Default – Above Header Ads

8 Negara yang Mendahului Perlumbaan Blockchain

Selepas sepuluh tahun, teknologi Blockchain dan matawang kripto telah (shift) dari hanya sesuatu yang dibincangkan dalam forum anarki dan peminat kriptografi, kepada satu trend dalam industri seluruh dunia. Banyak negara-negara yang sudah mula bergerak ke arah implementasi atau adoption teknologi Blockchain di negara masing-masing.

Kadar kajian dan penyelidikan teknologi Blockchain juga telah berkembang dengan meluas, setanding dengan perkembangan dalam bidang teknologi lain seperti Artificial Intelligence (AI), machine learning, big data dan sebagainya. Teknologi Blockchain berpotensi untuk mengubah dunia melalui kelebihannya dari segi ketelusan, keselamatan, kemudahan akses dan kadar transaksi yang pantas.

Namun begitu, walaupun potensi teknologi Blockchain diterima rata-rata dunia, tidak begitu banyak negara yang betul-betul implementasi teknologi ini dengan jelas walaupun sudah satu dekad berlalu. Ini adalah kerana masih banyak lagi tentang teknologi Blockchain yang tidak diketahui, lebih-lebih lagi impaknya terhadap kawal selia dan undang-undang dalam sesebuah negara, memandangkan teknologi Blockchain mula dikenali melalui kewujudan matawang kripto.

Dalam artikel ini, penulis ini memperkenalkan 8 buah negara yang mendahului perlumbaan dalam implementasi teknologi Blockchain ini. Potensi teknologi Blockchain untuk diaplikasikan kepada pelbagai sektor seperti kewangan, pendidikan, logistik, pentadbiran dan macam-macam lagi menjadikan negara-negara ini terbuka untuk menerokainya dan mendapat kelebihan first-mover advantage dalam industri ini.

Apakah negara-negara itu?

1. Malta

Siapa tahu Malta di mana, tanpa perlu menggunakan pencarian Google? Penulis pasti ramai yang tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini. Malta adalah sebuah pulai yang terletak di selatan Eropah, antara Sicily, Itali dan kepulauan Afrika Utara. Dengan populasi sebanyak 475,000 dan keluasan sebesar 315km persegi, Malta adalah negara kesepuluh terkecil di dunia.

Untuk memberi anda sedikit perspektif tentang saiz Malta, keluasan Malaysia adalah 330,803km persegi. Negeri terkecil di Malaysia adalah Perlis, dan ia mempunyai keluasan sebesar 821km persegi, hampir 3 kali ganda lebih besar dari Malta. Nampak tak betapa kecilnya pulau Malta ini?

Tahukah anda Malta dikenali sebagai “pulau Blockchain”? Pada tahun 2017, Perdana Menteri Malta, Joseph Muscat telah mengumumkan bahawa kabinetnya telah meluluskan draf pertama strategi negara untuk mempromosi Blockchain. Ia adalah negara pertama di mana bank dan bursa saham desentralisasi pertama ditubuhkan, melalui penubuhan Blockchain Commitee oleh Malta Stock Exchange.

Sejak itu, Malta telah melalui perkembangan dalam sektor Blockchain yang pesat. Pada April 2018, parlimen Malta meluluskan rangka kerja undang-undang untuk teknologi Blockchain dan tidak lama selepas itu untuk distributed ledger technology. Malta dikenali sebagai antara negara yang paling mesra startup Blockchain. Undang-undang di negara itu banyak memberi insentif dan kemudahan kepada pelabur dan startup untuk terlibat dalam projek-projek Blockchain.

2. Estonia

Estonia pula adalah sebuah negara di Utara Eropah. Ia adalah negara pertama yang melancarkan program e-residency berdasarkan Blockchain pada 1 Disember 2014. Di bawah program ini, rakyat bukan Estonia boleh mendapatkan akses kepada perkhidmatan Estonia seperti penubuhan syarikat, perbankan, pemprosesan pembayaran, perkhidmatan cukai dan sebagainya. Program ini ditujukan kepada usahawan remote seperti pembangun software dan penulis freelance.

Pada tahun 2018, Estonia juga adalah negara pertama yang menguji perkhidmatan e-voting berdasarkan Blockchain dengan kerjasama dari Nasdaq. Sebelum wujudnya teknologi Blockchain, Estonia sudah dikenali sebagai antara negara yang paling maju dalam sektor digital, dan ia telah memperkenalkan sistem pengundian elektronik sejak tahun 2005 lagi. Jadi tidak hairanlah jika negara itu begitu cepat melibatkan diri dalam perkembangan teknologi Blockchain.

3. Switzerland

Jika Malta adalah pulau Blockchain, Switzerland adalah pusat Blockchain. Negara itu adalah antara negara paling popular dalam implementasi teknologi Blockchain pada hari ini. Pada tahun 2018, Switzerland telah dinobatkan sebagai negara paling mesra kripto di Eropah oleh Blockshow.

Switzerland adalah negara yang mempunyai sistem undang-undang yang telus, kestabilan ekonomi, infrastruktur digital yang berfungsi dengan baik dan juga keselamatan data yang sangat efektif. Polisi kerajaan negara itu juga merupakan insentif bagi startup dan syarikat lain utuk menjalankan operasi atau projek-projek Blockchain di negara itu.

Itu adalah antara sebab mengapa Ethereum Foundation ditubuhkan di situ. Pada tahun 2018 sahaja, 18 pertubuhan kripto telah didirikan di Switzerland membawa kepada jumlah pertubuhan sebanyak 58. Antara syarikat-syarikat popular di Switzerland termasuk Bitmain, Tezos Foundation dan yang terbaru Libra Association milik Facebook.

Lokasi yang popular di Switzerland adalah Zurich, Geneva dan juga Zug, yang dikenali sebagai “Crypto Valley”. Pentadbiran daerah Zug telah melancarkan ID digital melalui jabatan pendaftaran pada tahun 2017 berdasarkan Ethereum. Daerah itu telah berjaya menarik pelabur baru dengan kadar cukai yang rendah dan juga insentif seperti yang diterima oleh Bancor, iProtus, Melonport dan ShapeShift.

Ternyata Switzerland adalah antara negara yang mendahului perlumbaan Blockchain ini.

4. Amerika Syarikat

Mustahil untuk kita tidak memasukkan Amerika Syarikat dalam senarai ini memandangkan ia adalah tempat di mana Bitcoin, dan seterusnya teknologi Blockchain lahir. Walaupun masih terdapat halangan yang besar untuk implementasi meluas teknologi Blockchain di negara yang besar itu, banyak pentadbiran negeri sudahpun menjalankan usaha-usaha implementasi teknologi Blockchain dalam bidang kuasa mereka.

Pada tahun 2018, kerajaan negeri Delaware telah meluluskan bil yang membenarkan pendaftaran perniagaan dan perdagangan di platform Blockchain. Negeri itu juga telah menganugerahkan IBM kontrak untuk mereka bentuk lejar teragih berdasarkan rangka kerja Blockchain Hyperledger.

West Virginia pula akan menggunakan aplikasi mobile berdasarkan teknologi Blockchain dalam kesemua 55 daerah negeri itu semasa pilihan raya kecil nanti. Terdapat banyak lagi pentadbiran-pentadbiran negeri di seluruh Amerika Syarikat yang sedang meneroka potensi teknologi Blockchain untuk perkhidmatan awam dan secara perlahan mengimplementasinya secara berperingkat.

Ditambah lagi dengan kehadiran syarikat-syarikat gergasi seperti IBM, Microsoft, Goldman Sachs, Overstock dan sebagainya yang sudah terlibat dalam teknologi Blockchain, Amerika Syarikat adalah antara negara yang tidak ketinggalan dalam perlumbaan teknologi Blockchain ini.

5. United Arab Emirates

United Arab Emirates juga dikenali sebagai antara negara yang paling mesra digital. Kerajaan Dubai mempunyai cita-cita besar dalam industri Blockchain. Menurut kepada H.H. Sheikh Hamdan bin Mohammad bin Rashid Al-Maktoum, putera mahkota Dubai dan juga Pengerusi Board of Trustees of Dubai Future Fundation, kerajaan itu bercita-cita untuk menubuhkan infrastruktur yang bebas dari peggunaan kertas.

Dubai merancang untuk menjadi negara pertama di dunia untuk mempunyai “kerajaan yang dikuasakan Blockchain menjelang 2021 dan dengan implementasi strategi ini, UAE menjangka akan menjimatkan kerajaan sebanyak USD3 bilion setiap tahun.”

