mencerca ini telah membaca kertas putih yang dimuatkan di dalam laman sesawang Harapan Coin? Atau sekurang-kurangnya membaca maklumat-maklumat yang dipaparkan di laman sesawang tersebut? Atau paling koman pun menonton video yang menjelaskan tentang apa itu Harapan Coin?
Jika jawapan untuk ketiga-tiga soalan saya di atas adalah “Tidak” atau “Belum”, maka mereka ini ibarat anjing-anjing menyalak bukit sahajalah. Ops.
Secara tidak langsung insiden ini menggambarkan sikap dan kesediaan rakyat Malaysia terhadap teknologi blockchain secara amnya dan matawang kripto secara khususnya. Meskipun baru-baru ini Luno mengeluarkan hasil kajiannya yang mendapati tahap kebiasaan rakyat Malaysia terhadap matawang kripto adalah jauh lebih tinggi berbanding rakyat Eropah, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang fobia dan jahil terhadap hakikat sebenar teknologi blockchain dan matawang kripto.
Sebut sahaja blockhain, scam. Sembang sahaja tentang matawang kripto, pencucian wang. Aduh. Bilanya rakyat Malaysia nak maju??
Hal ini wajar menjadi kerisauan pihak pemerintah di Malaysia terutamanya, melihatkan kepada potensi teknologi blockhain yang begitu besar dan hebat. Ini adalah kerana, antara pra-syarat untuk sesuatu inovasi atau ciptaan baru dapat dimanfaatkan sepenuhnya di sesebuah negara ialah tahap penerimaan dan pengadaptasian yang tinggi dalam kalangan penduduknya.
Ketika rakyat Thailand sudah boleh berjual beli tenaga elektrik ekstra mereka menggunakan platform berasaskan blockchain, kita masih lagi melihat blockchain itu sebagai sebuah bentuk penipuan.
Tatkala penduduk di Prague sudah boleh menonton wayang menggunakan Bitcoin, kita masih lagi merasakan yang matawang kripto ini tidak lain hanyalah agenda Yahudi dan Freemason untuk mencuci wang.
Dan di kala Singapura dinobatkan sebagai salah satu daripada tiga negara yang paling mesra terhadap matawang kripto, kita masih lagi di takuk lama!
Mujur baru-baru ini Universiti Malaya mengumumkam Makmal Blockchain yang pertama di negara ini manakala Universiti Islam Antarabangsa pula bakal menjadi institusi pengajian pertama yang menyimpan rekod pensijilan dalam blockchain. Dan mujur juga CIMB telah membuat keputusan bijak dengan memeterai perjanjian dengan Ripple untuk menggunakan perkhidmatan mereka dalam menghantar wang secara lebih efisien dan berkesan; jika tidak pasti Malaysia sudah ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain!
Pembentangan bajet 2019 oleh Menteri Kewangan yang baharu, YB Lim Guang Eng, juga mengisyaratkan yang Malaysia masih belum benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan gelombang teknologi blockchain. Dalam banyak-banyak pengumuman dan peruntukan, hanya satu sahaja yang berkaitan dengan matawang digital. Itu pun ia disebut secara sekali lalu sahaja, bahawasanya garis panduan kawal selia untuk pertukaran matawang digital bakal dikeluarkan pada tahun hadapan.
Alamak. Garis panduan apa lagi ni? Orang lain dah berlari jauh dah dan kita baru nak merangkak??
Tidak dinafikan, memang ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengkambinghitamkan teknologi blockchain demi mengaut keuntungan sekelip mata. Memang ada di luar sana mereka yang menjalankan skim ponzi bertopengkan matawang kripto untuk mengumpul kekayaan yang tidak terkira.
Tetapi itu semua tidak sewajarnya dijadikan dalil mengapa kita tidak boleh atau perlu meneroka dan membangunkan teknologi blockchain ini. Kawal selia itu sememangnya wajar dan perlu, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara peneraju dalam teknologi masa hadapan di abad ke-21 ini, kerajaan perlu lebih berani untuk secara aktif memajukan teknologi ini. Lebih banyak dana perlu diberikan kepada penyelidikan dan pembangunan, syarikat-syarikat permulaan (start-up) dan usaha-usaha mendidik dan memberi kesedaran tentang teknologi blockchain dan manfaatnya.
Ibarat Uber dan Airbnb yang suatu ketikanya menjadi ‘musuh’ kepada undang-undang namun akhirnya kerajaan-kerajaan di seluruh dunia terpaksa akur dengan memberi mereka ini kebenaran untuk beroperasi, teknologi blockchain ialah suatu gelombang yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Malah kuasa gangguan (disruptive) yang ada pada blockchain jauh lebih besar dan hebat berbanding mana-mana teknologi atau aplikasi yang ada sekarang ini.
Maka persoalannya, adakah kita sudah bersedia? Atau… Bila kita mahu bersedia?
Penulis: Adam Effendy Mustapha, COO Bayan Token
[Disclaimer : Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Segala cadangan, kenyataan dan nasihat datang dari pihak penulis. Pihak Coin.My tidak terlibat atau bertanggungjawab terhadap kesalahan fakta yang dikeluarkan oleh penulis.]