Default – Above Header Ads

Pasaran Kripto VS Pasaran Saham

Dalam mengejar kekayaan dan kebebasan kewangan, ramai akan memilih untuk membuat pelaburan jangka masa panjang, membina portfolio untuk pelaburan aset. Pasaran komoditi, saham dan pertukaran matawang asing adalah aset-aset kewangan yang menjanjikan keuntungan pelaburan yang tinggi dan konsisten.

Ramai juga yang lebih gemar menyertai margin trading atau perdagangan aset pelaburan tertentu secara kerap. Kedua-dua strategi melibatkan membeli dengan harga rendah (“buying low“) dan menjual dengan harga tinggi (“selling high“).

Dan trend yang terbaru sudah tentu pasaran kripto. Boleh dikatakan pelaburan dalam pasaran kripto adalah pelaburan jenis high risk high yield, menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat namun mempunyai risiko yang sangat besar kerana harga yang tidak stabil (“volatile”). 

Ada yang menyamakan pasaran kripto ini dengan pasaran saham, ada juga mengatakan pasaran saham lebih baik daripada pasaran kripto dalam jangka masa panjang kerana keadaan yang konsisten dan stabil (tak tahulah kalau mereka ini membaca berita tentang kejatuhan stok di pasaran atau tidak) tetapi yang mana satu yang betul?

Artikel ini akan cuba merungkai misteri ini. Jeng Jeng Jeng.

Persamaan

Penetapan harga

Pertama sekali, kedua-dua pasaran ini berfungsi dengan asas yang sama. Secara mudah, harga saham atau kripto ditentukan oleh permintaan dalam pasaran. Ini bermakna berapa harga yang sanggup dibayar oleh seseorang untuk saham atau kripto tersebut.

Jika pembeli A membayar lebih daripada pembeli sebelumnya, harga akan meningkat. Jika tiada sesiapa yang sanggup membayar sesuatu harga pasa sesuatu masa, dan pemilik saham/kript itu sanggup melepaskan aset mereka dengan harga yang lebih rendah, harga akan jatuh.

Sandaran nilai

Kedua, saham dan kripto dinilai mengikut nilai semasa dalam fiat. Yang ni logik, betul tak? Memandangkan matawang fiat adalah functional currency, semua komoditi bukan sahaja saham dan kripto akan dinilaikan mengikut kadar fiat seperti USD, GBP, EURO dan sebagainya. Mungkin keadaan ini akan berubah untuk pasaran kripto di masa hadapan, lebih-lebih lagi jika matawang kripto boleh menggantikan matawang fiat.

Penilaian aset

Ketiga, kedua-dua saham dan kripto ini dinilai berdasarkan idea di sebaliknya. Bagi saham, nilainya bergantung kepada prestasi dan keuntungan syarikat disebalik saham tersebut, dan bagi kripto pula, ia bergantung kepada idea sesuatu projek itu.

Perbezaan

Margin Untung-Rugi

Salah satu perbezaan besar antara pasaran saham dan pasaran kripto adalah margin untung-rugi. Jika anda melabur dalam pasaran saham sebagai value investor, anda mungkin menunggu masa agak lama untuk melihat saham yang dipegang meningkat. Kadang-kadang bertahun untuk melihat saham itu naik dengan signifikan daripada harga ketika anda membelinya.

Sebaliknya, jika anda menjadi daily trader atau swing trader pula, anda boleh membuat untung yang banyak dengan syarat anda mempunyai pengetahuan teknikal yang hebat. Namun begitu, terdapat beberapa syarat lain yang anda perlu penuhi, dan salah satunya adalah jumlah deposit yang anda perlu masukkan.

Dalam pasaran kripto pulak, anda boleh jadi kaya dalam sekelip mata sahaja dengan modal yang sangat sedikit. Begitu juga sebaliknya.Ini adalah kerana dalam pasaran kripto, perubahan harga boleh berlaku dengan mendadak. Contohnya, mereka yang membeli kripto sebelum Disember 2018 dan menjualnya ketika harga naik dengan tinggi. Untung betul.

Sebaliknya pula, mereka yang terpengaruh dengan berita kripto pecah rekod dan mula membeli ketika harga tengah tinggi tetapi pasaran sedang menurun. Apabila ia turun dan turun, pemegang kripto mula jual dengan panik dan penjualan mereka itu tidak menguntungkan. Itulah hakikat pasaran kripto yang tidak stabil.

