Default – Above Header Ads

Apa itu “Market Maker”?

Tahukah anda “market maker” adalah antara komponen utama yang menghidupkan pasaran kewangan, tidak kira pasaran kewangan tradisional mahupun pasaran kripto? “Market maker” adalah komponen yang membekalkan kecairan (liquidity) yang amat diperlukan, kerana jumlah penjual dan pembeli sahaja tidak mencukupi untuk membina kecairan yang konsisten.

Apa itu market maker?

Fungsi utama market maker adalah untuk memastikan pasaran kewangan sihat dan aktif untuk pesertanya – dengan cara meletakkan beberapa limit order dalam buku permintaan (book order) dalam bursa pertukaran. Market maker akan berterusan membuat bid (membeli) atau ask (menjual) dan juga menetapkan jumlah dalam pasaran.

Institusi yang menjadi market maker perlu berdaftar dan kebiasaannya akan mempunyai perjanjian dengan bursa pertukaran yang disertai. Perjanjian itu akan memberi mereka kelebihan dari segi yuran yang lebih rendah, atau komisyen, dengan syarat mereka menyediakan kecairan yang telah ditetapkan bursa pertukaran itu.

Jika anda ingin melihat tahap kualiti kecairan yang ada dalam bursa pertukaran kripto, anda hanya perlu melihat kepada kedalaman (depth) buku permintaan dan juga saiz spread buku permintaan itu (spread adalah perbezaan antara bid dan ask).

Menambah kedalaman pasaran (market depth)

Market maker akan meletakkan limit order dan ini akan menambah kedalaman buku permintaan. Tanpa market maker, ditambah dengan jumlah pedagang yang kecil atau tidak konsisten, buku permintaan tidak mempunyai jaminan untuk menjalankan transaksi dengan cepat dan tanpa menjejaskan nilai aset yang didagangkan itu.

Kehadiran market maker untuk memastikan buku permintaan penuh adalah sangat penting untuk pedagang yang mempunyai net worth yang tinggi, kerana kebiasaannya mereka akan meletakkan permintaan bid atau ask yang besar dan jika tahap kedalaman buku permintaan adalah memuaskan, permintaan itu akan dilaksanakan tanpa berlaku slippage yang signifikan atau perbezaan antara harga transaksi yang dijangka dan harga di mana transaksi itu dilaksanakan.

Oleh itu, kehadiran lebih banyak market maker dalam bursa pertukaran akan mengurangkan risiko kekurangan kecairan yang diperlukan. Dengan memastikan mekanisme untuk market maker adalah efisyen, bursa pertukaran boleh menjana keuntungan yang konsisten dan pada masa sama juga pedagang akan mendapat nilai surplus yang lebih tinggi.

Di bawah adalah contoh buku permintaan yang tidak mempunyai market maker, menyebabkan ia tidak mempunyai permintaan bid yang mencukupi untuk membolehkan penjual menjual aset mereka.

Di bawah pula adalah contoh buku permintaan yang mempunyai market maker, di mana mereka menutup jurang harga dan mendalamkan buku permintaan dengan tawaran bid/ask.

Mengawal spread

Satu lagi peranan market maker dalam pasaran kewangan adalah memastikan nilai spread adalah berdaya saing dan stabil. Spread seperti yang disebut di atas adalah perbezaan antara harga bid dan ask. Contohnya, satu market maker akan meletakkan harga bid (beli) aset A pada harga $10 dan akan meletakkan harga ask (jual) pada $10.05. Ini bermakna nilai spread adalah 5 sen dan itu adalah untung setiap aset yang didagangkan. Jika market maker itu boleh mendagangkan 10,000 aset pada harga di atas, keuntungannya daripada spread itu adalah $500.

Dalam pasaran kripto yang tidak stabil, market maker akan menjamin spread kekal stabil kerana jika ianya berubah secara mendadak dari 5 sen ke $300 contohnya, ia boleh menjejaskan bursa pertukaran itu dan menyebabkan kehilangan pedagang.

Market maker dalam pasaran kewangan tradisional

Dalam pasaran kewangan tradisional, market maker perlu beroperasi di bawah peraturan yang telah ditetapkan oleh bursa pertukaran, yang sudah diluluskan oleh penguatkuasa negara itu, contohnya Securities Exchange Commission di Amerika Syarikat.

Bursa pertukaran besar seperti NYSE dan NASDAQ menggunakan institusi High-Frequency Trading yang mengambil pakar kewangan kuantitatif terhebat dunia untuk mencipta algoritma perdagangan yang paling sihat.

Keperluan market maker dalam pasaran kripto

Kita sedia tahu tahap ketidakstabilan (volatility) pasaran kripto adalah sangat ekstrem. Setiap hari token baru akan disenaraikan dalam bursa pertukaran dan jumlah penjual dan pembeli yang kecil tidak mencukupi untuk menubuhkan kecairan dalam pasaran token tersebut menyebabkan nilainya jatuh atau naik secara mendadak. Jika anda lihat kebanyakan token yang disenaraikan di pasaran akan bermula dengan harga yang agak tinggi dan tidak lama kemudian, harganya akan jatuh mendadak. Itulah nasib kebanyakan token baru di pasaran kripto.

Jika kita lihat pasaran kewangan tradisional, contohnya NASDAQ, terdapat lebih dari 3300 stok dan mempunyai jumlah perdagangan harian lebih kurang $140 bilion. Sementara itu, pasaran kripto pula mendagangkan lebih 2000 token dan matawang kripto dengan jumlah perdagangan harian sebanyak $60 bilion. Jika kita menganggap jumlah perdagangan yang dilaporkan semuanya adalah angka yang sebenar, ia bersamaan dengan jumlah perdagangan yang kurang daripada 50% untuk jumlah aset kurang 40% daripada stok pasaran kewangan tradisional, menunjukkan tahap volatility yang sangat tinggi, jika tidak ekstrem.

Ditambah lagi dengan perdagangan pasaran matawang kripto yang berterusan 24/7 tanpa henti, dan memandangkan ia meliputi seluruh dunia, menjadikan kehadiran market maker dianggap sangat kritikal dalam pasaran kripto.

Kesimpulan

Market maker adalah komponen penting dalam mana-mana pasaran kerana jumlah pedagang selalunya tidak mencukupi untuk membekalkan kecairan dalam pasaran itu. Jadi dalam pasaran desentralisasi, satu institusi khusus yang mengekalkan harga, jumlah perdagangan, dan juga spread dengan stabil adalah pilihan yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads