4 Cara untuk Membeli Matawang Kripto, khususnya Altcoins
Antara soalan yang sering ditanya kepada penulis – selain daripada matawang kripto mana yang patut dibeli – adalah bagaimana untuk membeli matawang kripto, khususnya altcoins. Proses pembelian altcoins tidak sesusah yang disangka, namun, pilihan yang ada agak terhad.
Pilihan terhad; Isu pencairan altcoins.
Isu pertama yang dihadapi altcoins adalah pencairan (liquidity). Liquidity di sini bermaksud kemudahan untuk menukar matawang kripto kepada matawang fiat. Buat masa ini, Bitcoin adalah matawang kripto yang paling cair (liquid), dan memandangkan Bitcoin pun mengambil masa beberapa tahun untuk muncul di pasaran, tidak hairanlah jika altcoins lain masih lagi sukar untuk ditukar ke matawang fiat.
Namun begitu, ada juga beberapa matawang kripto yang telah membuktikan nilai mereka, terutama yang berada di kedudukan teratas dalam pasaran, dan juga boleh ditukar secara langsung kepada matawang fiat. Contohnya, Ripple (XRP), Ether (ETH) dan Litecoin (LTC). Buat matawang kripto lain, pertukaran paling mudah adalah dengan menggunakan BTC.
Dalam post ini, penulis akan menunjukkan beberapa cara untuk membeli matawang kripto, menggunakan pelbagai kaedah pembayaran.
Nota: Sebelum anda mula membeli altcoins, pastikan anda sudah mempunyai wallet untuk menyimpan altcoins. Anda boleh download wallet yang telah disediakan oleh altcoins pilihan anda di laman web masing-masing, atau anda boleh menggunakan hardware wallet seperti Trezor atau Ledger. Boleh rujuk artikel ini untuk bacaan lanjut tentang wallet : Bagaimana untuk Memilih Wallet Bitcoin dan Matawang Krypto?.
Membeli menggunakan matawang fiat
Di bawah adalah senarai platform pertukaran yang boleh digunakan di Malaysia. Kebanyakan platform pertukaran yang tersenarai hanya menjual Bitcoin, dan altcoins yang tersenarai adalah Ether, Litecoin, Dogecoin, Zcash dan Dash.
Platform Pertukaran | ||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Jenis | Peer-to-peer | Peer-to-peer | Peer-to-peer | Peer-to-peer | Peer-to-peer | Perniagaan (Merchant) | Broker | Broker |
Lokasi | Malaysia | United Kingdom | Seychelles | Finland | Malaysia | Amerika Syarikat | United Kingdom | United Kingdom |
Matawang Kripto | Bitcoin, Litecoin, Dogecoin, Doge | Bitcoin | Bitcoin, Ether, USDT, Bitcoin Cash | Bitcoin | Bitcoin | Bitcoin, Ether | Bitcoin, Ether, Ripple, Litecoin, Bitcoin Cash | Bitcoin, Ether, Zcash, Dash, Bitcoin Cash, Stellar Lumens |
Kaedah Pembayaran | Pemindahan bank | Pemindahan bank | Pemindahan bank | Pemindahan bank, Western union, Tunai | Pemindahan bank | Kad kredit/debit | Kad kredit/debit, pemindahan bank | Kad kredit/debit, pemindahan bank (premium) |
Laman web | Coinexy | Luno | Remitano | LocalBitcoins | Xbit Asia | Coinmama | Bitstamp | https://cex.io/ |
Caj bayaran | 1% | 0-1% (Rujuk Fees) | 1% | 1% | 0.5-0.8% (Rujuk Fees) | 5-5.5% | 2-7%, Caj untuk kad kredit/debit (Rujuk Fees) | 2-6%, Caj untuk kad kredit/debit (Rujuk Fees) |
Setiap perkhidmatan di atas menetapkan peraturan berbeza untuk menggunakannya. Dan ada perkhidmatan yang mematuhi peraturan yang ditetapkan bank dalam negara-negara tertentu. Pastikan anda membaca panduan atau bahagian FAQ secara teliti sebelum anda mendaftar sebagai pengguna.
Membeli menggunakan Bitcoin atau altcoin lain
Kaedah ini lebih popular dalam kalangan mereka yang sudah memiliki Bitcoin. Terdapat banyak pilihan platform pertukaran kripto-kripto dan kebanyakannya tidak mempunyai banyak peraturan, memandangkan transaksi tidak melibatkan matawang fiat.
Platform pertukaran yang popular termasuk Bittrex, Poloniex, GDAX dan HitBTC. Anda boleh melawat laman web Cryptocoincharts untuk senarai penuh platform pertukaran kripto-kripto. Kebanyakkan platform pertukaran memerlukan anda deposit Bitcoins untuk membeli altcoins lain.
Pertukaran kripto-kripto serta merta
Dua platform pertukaran kripto-kripto yang pantas adalah Changelly dan Shapeshift. Terdapat banyak pilihan altcoins yang boleh didapati di kedua-dua platform ini. Anda boleh memilih trading pair atau pasangan matawang kripto yang anda ingin, ianya tidak terhad kepada pasangan BTC-kripto sahaja.
Penulis pernah membuat perbandingan tentang kedua-dua perkhidmatan ini dan anda boleh membacanya dengan klik gambar di bawah.
Matawang kripto baru
Dan akhir sekali, terdapat beberapa pembaca yang bertanya tentang matawang kripto baru yang ditawarkan dalam ICO. Kebiasaannya matawang kripto baru tidak akan disenaraikan di pasaran, melainkan tersenarai sebagai futures seperti Bitcoin Cash atau Bitcoin Gold (kes-kes terkecuali).
Matawang kripto ini hanya akan ditawarkan melalui pre-ICO atau ICO dan apabila ICO tamat, anda perlu menunggu ianya tersenarai dalam pasaran untuk membelinya. Setiap platform mempunyai syarat-syarat berbeza untuk menyenaraikan matawang kripto baru, dan ianya akan diumumkan di laman web matawang kripto tersebut.
Tip: C-cex adalah antara platform pertukaran yang akan menyenaraikan matawang kripto baru dengan cepat.
Anda perlu mendaftar di laman web ICO tersebut, dapatkan wallet dan membeli matawang kripto secara langsung. Kebiasaannya matawang kripto boleh dibeli dengan Bitcoin, atau Ether (untuk token ERC20). Sekali lagi, pastikan anda baca panduan membeli dengan teliti sebelum membuat pembelian.
Selamat membeli!