Pemilikan

Sesiapa yang membeli saham akan diberi hak untuk mengundi ke mana arah tuju syarikat tersebut di masa akan datang. Pemegang saham juga berhak mendapat dividen, iaitu beberapa peratus daripada keuntungan bersih syarikat, pada masa sama syarikat di sebalik saham itu mempunyai kewajipan untuk meningkatkan prestasi mereka dan menambah nilai kepada pemegang saham mereka.

Dalam pasaran kripto, pemegang kripto tidak mendapat apa-apa ekuiti dalam syarikat dan juga kebiasaannya tidak mendapat apa-apa pulangan dalam bentuk dividen daripada syarikat kripto itu. Syarikat kripto itu juga tidak perlu menjaga kepentingan pemegang kripto mereka. Dalam erti kata lain, pembeli membeli kripto untuk pelbagai tujuan seperti untuk jual beli (paling popular), penyimpanan nilai (seperti dalam kes Bitcoin), dan penggunaan utiliti (seperti Ether).

Bekalan Aset

Kebanyakan kripto mempunyai bekalan terhad untuk menggalakkan permintaan yang tinggi. Contohnya, Bitcoin mempunyai had 21 juta, dan semakin kita mendekati angka itu, harga Bitcoin akan dijangka naik untuk masa yang singkat. Dan semakin ramai peniaga menerima Bitcoin, permintaan terhadapnya akan semakin meningkat, menjadikannya ianya lumayan sebagai alat pelaburan.

Dalam pasaran saham pula, tiada had untuk bilangan saham yang dikeluarkan sesebuah syarikat. Syarikat itu boleh mengeluarkan saham baru bila-bila masa sahaja, menyebabkan trend bekalan dan permintaan saham mudah untuk dijangka dan dianalisa.

Manipulasi pasaran

Seperti yang kita tahu, pasaran kripto buat masa ini tidak dipantau atau dikawal mana-mana penguatkuasa. Jadi, manipulasi pasaran adalah sesuatu kemungkinan besar berlaku. Contohnya, mereka  yang digelar “whale” atau pemilik aset yang besar yang menggerakkan aset kripto untuk memanipulasi harga. Ataupun skim pump and dump yang semakin berleluasa di pasaran kripto.

Contoh lain juga adalah mereka yang suka menyebarkan berita palsu atau negatif untuk mencipta Fear, Uncertainty and Doubt (FUD) dalam komuniti, bertujuan untuk menurunkan harga kripto tersebut. Ini adalah isu utama yang dihadapi pasaran kripto kerana ketiadaan regulasi atau kawalan penguatkuasa.

Keadaan ini sudah tentu adalah sebaliknya dalam pasaran saham. Kawalan ketat dan penguatkuasaan undang-undang keras memastikan pasaran tidak dimanipulasi dengan begitu mudah, walaupun terdapat juga kes-kes di mana manipulasi berlaku seperti insiders information atau stock fraud.

Kesenangan perdagangan

Ramai orang menyertai pasaran kripto kerana kesenangan untuk mulakan urusan jual beli kripto. Pemindahan aset dan transaksi mengambil masa beberapa saat atau minit sahaja, dan yuran transaksi sangat rendah berbanding saham. Selain daripada itu, akses kepada pasaran kripto adalah 24 jam, bermakna tiada market open/market close seperti pasaran saham.

Manakala dalam pasaran saham yang dikawal, terdapat keperluan untuk mendapat lesen atau kelulusan sebagai pelabur, mendapatkan broker dan juga kos-kos yang terlibat dalam pembelian saham seperti yuran broker, kontrak dan sebagainya. Kebanyakan akses kepada pasaran saham adalah terhad kepada pelabur institusi.

Kesimpulan

Kedua-dua pasaran kripto dan saham selalu dibandingkan tidak kira dari segi harga, jumlah perdagangan, modal pasaran ataupun aspek-aspek lain. Apa yang pasti, setiap orang mempunyai pilihan sendiri sama ada untuk membeli saham atau kripto, atau kedua-duanya sekali.

Dan yang paling penting, strategi sama boleh digunakan untuk kedua-dua pasaran. Contohnya, menjual secara panik ketika harga tengah jatuh akan menyebabkan anda rugi, tidak kira saham atau kripto. Tetapi HODLING sehingga harganya tidak boleh diselamatkan lagi juga akan menyebabkan anda rugi besar.

Jadi bagaimana untuk melabur? Macam biasa, baca dan kaji.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads