Default – Above Header Ads

FOIN: Sebuah Scam atau Pelaburan Yang Tersakiti?

Anda yang aktif dan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan terkini dunia kripto pasti pernah mendengar tentang FOIN sekurang-kurangnya sekali bukan?

Anda juga pasti tahu atau ada dengar-dengar khabar yang dibawa angin sepoi-sepoi bahasa, hari ini, harga FOIN yang berlegar-legar sekitar USD4,000 tiba-tiba sahaja jatuh merudum tergolek-golek sehingga USD2! Dengan kata lain, FOIN hampir kehilangan 100% nilainya!

Bagaimana boleh jadi sebegitu rupa? Dan soalan yang lebih penting untuk dijawab, apa atau siapa itu FOIN?

FOIN adalah produk kripto Financial.org, sebuah firma yang berdaftar di Britain. FOIN adalah akronim kepada ‘Financial.Org blockchaIN system’.

Financial.org menyifatkan dirinya sebagai sebuah perniagaan yang mahu berkongsi dan menyebarkan pendidikan kewangan. Mereka juga mendabik dada mempunyai lebih 200,000 ahli yang aktif.

Kontorversi mula menyelubungi Financial.org apabila mereka menguruskan pelaburan para pelabur Asia bernilai ratusan ribu dollar, walhal mereka tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian. Para pelabur yang telah melabur dengan Financial.org mendakwa wang mereka telah dilaburkan ke dalam pasaran saham Amerika Syarikat.

Financial.org menjanjikan pulangan pasif yang tetap kepada para pelaburnya dan ini sudah tentunya menimbulkan syak wasangka kepada mereka yang benar-benar arif tentang pelaburan.

Ada bau ikan yang hanyir kan?

Financial.org cuba menonjolkan dirinya sebagai sebuah firma yang mempunyai integriti dan reputasi apabila menaja pasukan Williams dalam perlumbaan Formula One. Bukan calang-calang syarikat yang boleh menjadi penaja kepada pasukan F1!

Namun badan kawal selia kewangan di Malaysia dan Singapura telah lebih awal menghidu ada sesuatu yang tidak kena dengan penawaran pelaburan Financial.org apabila telah menyenaraikan Financial.org dalam senarai amaran mereka.

Kemudian pada Jun 2018, Financial.org secara tiba-tiba mengumumkan yang ia telah menutup semua akaun pelaburnya dan wang-wang pelaburan mereka telah ditukarkan kepada FOIN! Hal ini telah menimbulkan kemarahan ramai pelabur kerana mereka mendakwa tidak diberi notis atau amaran lebih awal tentang tindakan Financial.org tersebut.

Lebih teruk lagi, para pelabur juga hanya boleh mengaktifkan akaun FOIN mereka apabila mereka menambah pelaburan sebanyak USD7,000! CEO FOIN, Arnaud Georges dengan angkuhnya memberi amaran kepada mana-mana pelabur yang bercadang untuk menyaman FOIN atas tindakannya itu, akan berpotensi hilang pelaburan mereka.

Berikutan itu, badan-badan kawal selia di Britain, Thailand, Indonesia, Laos, Filipina dan UAE juga telah menyenaraikan Financial.org di dalam senarai berjaga-jaga untuk firma pelaburan tidak berlesen yang perlu diberi perhatian oleh para pelabur. Malah sekiranya anda membuka Coin Market Cap, awal-awal peringatan telah diberikan kepada sesiapa yang berhasrat untuk melabur di dalam FOIN.

Tetapi ini semua tidak mematahkan semangat FOIN dan para pejuang mereka. Mereka terus mempromosikan FOIN dan malah dengan yakinnya mendakwa yang FOIN bakal menjadi lebih hebat daripada Bitcoin dan Ethereum!

Semuanya nampak indah dan baik untuk FOIN dan para pejuang mereka. Bermula dengan harga sekitar USD500 pada September 2018, ia terus meroket sehingga mencecah USD4,000 pada hujung 2019!

Namun yang peliknya, sepanjang tempoh itu, pelabur tidak dibenarkan mengeluarkan pelaburan mereka untuk ditunaikan. Tetapi itu semua tidak cukup untuk menimbulkan keraguan kepada para pelabur yang terus setia dengan model pelaburan FOIN.

Keyakinan mereka semakin menggunung tinggi melangit biru apabila pada pertengahan bulan Disember 2019, FOIN membeli Ali Exchange dengan harga 1 juta FOIN (kurang lebih USD2.1 bilion), menjadikan ia pembelian platform pertukaran paling malah dalam sejarah.

Semuanya kelihatan baik dan optimistik buat pelabur FOIN, sehinggalah FOIN mengumumkan yang para pelabur boleh mengeluarkan pelaburan mereka untuk ditunaikan semalam (2 Januari 2020). Dalam sekelip mata, harga FOIN jatuh bedebuk ibarat nangka busuk yang tiada nilainya.

Bak kata pepatah mat salleh, “Semua neraka terlepas sudah.”

Daripada USD4,000, ia jatuh sebanyak 99.5%. Harga FOIN ketika artikel ini ditulis adalah sekitar USD3 sahaja.

 Apa yang berlaku pada FOIN adalah contoh klasik bagaimana masih ramai para pelabur yang terpedaya dengan janji-janji manis yang menjanjikan pulangan dan ganjaran besar. Sejak awal lagi, terlalu banyak simptom-simptom yang menunjukkan bahawa Financial.org dan kemudiannya FOIN adalah sebuah pelaburan scam namun tanda-tanda ini terus diabaikan oleh para pelabur yang terlalu rakus dan tamak mahu menikmati pulangan segera.

Kami di Coin.my tidak akan pernah lelah mahupun penat untuk mendidik masyarakat di luar sana agar lebih berhati-hati dan bijak sebelum membuat sebarang pelaburan dalam mana-mana wang atau aset kripto. Kerana sungguh, bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang terdidik dan mahu dididik!

Saya tutup penulisan ini dengan satu lagi pepatah mat salleh:

“When something seems to good to be true, it probably is.”

Sekian,

Penulis dari alam maya, nama lebih baik kekal rahsia

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.