Apa itu “Wash Trading” Dalam Kripto?
“Wash trading” adalah antara isu yang paling besar dan memudaratkan dalam pasaran kripto. Dalam beberapa bulan yang lalu, sejak pasaran kripto menarik perhatian pemain institusi, isu ini telah menjadi topik penyelidikan penganalisa pasaran kripto. Ia adalah isu yang dianggap kronik kerana dalam pasaran saham atau komoditi yang dikawal selia, wash trading adalah haram dan satu jenayah.
Memandangkan pasaran kripto tidak dikawal selia, aktiviti jenayah yang selalunya dapat dikawal di pasaran saham atau komoditi berleluasa dan berkembang tanpa akibat. Contohnya penggubahan wang haram, penipuan, dan yang terbaru adalah wash trading.
Apa itu wash trading?
Wash trading adalah satu jenis manipulasi pasaran di mana pedagang membeli dan menjual aset atau instrumen kewangan secara serentak. Dan dalam kes ini, instrumen kewangan itu adalah token atau coin. Tujuan aktiviti wash trading adalah untuk mencipta aktiviti perdagangan palsu dalam pasaran, selalunya untuk menaikkan jumlah perdagangan sesuatu matawang kripto.
Hasilnya, ramai pelabur yang akan tertarik dengan prestasi matawang kripto itu dan mula membelinya kerana takut ketinggalan (FOMO).
Aktiviti wash trading telah dilarang di Amerika Syarikat sejak 1936 lagi dengan Akta Pertukaran Komoditi (Commodity Exchange Act) dan juga bidang kuasa untuk melindungi pelabur. Selain daripada wash trading, satu lagi aktiviti yang sering dikelirukan dengannya adalah wash sale, di mana pelabur menjual saham, atau sekuriti lain dan rugi dan membeli mereka kembali. Ia digunakan untuk merekod kerugian dalam pemfailan cukai, walaupun sebenarnya kedudukan mereka tidak berubah. Internal Revenue Service Amerika Syarikat mendefinisikan wash sale sebagai satu aktiviti yang berlaku dalam masa 30 hari pembelian sesuatu sekuriti itu, yang menyebabkan kerugian. Oleh kerana itu, IRS tidak membenarkan pembayar cukai US menolak kerugian daripada wash sale.
Kajian tentang wash trading dalam pasaran kripto
Dalam pasaran kripto, kita boleh melihat jumlah perdagangan yang telah diselaraskan (“adjusted volume“) di Coinmarketcap, tetapi ramai yang telah mempersoalkan kesahihan maklumat itu. Begitu juga dengan jumlah perdagangan yang dilaporkan bursa pertukaran, yang dikatakan ditambah untuk menunjukkan prestasi yang baik.
Sehinggakan baru-baru ini saty syarikat perkhidmatan data kripto telah mengeluarkan metrik baru yang dipanggil “Real 10 Volume”, yang hanya akan memasukkan data dari bursa pertukaran yang melaporkan jumlah perdagangan yang betul.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Blockchain Transparency Institute (BTI), sebanyak $6 bilion dalam jumlah perdagangan harian adalah palsu hasil daripada wash trading. Kajian BTI itu menyatakan bahawa sehingga 90% daripada pelabur baru di bursa pertukaran merujuk jumlah perdagangan daripada laman web seperti Coinmarketcap yang menentukan kedudukan matawang kripto, jadi terdapat motif untuk bursa pertukaran melebihkan jumlah perdagangan harian mereka.
BTI telah mengkaji sebanyak 131 bursa pertukaran. Jumlah perdagangan yang direkod oleh semua bursa pertukaran itu adalah dalam $9.6 bilion, sementara jumlah perdagangan yang telah diselaraskan melalui penyelidikan itu adalah $3.2 bilion. Ini bermakna sebanyak 67% daripada jumlah perdagangan yang direkod adalah jumlah yang dipalsukan melalui wash trading.
BTI telah melancarkan inisiatif self-regulatory untuk mengesahkan jumlah perdagangan di bursa pertukaran kripto dan mana-mana bursa pertukaran yang melepasi piaiwaian BTI akan diberi status “BTI Verified”. BTI juga menawarkan algoritma yang digunakan dalam penyelidikan mereka kepada bursa pertukaran yang ingin membersihkan platform mereka daripada aktiviti wash trading. Gambar rajah di atas adalah 12 bursa pertukaran terbesar dalam pasaran kripto.
BTI juga membuat penyelidikan ke atas 567 token yang tersenarai dalam 40 bursa pertukaran terbesar dan menemui bahawa 150 token daripada 567 terlibat dalam aktiviti wash trading lebih daripada 50% setiap hari.
Insentif untuk wash trading
Dalam pasaran kripto, antara metrik yang pelabur baru akan lihat adalah jumlah perdagangan dan banyak bursa pertukaran yang mempunyai motivasi untuk menaikkan jumlah perdagangan harian mereka. Ini adalah kerana jumlah perdagangan yang tinggi akan membawa kepada kecairan yang tinggi, yang akan menarik lebih banyak pedagang dan akhirnya meningkatkan keuntungan.
Ini menyebabkan beberapa bursa pertukaran memberi insentif untuk wash trading demi meningkatkan jumlah perdagangan kripto. Terdapat beberapa skim atau taktik yang digunakan bursa pertukaran untuk menarik pedagang baru.
1. Pelancaran token bursa pertukaran
Bursa pertukaran seperti Binance melancarkan tokennya sendiri, iaitu Binance Coin (BNB) untuk membayar yuran perdagangan dan juga ganjaran untuk menguji platform pertukaran desentralisasi (DEX). Pada masa sama, peningkatan dalam Initial Exchange Offering (IEO), iaitu matawang kripto yang dilancarkan bursa pertukaran, menambah utiliti untuk BNB.
Contohnya, IEO Fetch.AI pada bulan Februari melalui platform Binance, di mana pelabur hanya boleh membeli token FET dengan BNB. Akhirnya Binance mendapat kelebihan daripada penawaran eksklusif ini, menambah permintaan untuk BNB dan meningkatkan jumlah perdagangan token itu.
2. Ganjaran menggantikan yuran
Satu lagi teknik terbaru yang digunakan bursa pertukaran adalah transaction fee mining atau trans-fee mining. Kebanyakan bursa pertukaran mengenakan caj atau yuran perdagangan antara 0.25-0.75%. Namun begitu, bursa pertukaran yang menggunakan trans-fee mining beroperasi dengan model yang berbeza. Dalam model ini, pedagang akan dibayar balik untuk trans-fee mining tadi dengan token bursa pertukaran itu.
Sebuah bursa pertukaran China, FCoin telah menggunakan model ini dan melaluinya, bursa pertukaran itu boleh mengedarkan tokennya dengan cepat dan mudah tanpa perlu melalui proses ICO. Dan hasilnya, bursa pertukaran itu boleh merekod jumlah perdagangan yang tinggi di Coinmarketcap, dan menarik lebih ramai pengguna baru ke bursa pertukaran itu.
3. Perdagangan stablecoin
Satu lagi cara yang digunakan bursa pertukaran untuk mengembungkan jumlah perdagangan adalah dengan perdagangan antara stablecoin. Walaupun stablecoin disandarkan dengan ratio 1:1 kepada US Dollar, bursa pertukaran BitMax telah merekod jumlah perdagangan yang tertinggi untuk pasangan stablecoin PAX/USDT dan USDC/USDT yang tidak masuk akal.
Menurut beberapa penganalisa, BitMax seperti FCoin menggunakan tokennya sendiri BTMX sebagai insentif untuk berdagang di platform itu. Mereka menyimpulkan bahawa pengguna mendagangkan stablecoin dengan banyak untuk mengumpul ganjaran dalam BTMX. Mereka kemudiannya menjual token itu pada harga yang tinggi, menjana jumlah perdagangan yang tinggi di bursa pertukaran itu.
Kesimpulan
Aktiviti wash trading berleluasa dalam pasaran kripto kerana ketiadaan kawal selia, dan lambat laun ia akan menjejaskan pasaran kripto, terutama apabila pelabur mula menarik diri kerana risiko yang tinggi. Tetapi dengan pengawal seliaan pasaran kripto menjadi topik utama dengan kemasukan pemain institusi, kita akan dapat melihat projek blockchain dan matawang kripto menjadi lebih telus untuk membuang pemain jahat.