Selain daripada teknologi Blockchain, negara itu juga antara yang terawal menerima matawang kripto. Malah, pada tahun 2016, kerajaan itu telah mencipta matwang digital mereka sendiri Dubai Coin (DBIX) dan telahpun menggunakannya sejak itu.

Dubai merupakan lokasi pilihan buat banyak startup untuk menjalankan operasi dan projek Blockchain kerana inisiatif daripada kerajaan negeri itu sendiri untuk mengembangkan sistem transaksi rakyatnya, tahap efisyen pentadbiran, undang-undang Blockchain lebih menyeluruh dan juga peluang untuk keusahawanan global.

6. Jepun

Apabila kita bercakap tentang Jepun, kita pasti akan bercakap tentang bagaimana negara itu merupakan negara yang pertama yang menerima pembayaran Bitcoin sebagai legal tender atau pembayaran yang sah di sisi undang-undang negara itu.

Selain itu, bursa pertukaran kripto yang terbesar semasa itu, Mt. Gox juga beroperasi di Tokyo. Sebelum ia ditutup, Mt. Gox telah memproses berjuta-juta transaksi melalui platform itu. Kejatuhan bursa pertukaran kripto itu juga telah menyebabkan kerajaan Jepun menubuhkan rangka kerja yang lebih baik untuk pembangunan Blockchain dan matawang kripto.

Polisi kerajaan Jepun juga menggalakkan syarikat dan startup untuk menjalankan projek Blockchain di negara itu. Menurut laporan dari Kementerian Ekonomi, impak teknologi Blockchain mempunyai saiz pasaran sebesar 70 trilion Yen. Antara penggunaan Blockchain dalam pentadbiran kerajaan Jepun termasuk pengkalan data berdasarkan Blockchain untuk pendaftaran tanah dan hartanah, platform perdagangan, dan sistem pengundian berdasarkan Blockchain.

7. China

China pula medahului negara-negara lain dalam pendaftaran paten Blockchain. Dua pertiga daripada paten berkaitan Blockchain datang daripada firma dan entiti China. Tambahan lagi, China juga menguasai 72% daripada pasaran untuk perlombongan Bitcoin.

Kebanyakkan startup Blockchain yang popular dan berjaya juga beroperasi di China. Contohnya, NEO, VeChain, Qtum, TRON dan banyak lagi. Melalui Alibaba pula, kerajaan persekutuan China bekerjasama dengan daerah Changzhou untuk menubuhkan pusat kesihatan berdasarkan Blockchain dan juga dengan Chinese Federation og logistics & Purchasing untuk membina lebih banyak startup Blockchain di negara itu.

Negara itu juga memberi galakan dan insentif kepada programmer di bandar-bandar utama China seperti Shanghai, Shanxi, Henan, Guanzhou, Guiyang dan Hangzhou untuk terlibat dalam pembangunan Blockchain dengan membuka hab Blockchain di bandar-bandar itu.

8. Singapura

Akhir sekali, Singapura. Melalui poslisi yang dikeluarkan oleh Monetary Authority of Singapore (MAS), negara itu menggalakkan implementasi teknologi Blockchain dalam sektor kewangan dan teknologi di negara itu. Malah, MAS juga telah bekerjasama dengan satu konsortium institusi kewangan di negara itu untuk melancarkan satu sistem interbank baru yang berdasarkan Blockchain.

Selain itu, negara itu juga telah membuat beberapa perancangan untuk tokenisasi matawang negara itu di atas rangkaian Ethereum. Antara usaha lain Singapura adalah implementasi Blockchain dalam sektor kewangan melalui Projek Ubin. Negara itu juga telah mengumumkan sebanyak $225 juta akan disalurkan ke penyelidikan dan pembangunan Blockchain, menunjukkan negara itu serius untuk memenangi perlumbaan teknologi Blockchain ini.

Kesimpulan

Banyak lagi negara yang sudah menyahut cabaran untuk implementasi teknologi Blockchain dengan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan Blockchain, penubuhan rangka kerja untuk kawal selia dan infrastruktur yang efektif, perbincangan dalam parlimen dan macam-macam lagi. Jelas bahawa dalam masa beberapa tahun akan datang, industri Blockchain akan berkembang dengan lebih pesat di seluruh dunia.

Dimanakah Malaysia dalam semua ini?

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads