Default – Above Header Ads

Tanda-Tanda yang Menunjukkan Kripto Akan Terus Kekal

Ketika Bitcoin mula-mula dicipta pada tahun 2008, tiada siapa yang menyangka ia boleh bertahan sehingga ke hari ini. Apabila harga Bitcoin mula naik dengan mendadak pada awal tahun 2017 sehinggalah ke harga kemuncaknya yang hampir mencecah USD20,000, ramai yang melihat Bitcoin tidak lebih daripada sekadar sebuah ‘bubble’ yang menanti masa untuk pecah.

Maka apabila harga Bitcoin jatuh merudum pada tahun 2018 dan harganya kekal rendah untuk kebanyakan masa pada tahun itu, para pembenci Bitcoin bersorak gembira dan ramai yang menjangkakan Bitcoin sedang nazak dan hampir menemukan ajalnya.

Namun kemudian harga Bitcoin naik semula sehingga mencecah USD14,000 pada Jun 2019. Situasi ini menyebabkan keyakinan terhadap Bitcoin kembali kukuh dan mereka yang meragui dan skeptikal terhadap kemampuan Bitcoin untuk bertahan terpaksa melihat semula penilaian mereka.

Nah, apa yang menyebabkan Bitcoin (dan secara tidak langsungnya altcoin yang lainnya) terus ‘degil’ dan mampu untuk bertahan, di sebalik ramalan-ramalan yang kelam tentangnya?

Satu bancian yang telah dilakukan di Eropah pada awal tahun 2019 mungkin dapat memberikan sedikit gambaran. Dua pertiga daripada 10,000 responden yakin yang aset digital akan terus wujud untuk satu dekad yang akan datang. 

Saya bukanlah seorang pakar yang boleh mengjangkakan dengan tepat tentang masa hadapan matawang kripto. Saya juga tidak punya bebola kristal untuk membuat ramalan masa hadapan kerana itu sudah tentunya satu perbuatan yang syirik! Eh.

Tetapi saya boleh beritahu anda yang matawang kripto (Bitcoin terutamanya) akan terus kekal untuk satu tempoh masa yang lama, disebabkan oleh faktor-faktor yang berikut:

KAWAL SELIA DAN SEKATAN DARIPADA KERAJAAN

Mengaku sahajalah. Jauh di sudut hati anda, anda tahu matawang kripto dicipta adalah untuk mengelak daripada birokrasi dan kawal selia pihak pemerintah bukan? Sama ada untuk mengelak daripada membayar cukai yang tinggi atau mahu mengubah wang secara haram, matawang kripto adalah antara cara yang paling berkesan untuk itu semua.

Selagi kerajaan mahu campur tangan dan mengenakan sekatan, selagi itulah permintaan untuk matawang kripto akan terus wujud. Dan apabila permintaan wujud, maka pasti akan ada yang mahu membekalkannya.

MASALAH PERBANKAN DAN INSTITUSI KEWANGAN TRADISIONAL

Anda tahu mengapa kebanyakan institusi pelaburan dan perbankan yang konservatif seringkali menganggap matawang kripto sebagai sampah dan tiada fungsi lain selain daripada instrumen spekulatif semata-mata? Kerana ciri-ciri yang ada pada mawatang kripto menggugat ‘status quo’ mereka!

Matawang kripto dapat menyelesaikan banyak permasalahan yang wujud daripada sistem perbankan tradisional, contohnya caj perkhidmatan yang tinggi, keperluan untuk adanya orang tengah untuk perpindahan dana antarabangsa, perpindahan wang yang lembap dan entah macam-macam lagi.

Matawang kripto telah terbukti dapat menyelesaikan permasalahan ini apabila perpindahan aset digital hatta merentas benua dapat dilakukan dalam sekelip mata dengan satu klik sahaja.

Selagi sistem perbankan tradisional terus dengan kerakusan dan tamak haloba mereka, percayalah, matawang kripto akan terus kekal untuk satu tempoh masa yang lama. 

KRISIS EKONOMI DAN JURANG KEKAYAAN

Ketika matawang Venezuela, bolivar, mengalami inflasi super sehingga ia kehilangan nilainya, berbondong-bondong rakyat Venezuela mula membeli dan menggunakan Bitcoin. Begitu juga dengan sebuah lagi negara Amerika Selatan, Argentina. Dek kerana ekonomi yang kurang memberangsangkan dan nilat matawangnya yang merudum jatuh, rakyat negara yang terkenal dengan lagenda bola sepak Maradona itu mula beralih kepada Bitcoin.

Jurang kekayaan juga menyebabkan ramai orang yang tidak berpeluang untuk menyertai pasaran saham, mahu mencuba bakat mereka dalam pelaburan dengan matawang kripto yang tidak meletakkan syarat pembelian minimum (kecuali dalam ICO) dan kadangkala dijual pada harga kurang daripada USD0.01!

Oleh sebab itulah, matawang kripto masih relevan kerana ia sentiasa berguna dalam keadaan-keadaan yang tidak terjangka.

INOVASI TEKNOLOGI DAN PENERIMAAN KRIPTO

Teknologi semakin pesat membangun; saban hari ada sahaja ciptaan dan penemuan baharu yang kadangkala membuatkan kita tergaru-garu kepala. Inovasi dalam matawang kripto tidak terkecuali. Malah boleh dikatakan, inovasi dalam teknologi blockchain (yang merupakan asas kepada mana-mana mawatang kripto) adalah antara yang berkembang dengan begitu rancak dan pantas sekali.

Apabila matawang kripto berjaya menangani isu-isu atau permasalahan tertentu yang berkaitan dengan kewangan atau pelaburan, misalnya memudahkan urusan perdagangan, menggantikan mawatang bank pusat dan memudahkan urusan pembayaran atas talian, ia pasti menjadi pilihan orang ramai untuk menggunakannya. Dan apabila semakin ramai orang yang mahu menggunakannya, sudah pasti lebih banyak perniagaan yang mahu menerimanya sebagai medium transaksi.

Tidak mustahil sebenarnya suatu hari nanti, apabila sebgitu ramai orang yang yakin dan boleh menerima matawang kripto, ia bakal menggantikan wang fiat sebagai matawang dalam erti katanya yang sebenar. 

Demikianlah empat faktor yang saya percaya menjadikan matawang kripto terus relevan dalam dunia hari ini. Terdapat juga faktor-faktor lain seperti sekatan ekonomi Amerika terhadap Iran, perang perdagangan antara Amerika dan China dan lain-lain lagi, tetapi kebanyakannya lebih bersifat serantau dan sementara sahaja.

Melihatkan kepada empat faktor seperti yang disenaraikan di atas, hampir mustahil ia dapat diselesaikan secara menyeluruh dan dalam masa yang terdekat ini.

Jadi, can I advise you something? Simpan dulu matawang kripto anda tu bawah bantal dan wariskan kepada cucu-cicit anda. Mereka akan berterima kasih kepada anda suatu hari nanti!

Ditulis oleh:

Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.