Default – Above Header Ads

Kenapa Nilai Modal Pasaran Kripto Sebenarnya Tidak Berguna?

Biasa nampak tak atas ni? Mesti hari-hari bukak, betul tak, tak pun dah “favourite”-kan tab coinmarketcap.com ni.

Sesiapa sahaja yang memiliki matawang kripto sama ada sebagai pelaburan, perdagangan harian, pemindahan wang dan sebagainya pasti akan mendapatkan maklumat terkini daripada laman web di atas atau yang seangkatan dengannya.

Apa maklumat yang boleh diperolehi?

Sudah tentu maklumat pertama yang dicari adalah harga semasa matawang kripto. Selain daripada itu, biasanya pengguna akan melihat jumlah bekalan dan jumlah perdagangan. Satu lagi indikator penting yang dicari adalah jumlah modal pasaran untuk melihat berapa besar satu matawang kripto itu berbanding dengan kripto lain.

Tetapi apa sebenarnya modal pasaran? Dalam pasaran kripto, cara mengira modal pasaran adalah dengan mendarabkan jumlah bekalan matawang kripto itu dengan harganya.

Cuba fikirkan. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto telah bertambah dengan signifikan dalam masa beberapa tahun sahaja, betul? Dan dalam sekelip mata, modal pasaran Bitcoin atau Ethereum boleh meningkat beberapa bilion dalam masa beberapa jam sahaja.

Apa yang berubah? Adakah matawang kripto ini mendapat lebih banyak pengguna, atau melancarkan teknologi baru atau digunakan secara lebih meluas? Hakikatnya, modal pasaran meningkat kerana harga yang meningkat. Dan harga yang meningkat adalah kerana lebih banyak pelabur yang sanggup membayar harga tinggi untuk memiliki matawang kripto itu.

Seperti yang kita tahu, harga matawang kripto dipengaruhi oleh jumlah bekalan dan permintaan. Dan modal pasaran adalah hasil pendaraban harga terkini matawang kripto dan jumlah bekalan yang anda. Ia tiada kene mengena dengan nilai sebenar matawang kripto itu.

Harga matawang kripto berubah setiap saat

Seperti yang diterangkan di atas, pengiraan modal pasaran adalah berdasarkan harga terkini matawang kripto, atau lebih tepat lagi, harga transaksi terakhir matawang kripto itu. Melihatnya dengan lebih mendalam, hasil pendaraban daripada harga terakhir transaksi dan jumlah bekalan yang ada di pasaran tidak relevan dan tiada makna.

Eh, betul ke?

Harga transaksi terkini akan hilang sebaik sahaja transaksi itu selesai, dan harga lain akan menggantikannya. Maksudnya modal pasaran sebenarnya berubah setiap saat atau setiap kali transaksi berlaku. Tambahan lagi, ia menganggap semua pembeli dan penjual, malah pemegang yang HODL, adalah pada harga transaksi terakhir.

Jumlah matawang kripto dalam peredaran tidak tepat

Menurut coinmarketcap, jumlah bekalan matawang kripto dalam peredaran adalah “anggaran terbaik jumlah matawang kripto yang diedarkan dalam pasaran dan di tangan orang ramai.”

Masalahnya di sini, sangat sukar untuk tahu pada sesuatu masa jumlah sebenar matawang kripto dalam peredaran. Pertama, laman web seperti coinmarketcap tidak mengecualikan kripto yang telah hilang buat selamanya (kerana kehilangan private key atau virus atau sebagainya) kerana maklumat itu tiada. Kedua, ia juga tidak mengecualikan jumlah matawang kripto yang disimpan untuk jangka masa yang panjang, seperti oleh HODLer.

Jika ia mengambil kira kedua-dua ini, sudah tentu jumlah bekalan yang diedarkan akan berkurang, mungkin hampir separuh daripada angkanya kerana jumlah itulah yang disimpan untuk jangka masa panjang dan tidak didagangkan.

Modal pasaran bukan pelaburan wang sebenar

Tidak seperti saham, modal pasaran tidak menunjukkan berapa banyak wang telah dilaburkan ke dalam coin atau token di pasaran. Cuba fikirkan. Jika modal pasaran matawang kripto naik atau turun sebanyak USD$100 juta, adakah ini bersamaan dengan USD$100 juta dalam matawang fiat mengalir ke dalam atau keluar dari kripto itu.

Jauh sekali tidak. Hakikatnya, modal pasaran kripto itu boleh sahaja disebabkan harga satu token atau coin. Satu contoh yang senang. Katakan A mencipta 10 juta token ERC20 dan menghantarnya ke bursa pertukaran. A kemudiannya meyakinkan rakannya membeli satu token dengan harga USD$1.

Token ERC20 tersebut disenaraikan dalam coinmarketcap. Berapa agaknya modal pasaran token itu? Senang sahaja. Ia adalah USD$10 juta walhal hanya satu token yang baru terjual, dan yang selebihnya masih dalam peredaran. Nampak tak begitu mudah untuk manipulasi modal pasaran?

Ia tidak bermakna USD$10 juta dilaburkan ke dalam token tersebut. Untuk melihat perubahan modal pasaran, bayangkan rakan A yang membeli token pada harga USD$1 tadi menjualnya dengan harga USD$2. Modal pasaran akan menunjukkan perubahan ini dengan meningkatkannya dari USD$10 juta kke USD$20 juta, walaupun hanya USD$2 yang bertukar tangan.

Jadi apa guna modal pasaran?

Salah satunya adalah untuk menarik minat pendatang baru. Sudah tentu anda akan teruja melihat matawang kripto dengan modal pasaran yang besar, berasa yakin dan pasti teringin untuk membelinya bukan? Strategi ini biasa digunakan oleh projek kripto yang tiada potensi tetapi ingin angka yang menarik minat orang ramai.

Namun begitu, kita tak boleh nafikan angka modal pasaran antara faktor utama pasaran kripto boleh hidup. Ia adalah satu anggaran yang boleh meyakinkan pelabur untuk membayar lebih untuk memiliki matawang kripto itu, hasilnya harga kripto akan naik dan modal pasaran akan meningkat. Ia adalah umpama vanity metrics, atau benda yang boleh diukur tetapi tidak bermakna.

Sehingga kini tiada siapa yang boleh menilai matawang kripto dengan tepat. Setiap matawang kripto mempunyai utiliti berbeza, fungsi berbeza dan untuk sasaran yang berbeza. Buat masa ini, apa yang boleh diperolehi daripada laman web seperti coinmarketcap adalah apa yang kita ada.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads