Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Ada Apa dengan Facebook ‘Globalcoin’?

Satu tanda besar bahawa matawang kripto telah tiba menjadi mainstream ialah apabila syarikat besar dan terkenal di dunia mula bercakap tentang matawang kripto atau pembangunan versi matawang kripto mereka sendiri. Contoh terbaru adalah Facebook.

Apa matawang kripto ciptaan Facebook dan apakah impaknya terhadap penerimaan dunia kepada matawang kripto? Haa…itulah apa yang penulis akan cuba rungkaikan dalam artikel kali ini.

Projek GlobalCoin Facebook : Libra

Berita tentang projek matawang kripto yang sedang dibangunkan oleh Facebook pertama kali dilaporkan oleh Bloomberg pada 21 Disember 2018. Dalam laporan berita itu, Facebook mendakwa bahawa ia sedang membangunkan matawang kripto yang akan membolehkan pengguna memindahkan wang di aplikasi permesejan Whatsapp, dengan fokus kepada pasaran pengiriman wang (remittance) di India, menurut beberapa sumber terdekat. Menurut laporan itu lagi, Facebook sedang membangunkan stablecoinsejenis matawang kripto yang disandarkan pada US Dolar – untuk mengurangkan ketidakstabilan (volatility).

Selama beberapa bulan, perkembangan projek kripto Facebook itu tidak kedengaran dan ramai yang membuat spekulasi bahawa pengumuman seterusnya tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat. Sehinggalah New York Times mengeluarkan berita tentang perkembangan projek Facebook pada 23 Februari 2019. Dalam laporan itu, projek Facebook didakwa “sudah mara ke hadapan sehinggakan gergasi media sosial itu sudah mengadakan perbincangan dengan bursa pertukaran kripto tentang menjual coin Facebook kepada pelanggan”, menurut empat individu yang terlibat dalam perbincangan itu.

Facebook didakwa mempunyai lebih daripada 50 orang jurutera yang terlibat dalam projek itu dan satu laman web industri, The Block, telahpun menjejak aliran tawaran pekerjaan baru untuk projek Facebook itu. Usaha Facebook yang terbaru ini diketuai oleh bekas presiden PayPal, David Marcus.

Menurut laporan New York Times lagi, Facebook sedang melihat kepada beberapa cara untuk menggunakan blockchain, dan salah satunya adalah stablecoin. Facebook ingin menyandarkan nilai matawang kriptonya kepada beberapa matawang asing yang berbeza dan bukannya hanya satu sahaja matawang fiat seperti stablecoin lain. Tujuannya adalah supaya Facebook boleh menjamin nilai coin itu dengan menyandarkannya kepada dolar, euro dan matawang nasional lain yang disimpan dalam akaun bank Facebook.

Dan berita terkini tentang projek Facebook itu, yang mempunyai banyak nama dari GlobalCoin ke FaceCoin dan kini Libra, menurut laman berita TechCrunch, Facebook akan melancarkan matawang kriptonya pada 18 Jun ini. Pelancaran itu termasuk whitepaper yang akan menjelaskan tentang asas matawang kripto itu, menurut sumber yang mengatakan beberapa pelabur diberitahu tentang tarikh itu.

Tambahan lagi, baru-baru ini CoinDesk melaporkan bahawa projek Facebook itu mendapat sokongan daripada Visa, PayPal, Mastercard dan Uber. Menurut laporan itu, Facebook telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan beberapa organisasi lain termasuk Stripe, Booking.com dan MercadoLibre.

Impak matawang kripto Facebook

Apa antara halangan utama matawang kripto daripada digunakan secara meluas? Salah satunya adalah kekurangan ciri yang mesra pengguna – ramai yang masih lagi tidak memahami matawang kripto dan ekosistemnya kerana bahasanya dan juga ciri-cirinya yang masih lagi terlalu teknikal.

Komuniti Bitcoin dan matawang kripto lain lebih terpencil dan bersifat insulated. Ditambah lagi dengan scam yang berleluasa, pergaduhan yang sentiasa berlaku antara komuniti kripto, godaman dan sebagainya, tidak hairanlah jika ramai yang masih berasa skeptikal dan ragu-ragu untuk menyertai dunia matawang kripto.

Kita sedia tahu platform media sosial terbesar seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Telegram dan sebagainya fokus kepada pengalaman pengguna yang baik untuk menarik ramai pengguna baru. Jika tidak, bagaimana Facebook boleh mencecah angka pengguna sebanyak 2.48 bilion pengguna aktif setiap bulan, betul tak?

Jika Facebook boleh mengekalkan fokus pengalaman pengguna itu kepada projek matawang kripto baru mereka ini, sudah tentu ia akan menjadi lebih mudah menarik pengguna Facebook sedia ada untuk menggunakan matawang kripto barunya. Melihat dari segi angka, pengguna Facebook merangkumi satu pertiga daripada keseluruhan populasi dunia, jadi potensi Facebook untuk monetize 31.5% daripada dunia adalah sangat tinggi. Itu adalah berbilion dolar dalam potensi keuntungan Facebook.

Tetapi itu impak kepada Facebook, bagaimana pula kepada orang ramai?

Senario yang paling ideal buat Facebook adalah majoriti pengguna Facebook akan menggunakan matawang kriptonya. Tetapi hakikatnya, ia tidaklah semudah yang disangka. Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Cambridge Centre for Alternative Finance, jumlah pengguna meningkat sebanyak 17 juta pada tahun 2018 dari jumlah pengguna pada tahun 2017 sebanyak 18 juta.

Angka itu adalah jumlah akaun yang sudah melalui pengesahan identiti. Dibandingkan dengan jumlah keseluruhan akaun pengguna sebanyak 139 juta pada tahun 2018. Jika kita menganggap kesemua pengguna matawang kripto mempunyai akaun Facebook, jumlah itu masih terlalu sedikit untuk membawa impak kepada dunia. Tambahan lagi, pengguna yang membuka akaun matawang kripto tidak semestinya menggunakan matawang kripto mereka, kerana majoriti masih lagi menyimpan matawang kripto mereka.

Bukan itu sahaja, salah satu isu utama pembayaran menggunakan matawang kripto adalah kebanyakan perniagaan tidak akan menerimanya, dan ianya perlu ditukar kepada matawang fiat untuk membeli barangan atau perkhidmatan. Dan hanya kerana Facebook menawarkan matawang kripto di atas platformnya, tidak bermakna orang ramai akan menggunakannya. Lihat sahaja Facebook Credits atau Facebook Gifts. Apa cerita mereka kini?

Tetapi bagaimana pula dengan WeChat Pay? Perkhidmatan ini diintegrasikan ke dalam WeChat yang merupakan platform media sosial terbesar China dan pada hari ini perkhidmatan itu melihat lebih 902 juta pengguna aktif setiap hari. WeChat Pay menghubungkan pengguna terus kepada akaun bank mereka dan ianya boleh digunakan untuk membayar barangan dan perkhidmatan, membeli tiket kereta api, membayar perkhidmatan kesihatan dan juga bil utiliti dan sewa.

Adakah Facebook boleh mencapai prestasi WeChat Pay dengan matawang kripto barunya?

Ringkasan tentang matawang kripto Facebook

Kesimpulannya, banyak yang masih tidak diketahui tentang projek terbaru Facebook ini dan semua orang menanti tarikh 18 Jun untuk mengetahui tentang matawang kripto Facebook dan apa fungsi sebenarnya, sama ada apa yang diuar-uarkan oleh laman berita adalah benar atau tidak. Sambil kita menunggu tarikh itu, di sini penulis akan ringkaskan maklumat awam tentang projek kripto Facebook setakat ini.

Nama: Facebook mungkin akan menggunakan ‘Libra’ sebagai nama awam matawang kriptonya, dan bukannya GlobalCoin atau FaceCoin yang dilaporkan sebelum ini. Facebook telah mendaftar syarikat yang dipanggil Libra Networks di Switzerland untuk perkhidmatan kewangan, menurut laporan Reuters.

Token: Matawang kripto Facebook adalah stablecoinFacebook telah berurusan dengan beberapa institusi kewangan berkenaan sumbangan kapital untuk membentuk satu bakul beberapa matawang fiat dan sekuriti berisiko rendah bernilai $1 bilion yang akan menjadi kolateral untuk menstabilkan harga matawang kripto itu menurut laporan The Information.

Fungsi: Matawang kripto Facebook boleh dipindahkan tanpa yuran melalui produk Facebook termasuk Meseenger dan Whatsapp dan Facebook sedang berurusan dengan beberapa peniaga untuk menerima token itu sebagai pembayaran dan mungkin akan menawarkan bonus pendaftaran.

Pentadbiran: Facebook sedang dalam perbincangan untuk membentuk pertubuhan persendirian untuk mentadbir matawang kriptonya. Ia meminta syarikat membayar $10 juta untuk mengoperasikan nod yang boleh mengesahkan transaksi yang dibuat dengan matawang kriptonya. Kemungkinan besar operator nod akan diberi insentif untuk memastikan blockchain Facebook berjalan dengan lancar.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.