Default – Above Header Ads

Adakah Anda Bersedia untuk Revolusi Industri ke-4?

Revolusi Industri bermula sejak abad ke-18, dan menandakan transformasi proses pengilangan daripada tangan, atau manual, kepada mesin. Di sinilah bermulanya penggunaan berat tenaga wap dan air, perkembangan peralatan mesin dan juga sistem perkilangan mekanikal.

Ketika revolusi industri ini, sektor tekstil dan juga pengeluaran besi adalah industri paling dominan dari segi peluang pekerjaan, jumlah pengeluaran dan juga pelaburan kapital. Revolusi Industri menandakan titik peralihan dalam sejarah ketika itu kerana ia mempengaruhi semua aspek kehidupan.

Dan sehingga kini, setiap transisi Revolusi Industri telah membawa kita kepada lebih banyak penambah baikan dalam kehidupan, terutama taraf kehidupan, peluang pekerjaan dan juga dari hubungan sosial dalam masyarakat.

Peringkat Revolusi Industri

  • Revolusi Industri Pertama – Berlaku di abad ke-18 hingga ke-19 di Eropah dan Amerika Utara. Proses urbanisasi dan pengindustrian masyarakat yang dahulunya lebih fokus kepada agrikultur.
  • Revolusi Industri Kedua – Berlaku antara tahun 1870 hingga 1914, sebelum Perang Dunia Pertama. Selain daripada perkembangan industri sedia ada seperti tekstil dan pengeluaran besi, industri baru seperti minyak dan elektrik mula dikembangkan. Pada masa wujudnya teknologi baru seperti telefon, mentol, fonograf dan enjin haba (ICE).
  • Revolusi Industri Ketiga – Revolusi Digital. Era ini bermula daripada tahun 1980-an dan berterusan sehingga kini. Sewaktu revolusi ini, Internet dicipta dan berkembang dalam masa 10 tahun, wujudnya sektor baru iaitu Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) dan juga perkembangan komputer peribadi.

Revolusi Industri Keempat

Revolusi Industri Keempat menandakan perubahan signifikan dalam cara kita bekerja, hidup dan berhubung sesama sendiri. Ini adalah kerana revolusi industri kali ini menggabungkan dunia digital daripada revolusi industri sebelum ini dengan dunia fizikal kita melalui sistem siber fizikal.

Dari segi kelajuan perkembangan, skop dan juga impak, sambungan daripada revolusi industri ketiga ini adalah di luar jangkaan kita semua. Jika anda melalui perkembangan internet di tahun 1980-an, dapatkah anda bayangkan pada hari ini kita dapat berhubung dengan hampir 7.7 bilion penduduk di dunia ini hanya dengan telefon pintar sahaja? Bagaimana pula dengan segala jenis maklumat yang boleh diperolehi hanya dengan menaip beberapa patah perkatan di Internet sahaja?

Itu hanya setitik sahaja daripada apa yang ditawarkan oleh revolusi industri terbaru ini. Jika revolusi pertama adalah transformasi mekanikal daripada manual, kita boleh menggambarkan revolusi terbaru ini sebagai pendigitalan dunia fizikal. Teknologi baru yang dipanggil emerging technologies seperti pencetakan 3D, robotik, AI, nanoteknologi, bioteknologi, quantum computing, teknologi blockchain, Internet of Things dan pelbagai perkembangan teknologi lain adalah petanda besar Revolusi Industri Keempat ini.

Dalam bukunya yang bertajuk The Fourth Industrial Revolution, Profesor Klaus Schwab yang merupakan pengasas dan pengerusi eksekutif World Economic Forum, menggambarkan potensi besar revolusi industri ini, dan juga risiko yang berkaitan dengannya. Memetik kata-katanya dalam buku itu,”Perubahan yang berlaku sangat mendalam sehinggakan, dari perspektif sejarah manusia, tidak pernah lagi wujud zaman di mana terdapat potensi yang sangat besar tetapi juga risiko yang besar. Meskipun begitu, kerisauan saya adalah pembuat keputusan sangat mudah untuk kekal dalam pemikiran linear dan tradisional (dan tidak disruptive) atau terlalu sibuk dengan isu jangka masa pendek untuk berfikir secara strategik tentang kuasa inovasi yang mengubah masa depan kita.”

Impak Positif

Kita sudah melihat bagaimana teknologi telah membawa perubahan kepada pendidikan dan juga akses kepada maklumat. Kemudahan ini telah membawa kepada penambahbaikan kehidupan berbilion penduduk di seluruh dunia, terutama mereka yang berada di negara kurang membangun.

Revolusi media sosial yang dibawa oleh Google, Facebook dan Twitter telah mewujudkan satu platform di mana anda boleh berhubung dengan mudah dari mana sahaja lokasi di dunia ini, dan yang paling penting ia telah memberi masyarakat medan untuk menyuarakan pendapat dan menjadi agen perubahan apabila perlu.

Inovasi Internet telah membawa berbilion orang ke dalam ekonomi global. Akses kepada produk dan perkhidmatan kini tidak terhad kepada lokasi sahaja, dan memberi peluang baru untuk membeli, menjual, dan menjana pendapatan dengan pelbagai cara. Inovasi seperti platform beli belah online, perkhidmatan penghantaran dan macam-macam lagi telah mengubah pengalaman beli-belah dan mewujudkan industri baru untuk menjana ekonomi.

Begitu juga dengan perkembangan teknologi dalam bidang lain seperti kesihatan yang telah membawa kepada implementasi teknologi untuk mengesan penyakit, merawat dan menyelamatkan nyawa. Dan inovasi ini akan berterusan membawa penambahbaikan dalam sektor ini.

Teknologi Blockchain telah membawa kepada satu ekonomi baru berteraskan matawang kripto. Transaksi serta-merta dan merentasi sempadan. Aplikasi desentralisasi. Ketelusan sistem pengkalan data. Bukan itu sahaja, ia juga telah membawa penambahbaikan ke dalam pelbagai sektor industri.

Terlalu banyak impak positif yang dibawa oleh perkembangan teknologi dalam kehidupan kita. Bayangkan jika anda tidak mempunyai akses kepada Internet pada hari ini. Adakah anda rasa anda boleh bekerja secara efektif dan produktif?

Impak Negatif

Setiap yang baik mesti ada keburukannya. Sama juga dengan perkembangan teknologi. Walaupun kebaikannya melebihi keburukan perkembangan teknologi, kita masih perlu berhati-hati dengan matlamat yang ingin dicapai daripada inovasi teknologi.

Ini adalah kerana perkembangan teknologi juga boleh membawa kepada sesuatu yang boleh memberi impak yang negatif terhadap masyarakat. Contohnya kontroversi dalam bidang bioteknologi yang melibatkan perubahan DNA/genetik ataupun fenomena designer babies. Perkembangan dalam AI, robotik, bioengineering dan banyak lagi boleh digunakan untuk mencipta senjata merbahaya di tangan yang salah.

Dan yang paling memberi impak sudah tentu media sosial. Gelanggang media sosial telah merobohkan sempadan dunia dan membawa manusia seluruh dunia lebih rapat tetapi ia juga telah mewujudkan medan untuk pembulian siber, penyebaran ideologi berbaur rasis dan benci, penyebaran berita palsu dan macam-macam lagi. Tambahan lagi, media sosial telah mencipta generasi baru yang lebih mementingkan hubungan online daripada hubungan di dunia fizikal, menyebabkan pelbagai isu psikologi yang berlaku.

Kewujudan pasaran matawang kripto mungkin telah membuka peluang pelaburan kepada orang biasa, tetapi ia juga telah mengundang manipulasi dan kegiatan jenayah yang tidak terkawal seperti penipuan dan penggubahan wang haram.

Hakikatnya, perkembangan teknologi membawa pelbagai kebaikan tetapi jika tidak dikawal, ia juga boleh membawa kepada banyak perkara negatif.

Kesimpulan

Kita berada di ambang Revolusi Industri Keempat. Inovasi dalam teknologi baru seperti AI, bioteknologi, quantum computing, teknologi blockchain dan sebagainya akan mengubah kehidupan kita di dunia di masa hadapan. Kita sendiri, bersama-sama kebolehan kita, identiti kita, potensi dan juga perspektif kita akan berkembang bersama-sama dengan revolusi teknologi.

Tiba masanya untuk kita lebih proaktif dalam memahami impak teknologi ini dalam kehidupan kita sendiri. Nak atau tidak, kita pasti akan mendapat impak daripadanya. Secara global, negara perlu sedar tentang kepentingan pelaburan dari segi kewangan dan juga sumber manusia dalam sektor teknologi. Sistem pendidikan dan latihan perlu diselaraskan untuk menyediakan generasi akan datang dengan kemahiran dan pemikiran kritikal yang diperlukan di masa hadapan. Sebagai individu, kita perlu mengubah perspektif kita dan sedar bahawa pekerjaan kita pada hari ini bakal berubah dalam masa terdekat.

Seperti yang dikatakan Profesor Klaus Schwab dalam bukunya, “Revolusi Industri Keempat boleh menjejaskan sumber kehidupan manusia yang tradisional – kerja, komuniti, keluarga dan identiti – atau ia boleh menaikkan kemanusiaan kepada satu kesedaran kolektif dan moral yang baru berdasarkan firasat takdir yang dikongsi. Pilihan itu ditangan kita.”

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads