Edward Snowden Mensasarkan Ancaman terhadap Bitcoin dan Matawang Kripto
Dari sebuah lokasi yang tidak diketahui di Rusia, bekas kontraktor maklumat Edward Snowden muncul di Bitcoin 2019, sebuah persidangan yang berlangsung selama dua hari dianjurkan oleh Bitcoin News di San Francisco pada 25-26 Jun. Dalam memberi respon terhadap persoalan tentang privasi, serangan siber, perbankan, penguatkuasa dan Bitcoin, Snowden menjelaskan tentang ancaman yang wujud kepada matawang kripto dan mengapa privasi itu penting – sama ada seseorang mempunyai sesuatu untuk sembunyikan atau tidak.
Snowden berkata:
“Kita baru sahaja melihat Erik Voorhees di atas pentas. Dia menjalankan ShapeShift untuk masa yang sangat lama yang merupakan perkhidmatan yang berguna. Ia membolehkan anda pergi dari satu blockchain ke blockchain yang lain, dari satu token ke satu token yang lain. Dan ia adalah percuma. Dari segi identiti, sesiapa sahaja boleh membuat transaksi. Dan mereka mengubah model perniagaan mereka secara keseluruhan, kerana mereka menerima surat permintaan dari kerajaan berkata jika anda tidak mula memantau semua pelanggan anda, jika anda tidak mula mengutip paspot, jika anda tidak mula menyimpan semua data ini untuk kebaikan kami, kami akan menutup operasi anda…”
“Ini adalah status quo. Ini adalah bagaimana perbankan berfungsi.”
Snowden berkata Bitcoin adalah “wang bebas” dari segi penggunaan. Pengguna tidak perlu mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan dan mereka tidak berada di bawah undang-undang korporat yang mempunyai kuasa untuk menendang seseorang keluar.
“Anda boleh menukar dan berinteraksi tanpa memerlukan kebenaran. Apabila saya berfikir tentang privasi, apabila saya berfikir tentang kebebasan, ini adalah semua itu. Apa erti kebebasan? Ia adalah kebebasan daripada kebenaran. Ia bermakna kita hidup dengan cara yang kita boleh eksperimen. Kita boleh berinteraksi. Kita boleh mencuba perkara baru. Kita boleh gagal. Dan kita tidak memerlukan kebenaran daripada pejabat pengetua. Kita tidak dipantau. Kita tidak direkod. Dan kerana ini, kesilapan kita tidak menjejaskan kita.
Teras ini, kebolehan untuk bertindak tanpa kebenaran, selagi anda tidak menyusahkan orang lain…ini adalah teras semua hak.”
Dia menambah lagi:
“Ini hakikatnya: ketiadaan privasi adalah ancaman sedia ada kepada Bitcoin, dan ia adalah ancaman sedia ada kepada ruangan matawang kripto. Sebabnya adalah privasi adalah satu-satunya perlindungan yang Bitcoin ada untuk pengguna, pengguna yang berinteraksi dalam ekosistem ini, untuk melindungi mereka daripada perubahan dalam dunia politik atau apa-apa bidang kuasa di mana mereka berada.”
“Ini adalah sesuatu tentang privasi yang orang lupakan. Jika salah seorang daripada kamu menyerahkannya, kerana kamu berkata, ‘Ia tidak berguna untuk saya’, kamu mengambilnya daripada semua orang lain yang tidak mempunyai tahap keselesaan yang sama, yang tidak mempunyai kelebihan itu. ‘Privasi tidak bermakna bagi saya’, tetapi mereka tinggal di China atau Rusia atau Iran atau Venezuela di mana mereka berada dalam kedudukan yang lebih terdedah atau mereka mungkin akan lebih terdedah esok hari kerana undang-undang berubah setiap hari.
Dan ini adalah sesuatu tentang privasi yang saya fikir ramai antara kita sudah lupakan, dan kenapa ianya penting untuk pertahankan. Tidak kira jika anda tiada apa-apa untuk sembunyikan, kerana privasi bukanlah tentang sesuatu yang ingin disembunyikan. Privasi adalah tentang sesuatu untuk dilindungi. Dan apa yang anda lindungi adalah masyarakat bebas dan terbuka. Apa yang lindungi adalah hak untuk bertindak dan mencuba untuk menjadi berbeza. Kerana itu yang privasi lindungi. Ia melindungi orang yang berbeza.”
Sumber:
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!