Default – Above Header Ads

Bitmain : Musuh dalam Selimut Dunia Kripto

Dalam dunia kripto ni, matawang kripto mungkin terkenal dengan potensi mereka untuk mengubah sistem di dunia, atau melancarkan sesebuah operasi. Tetapi ada satu syarikat yang tidak terlibat secara langsung dalam projek matawang kripto, namun sangat terkenal dalam kalangan peminat kripto.

Syarikat itu adalah Bitmain.

Bitmain ini adalah nama sebuah syarikat yang telah mencipta hampir kesemua peralatan perlombongan menggunakan cip ASIC yang dimiliki pelombong seluruh dunia. Itu adalah core business syarikat Bitmain yang berpusat di Beijing, China.

Apa itu cip ASIC?

ASIC adalah akronim bagi application specific integrated circuits, iaitu cip yang dicipta khusus untuk aktiviti perlombongan matawang kripto. Bitmain telah mengeluarkan beberapa peralatan perlombongan matawang kripto yang direka untuk matawang kripto berlainan, termasuklah matawang kripto yang menggunakan algoritma yang popular.

Antara peralatan yang pernah dikeluarkan Bitmain termasuk:

  • AntMiner S9 – Peralatan perlombongan utama Bitmain.
  • AntMiner T9 – Mempunyai kadar kuasa hash pertengahan.
  • AntMiner V9 – Mempunyai kadar kuasa hash yang rendah dan kecil.
  • AntMiner L3 – Boleh melombong algoritma Scrypt seperti Litecoin, Dogecoin dan lain-lain.
  • AntMiner A3 – Boleh melombong algoritma Blake2b seperti Siacoin.
  • AntMiner D3 – Boleh melombong algoritma X11 seperti Dash.
  • AntMiner E3 – Boleh melombong Ethhash seperti Ethereum, ETC dan lain-lain.
  • AntMiner X3 – Boleh melombong Cryptonight seperti Monero.
Default – Inside Post Ads

Isu permintaan dan bekalan

Memandangkan Bitmain adalah pengeluar terbesar peralatan perlombongan cip ASIC, tidak hairanlah jika permintaan terhadap produk mereka sangat tinggi sepanjang masa. Kebiasaannya, produk Bitmain akan dijual beberapa bulan sebelum ia betul-betul dikeluarkan.

Produk Bitmain selalunya habis dijual dalam masa beberapa minit sahaja. Dan permintaan terhadapnya adalah 5 atau lebih daripada setiap pembeli. Sepertimana yang kita tahu, jika sesuatu permintaan terhadap produk itu melebihi bekalannya, akan berlaku fenomena di mana ianya dijual dengan harga premium.

Keadaan ini juga berlaku kepada produk Bitmain. Walaupun harga retail yang diletakkan oleh Bitmain berpatutan, pembeli yang membeli produk Bitmain sewaktu presale biasanya akan menjual  produk tersebut dengan harga dua atau tiga kali ganda lebih mahal selepas Bitmain habis menjual produknya. Ini menjadikan aktiviti perlombongan matawang kripto sesuatu yang mempunyai kos yang tinggi bagi pelombong lain.

Jadi tidak hairanlah jika aktiviti perlombongan dimonopoli pemain industri kan?

Bitmain menguasai rangkaian Bitcoin?

Itu baru satu masalah yang datang daripada bekalan peralatan perlombongan yang terhad. Mari kita lihat operasi mining pool Bitmain pula. Bitmain memiliki mining pool BTC.com dan AntPool. Bitmain juga adalah pelabur dalam mining pool ViaBTC. Menurut graf daripada coin.dance, minggu ini ketiga-tiga mining pool mewakili 16.9%, 12.4% dan 10.2% daripada perlombongan Bitcoin.

Jika kita gabungkan ketiga-tiga mining pool ini, kita boleh lihat mereka menguasai 39.5% daripada keseluruhan rangkaian Bitcoin. Satu bahagian yang sangat besar kan? Dan ramai dalam komuniti kripto merasa ianya sangat bahaya kerana mendekati 51%.

Apa signifikan 51% ni?

Seperti yang kita tahu, dalam proses perlombongan Bitcoin, blok baru dibentuk dengan cara menyelesaikan masalah matematik kompleks. Setiap pelombong dalam rangkaian Bitcoin akan bersaing dengan pelombong-pelombong lain untuk membentuk blok baru paling cepat, dan mana-mana pelombong yang menggunakan peralatan yang mempunyai kuasa pemprosesan yang tinggi akan mendapat kelebihan dalam persaingan ini.

Dalam senario ini, jika pelombong itu berjaya menjumpai kombinasi hash yang betul, blok mereka akan dimasukkan ke dalam rantaian. Jika dua atau lebih blok dijumpai dalam masa yang sama, nod-nod dalam rangkaian akan menentukan blok yang akan dimasukkan, dan blok selebihnya akan menjadi orphan block.

Namun begitu, ini juga bermakna jika terdapat satu entiti yang menguasai lebih daripada separuh nod-nod dalam rangkaian, ia boleh memilih salah satu blok yang telah diketepikan dan menyambung rantaian blok dari situ dan mengejar rantaian asal. Dalam sistem Blockchain, rantaian yang mempunyai sejarah terpanjang (blok paling banyak) akan diterima, dan menyebabkan transaksi dalam rantaian lain menjadi tidak sah.

Dalam erti kata lain, ia adalah risiko terhadap ciri utama Blockchain, iaitu immutability yang bermaksud setiap blok dalam rantaian Blockchain tidak boleh diubah atau dibuang setelah dimasukkan ke dalam rantaian. Selain daripada itu, entiti tersebut juga boleh menolak blok yang dilombong pelombong lain, atau menyenarai hitamkan alamat Bitcoin.

Insiden ini bukan hanya teori kerana ia pernah berlaku sebelum ini. Pada bulan Julai 2014, GHash.io pernah melebihi 51 peratus kuasa hash dalam rangkaian, dan secara sukarela menurunkan kuasa hash ia kepada 39 peratus.

Kritikan dari komuniti kripto

Disebabkan Bitmain menghampiri status monopoli dalam dunia kripto, ramai dalam kalangan kripto yang mula mengkritik Bitmain dan pelbagai teori konspirasi telah timbul.

Salah satunya adalah Bitmain bukanlah hanya mengeluarkan peralatan perlombongan dan menjualnya kepada orang ramai. Banyak teori mengatakan bahawa Bitmain menambahbaik produk mereka dan menggunakannya dahulu selama beberapa bulan dan mengaut keuntungan daripadanya sebelum mengeluarkannya di pasaran. Ada juga teori bahawa Bitmain hanya akan menjual versi produk tersebut selepas ia mereka peralatan yang lebih canggih daripada sebelumnya.

Bukti yang diberikan oleh komuniti berkenaan tuduhan ini adalah hard fork Monero yang berlaku untuk menjadikan produk Bitmain, AntMiner X3, tidak lagi boleh digunakan untuk melombong Monero. Selepas hard fork berlaku, kadar hash dalam rangkaian Monero jatuh hampir 80 peratus. Jika diperhatikan bila kadar hash sebanyak 80 peratus itu berlaku, ia adalah beberapa bulan sebelum AntMiner X3 diumumkan di pasaran.

Walaupun ia bukanlah bukti yang kukuh, ramai dalam komuniti kripto percaya ianya teori yang realistik.

Berita terbaru Bitmain

Baru-baru ini Bitmain mengumumkan bahawa ia akan membuang lebih kurang 50 peratus daripada tenaga kerjanya. Pengumuman ini datang selepas beberapa bulan Bitmain menghantar permohonan untuk masuk ke dalam Hong Kong Stock Exchange.

Menurut CEO Bitmain, Jihan Wu, syarikat itu telah berkembang dengan begitu cepat dan pembuangan pekerja itu adalah sebahagian daripada strategi operasi mereka. Melihat kepada statistik perlombongan di coin.dance, pelarasan operasi Bitmain tidak memberi kesan kepada kadar hash mereka dalam rangkaian Bitcoin.

Adakah Bitmain musuh dalam selimut kripto?

Bitmain boleh dikatakan satu entiti yang penting dalam dunia kripto kerana peralatan yang dicipta oleh Bitmain menjadikan rangkaian Bitcoin dan matawang kripto lain yang dilombong menggunakan ASIC lebih selamat kerana kadar kuasa hash yang sangat tinggi dalam rangkaian. Namun begitu, satu senario yang menakutkan ialah Bitmain mungkin pada satu hari nanti akan mengawal rangkaian Bitcoin dan dari situ pasti akan timbul pelbagai masalah.

Setakat ini, tuduhan-tuduhan terhadap Bitmain masih belum ada bukti yang kukuh, hanya spekulasi daripada komuniti kripto. Tetapi apa yang pasti, Bitmain mempunyai kuasa yang besar dalam rangkaian dan mungkin mampu mengambil alih rangkaian jika ia mahu.

Bitmain mungkin musuh dalam selimut kripto, tetapi selagi ia masih belum berkuasa dan memandangkan semakin banyak pemain-pemain lain dalam peralatan perlombongan yang mula menyertai persaingan ini, kenyataan itu bergantung kepada pendapat tersendiri.

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.