Default – Above Header Ads

Apa Itu 2FA dan Mengapa Ia Sangat Penting?

Sekali dengar, 2FA tu macam bunyi kod rahsia atau nama robot kan? Macam R2-D2. Alah, robot dalam Star Wars tu!

Bukan, 2FA bukanlah sebuah kod rahsia untuk mengaktifkan pelancaran bom nuclear atau nama sejenis robot buatan Amerika. Tapi 2FA adalah satu konsep atau prosedur yang tersangatlah penting, lebih-lebih lagi dalam dunia digital yang semakin meluas pada hari ini.

2FA adalah singkatan kepada “2 factors authentication” atau dalam Bahasa Melayunya, ‘pengesahan dua langkah’. 2FA adalah langkah verifikasi tambahan yang diletakkan pada sesuatu platform atas talian bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna yang mahu menggunakan platform tersebut.

Lapisan keselamatan pertama secara umumnya adalah gabungan antara username dan kata laluan. Menambah satu lagi lapisan keselamatan untuk mengesahkan identiti pengguna akan menyukarkan lagi penggodaman data peribadi. Ini akan mengurangkan kemungkinan untuk sebarang kes penipuan, kehilangan data atau kecurian identiti secara drastiknya.

Mengapa 2FA ini sangat penting dan tidak boleh dipandang enteng? Penggunaan kata laluan sebagai langkah keselamatan bagi melindungi data peribadi pengguna telah diaplikasikan sejak sekian lama, bermula seawal revolusi digital lagi. Malangnya, kata laluan tidak kebal daripada serangan penggodam.

Berikut adalah beberapa fakta tentang kata laluan yang perlu diambil serius:

  • 90% daripada kata laluan boleh dirungkaikan kurang dari enam jam
  • Dua pertiga daripada pengguna platform atas talian menggunkan kata laluan yang sama di platform-platform lain
  • Penggodam yang sofistikated berupaya untuk menguji berbilion kata laluan dalam sesaat!

Semua ini menyebabkan kata laluan sebagai satu-satunya langkah keselamatan di alam maya adalah lemah dan sangat terdedah kepada risiko merbahaya. Ia menjadikan penggunaan 2FA lebih mendesak terutamanya di zaman kini di mana penggodam semakin maju dan canggih.

Agak merisaukan apabila sebuah kajian yang dilakukan oleh para penyelidik daripada University of Maryland dan John Hopkins University menganggarkan 28% daripada pengguna di alam maya tidak pernah menggunakan 2FA ketika mengakses platform atas talian di telefon pintar mereka. Hal ini sudah tentunya meningkatkan risiko pencurian identiti penyalahgunaan data peribadi. 

Buat mereka yang ada membeli dan menyimpan wang kripto, penggunaan 2FA untuk mengakses platform pertukaran atau jual beli dan ‘hot wallet’ sudah semacam menjadi satu kewajipan. Malah sesetengah platform pertukaran seperti Binance mewajibkan penggunanya untuk menggunakan 2FA sebelum mereka boleh log masuk ke dalam platform.

Terdapat banyak aplikasi yang menawarkan perkhidmatan 2FA secara percuma kepada pengguna di luar sana. Antara yang paling terkenal dan mudah digunakan sudah tentulah Google Authenticator di mana selepas memasukkan username dan kata laluan, aplikasi tersebut akan menjana satu set nombor secara automatik yang hanya boleh digunakan dalam satu tempoh masa yang singkat. Sekiranya pengguna terlepas atau tidak menggunakan set nombor itu pada tempoh yang telah diberi, Google Authenticator akan menjana set nombor yang baru. Hanya pemilik aplikasi sahaja yang boleh menjana set nombor tersebut.

Dalam dunia yang semakin bebas dan tidak ada sempadan ini, kita seharusnya lebih teliti dan berhati-hati ketika mengembara di alam maya. Di setiap sudut dan ruang, ada sahaja penyerang yang bersembunyi, yang menantikan waktu dan saat yang sesuai untuk merampas apa yang menjadi hak milik kita. Dan di dalam dunia yang semakin menjadi-jadi dengan ‘fake news’ dan ‘fake account’, tiada apa yang lebih berharga melainkan identiti diri sendiri. Maka lindungilah diri kita sekurang-kurangnya dengan 2FA; jangan biarkan identiti diri kita dicabul dan dirampas begitu sahaja!

Ditulis oleh:

Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.