Default – Above Header Ads

IEO Terbaik dan Paling Teruk 2019

IEO: Antara Winners dan Losers untuk 2019

Ramai yang pernah dengar tentang Initial Coin Offering (ICO) tapi mungkin ramai yang tidak biasa dengan Initial Exchange Offering (IEO). Sekiranya ICO adalah kaedah yang digunapakai oleh sesebuah syarikat untuk mengumpulkan dana bagi melancarkan projeknya dengan menjual token, maka IEO pula adalah ICO yang diselia oleh sesebuah platform pertukaran matawang kripto. Dengan kata lain, pihak platform menjual token bagi pihak syarikat yang berkaitan untuk mengumpul dana.

IEO adalah ‘kegilaan’ terbaru yang menggantikan ICO. Para pelabur tampak lebih gemar untuk memilih IEO atas beberapa faktor:

  1. Lebih selamat dan stabil daripada ICO
  2. Penyertaannya lebih mudah berbanding dengan STO (Security Token Offering)
  3. Pihak platform akan melakukan due-diligence terlebih dahulu sebelum membenarkan mana-mana projek yang mahu menjadikan platformnya sebagai pad pelancaran

Para pelabur melihat kepada beberapa kriteria utama sebelum melabur dalam sesuatu IEO. Antara kriteria yang diteliti:

  1. Reputasi platform yang menjadi pad pelancaran
  2. Mudah digunakan
  3. Kecairan token agar mudah ditunaikan
  4. Keselamatan dan kestabilan platform pertukaran
  5. Sokongan multi-coin yang membolehkan pelabur menggunakan lebih daripada satu token

Di sini disenaraikan 5 Winners dan Losers IEO bagi tahun 2019:

Winners

1. BitTorrent (BTT)

Pad pelancaran: Binance

BitTorrent adalah projek usahasama antara Tron dan Yayasan Torrent yang dilancarkan pada awal tahun 2019 untuk meng’token’kan protokol perkongsian fail yang popular itu di samping menaiktaraf penghantaran isi kandungan dan ketersediaan jalur lebar dengan bantuan blockchain. 

Sejak dilancarkan di Binance, harga BTT telah meningkat sebanyak 12.35x.

2. Matic Network (MATIC)

Pad pelancaran: Binance

Rangkaian Matic dan token MATIC-nya adalah dua blok bangunan penyelesaian Layer-2 yang direka untuk transaksi blockchain yang lebih pantas dan boleh skala, digandingkan dengan bayaran yang lebih mudah dan murah.

Sejak dilancarkan di Binance, harga MATIC telah meningkat sebanyak 7.89x.

3. V Systems (VSYS)

Pad pelancaran: ZB.COM

V Systems diilhamkan oleh Sunny King, pereka protocol Proof-of-Stake (PoS) yang bertujuan untuk menurunkan kos penggunaan teknologi blockchain sebagai platform pengkalan data  secara signifikan, jika dibandingkan dengan sistem pengkalan data tradisional.

Sejak dilancarkan di ZB.COM, harga VSYS telah meningkat sebanyak 4.51x.

4. Blockcloud (BLOC)

Pad pelancaran: OK Jumpstart

Objektif BLOC adalah untuk merevolusikan internet dengan mencipta TCP/IP canggih yang berasaskan teknologi blockchain. Ia berhasrat untuk menaiktaraf aplikasi IoT dengan menjadikan penggunaannya lebih pantas dan boleh skala.

Sejak dilancarkan di OK Jumpstart, harga BLOC telah meningkat sebanyak 3.81x.

5. Brave Sound (BRST)

Pad pelancaran: DigiFinex Apollo

BRST adalah token yang boleh digunakan di platform Brave untuk membuat pembayaran kepada para artis Korea untuk album mereka, di samping membuat langganan dan membeli cenderamata.

Sejak dilancarkan di DigiFinex Apollo, harga BRST telah meningkat sebanyak 2.98x.

Manakala untuk losers atau paling teruk, sukar untuk dikenalpasti IEO yang telah gagal disebabkan tiada data terperinci yang boleh diakses oleh orang awam. Yelah, syarikat atau perusahaan mana yang mahu mengaku mereka telah gagal bukan?

Sama juga dengan kes ICO atau STO. Kita hanya dapat tahu tentang prestasi projek-projek itu sama ada ia masih kekal dalam pasaran ataupun sudah gagal membawa pulangan kepada pelabur-pelabur mereka selepas beberapa tahun pelancaran.

Namun ada satu kes kajian yang menarik untuk dikongsikan.

Sebuah projek matawang kripto yang dinamakan Multivac (MTV) telah dilancarkan di pad pelancaran KuCoin. Masalah bermula apabila Multivac telah habis dijual dalam masa 5 saat sahaja, menyebabkan ramai pengguna yang membuat kesimpulan bahawa telah berlaku kemasukan BOT secara besar-besaran ke dalam IEO tersebut.

Selain isu BOT, timbul juga masalah-masalah lain dengan IEO tersebut. Ada beberapa pembeli tulen yang berjaya mendapatkan MTV tetapi akhirnya mendapat tahu yang pembelian mereka telah dibatalkan kerana beberapa masalah teknikal. Akibatnya, MTV yang dibeli mereka dipulangkan semula ke ‘pool’ asal dan ini menyebabkan ada pembeli yang lewat tetapi masih dapat membeli MTV.  Insiden ini menyebabkan pengguna yang lebih awal yang mahu membeli MTV (tetapi tidak dapat membelinya) berang.

Kesimpulannya, IEO mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan kerana ia mempunyai beberapa kelebihan yang dapat menampung kelompongan yang wujud pada ICO. Namun, menerusi kes KuCoin, jelas masih banyak yang boleh diperbaiki sekiranya IEO mahu menjadi pilihan utama bagi pad pelancaran projek-projek kripto di masa hadapan.

Penulis: Adam Effendy

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.