Default – Above Header Ads

Bagaimana PLUSTOKEN Menjalankan Scam Terbesar dalam Sejarah Kripto

Baru-baru ini komuniti digegarkan dengan satu khabar angin besar yang mengatakan bahawa PlusToken merupakan skim ponzi terbesar dalam sejarah kripto. Dan kejatuhan harga Bitcoin sehingga ke paras $9,000 dan matawang kripto lain dalam pasaran juga menjadi bukti sokongan yang membenarkan khabar angin tersebut.

Apa yang anda tahu tentang scam PlusToken ini? Tahukah anda scam PlusToken ini telah didedahkan sejak bulan Julai 2019 tetapi hanya kini kesannya terasa di seluruh pasaran matawang kripto.

Apa itu PlusToken?
Wallet

Sebelum itu, seperti biasa, mari kita mengenali apa itu PlusToken. Menurut salah satu laman web referral plustokenwallet (laman web rasmi http://www.pltoken.io/ tidak dapat diakses kini) yang masih lagi boleh diakses, PlusToken adalah online mobile wallet untuk menyimpan matawang kripto dengan konsep profit share atau perkongsian keuntungan. Nampak tak ada elemen yang agak mencurigakan di situ?

Menurut laman web itu lagi, PlusToken wallet adalah seperti wallet blockchain.info dan coinpayments.net. Apa yang membezakannya adalah ia membenarkan penggunanya menjana pendapatan daripada faedah yang ditawarkan. 6-18% daripada keuntungan mereka akan diagihkan ke dalam wallet pengguna.

Bagaimana mereka memperoleh keuntungan? Selain daripada mendapat deposit daripada pengguna masuk ke dalam wallet, sesuatu yang memang berbaur ponzi (kita akan kembali ke point ini dalam perenggan yang seterusnya). Kononnya PlusToken menggunakan sistem arbitrage berdasarkan AI (deposit minima sebanyak USD$500), di mana keuntungan daripada bursa pertukaran, pendapatan perlombongan dan komisyen daripada referral akan diagihkan kepada pengguna.

Dah bau macam skim Ponzi ke belum?

Token

Token PlusToken adalah PlusCoin. Tidak banyak yang diketahui tentang token ini melainkan ianya adalah token ERC20 di Ethereum, mempunyai bekalan sebanyak 28,272,323,623 PLC dengan 5,172,323,624 PLC dalam peredaran. Menurut CoinMarketCap, harga terakhir yang diketahui PlusCoin adalah $0.000025 USD. 

Jika anda ke CoinMarketCap pun, anda tidak akan menjumpai data yang banyak tentang PlusCoin, malah tiada graf yang berkaitan dengan token itu di laman web itu.

Garis masa pendedahan scam PlusToken

Menurut beberapa pengguna PlusToken, proses pengeluaran daripada wallet PlusToken mula mempunyai masalah sejak 27 Jun. Laman web itu menyatakan bahawa ia adalah masalah teknikal yang dihadapi.

Pada 10 Julai 2019, beberapa laman berita termasuk Cointelegraph dan CoinDesk melaporkan bahawa Vanuatu, negara di sebuah kepulauan Pasifik telah ekstradisi enam rakyat China kembali ke negara mereka berikutan penyiasatan yang sedang berlangsung ke atas platform PlusToken yang disyaki menjalankan skim piramid.

 

Yancheng Public Security Bureau dilaporkan mendapat aduan bahawa PlusToken menjalankan skim piramid pada awal tahun 2019 dan penyiasatan yang dijalankan meliputi daerah Hunan, Beijing dan juga Jiangsu. Pihak berkuasa menyatakan bahawa promoter platform itu telah menggunakan perkhidmatan Wechat untuk mempromosi PlusToken, dan juga telah mengadakan beberapa parti di Beijing, Sanya, Jeju Island dan Korea Selatan.

Menurut laporan dari firma infrastruktur blockchain Elementus, PlusToken telah berjaya mendapatkan lebih 100,000 pengguna dan mengumpul lebih $189 juta melalui yuran keahlian antara May 2018 dan Mac 2019.

Berita tentang PlusToken sampai ke dunia barat pada 12 Ogos, apabila firma keselamatan siber, CipherTrace mengeluarkan laporan anti-money laundering matawang kripto Q2 yang mengatakan skim PlusToken telah berjaya mengumpul 200,000 Bitcoin, 9.9 juta ETH, 26 juta EOS dan matawang kripto lain – anggaran jumlah deposit hampir USD$3 bilion.

Pada 17 Ogos, Whale Alert – sebuah akaun Twitter untuk melaporkan transaksi matawang kripto yang besar – telah menerbitkan tentang empat transaksi berjumlah 22,923 BTC yang dipindahkan.  6,000 BTC5,000 BTC7,000 BTC dan 4,923 BTC telah dipindahkan pada hari yang sama, namun kesemuanya masih belum disahkan berkaitan dengan skim PlusToken itu, walaupun ramai yang mensyaki itu adalah kesnya.

Ke mana pergi deposit PlusToken?

Berita tentang penangkapan enam individu yang didakwa berkaitan dengan PlusToken di Vanuatu itu telah menyebabkan majorit pengguna PlusToken berhenti daripada menghantar dana ke platform itu. Menurut analisa daripada Elementus, “deposit telah berhenti sekitar blok ke-8,040,000. Secara kebetulan itu adalah hari yang sama kumpulan PlusToken dilaporkan ditangkap di Vanuatu.”

Tetapi ke mana deposit selebihnya pergi?

Walaupun enam individu berkaitan scam itu telah ditangkap, matawang kripto daripada scam itu masih belum didapatkan kembali kerana individu yang memegang private key kepada wallet yang mengandungi dana itu masih lagi belum berjaya ditangkap. Di bawah adalah tiga contoh alamat BTC yang telah disahkan berkaitan dengan PlusToken:

  1. 14BWH6GmVoL5nTwbVxQJKJDtzv4y5EbTVm (Jumlah: 95,288 BTC)
  2. 31odn4bxF2TgM4pD7m4hdSr1vGMsjh9ugV (Jumlah: 68,562 BTC)
  3. 33FKcwFhFBKWHh46Ksmxs3QBu8HV7h8QdF (Jumlah: 37,922 BTC)

Menurut firma keselamatan kripto PeckShield yang mengawasi wallet PlusToken, sejak bulan Julai lagi scam itu telah memindahkan dana yang terkumpul itu ke dalam beberapa alamat, termasuk beberapa bursa pertukaran. Dalam beberapa hari yang lalu, sebanyak 5,775 BTC telah dibahagikan kepada kumpulan yang kecil (dalam 50 ke 200 BTC setiap kumpulan) ke dalam beberapa alamat.

Kajian daripada firma infrastruktur blockchain Elementus mendakwa bahawa 50% daripada pengeluaran daripada PlusToken telah masuk ke Huobi. Jumlahnya merangkumi 4.3 juta ETH, daripada jumlah besar 9.9 juta ETH. Bursa pertukaran lain yang terlibat dengan pengeluaran PlusToken termasuk ZB.com (China) yang menerima 8% daripada pengeluaran itu, Upbit (Korea Selatan), OKEx (Malta) dan Gate (China).

PeckShield juga menjumpai bahawa pada 14 Ogos, satu lagi wallet yang berkaitan dengan PlusToken telah memindahkan dalam 23,000 BTC ke dalam empat alamat baru, dengan 4,922 BTC, 5,000 BTC, 6,000 BTC dan 7,000 BTC yang dipindahkan. Namun begitu, masih belum diketahui sama ada dana ini akan masuk ke dalam bursa pertukaran.

Disebabkan itu, terdapat banyak spekulasi yang mengatakan kejatuhan dalam pasaran kripto baru-baru ini disebabkan kerana pengeluaran BTC yang besar daripada PlusToken.

Kesudahan PlusToken

Seperti scam BitConnect yang sudah ditutup tahun lalu, PlusToken hanya menanti untuk menjadi memori duka mangsanya. Jika kita bandingkan kedua-dua scam sememangnya menggunakan formula yang hampir serupa: menjanjikan pulangan yang banyak dengan syarat penggunanya menyimpan dana mereka dalam sistem, dan jaminan pulangan yang berterusan ke atas deposit mereka.

Walaupun ia telah dikenalpasti sebagai satu scam, media sosial PlusToken yang masih aktif ditambah lagi dengan dua orang pengasasnya yang masih bebas, tidak mustahil masih ramai yang akan berterusan menjadi mangsa kepada janji-janji kosongnya.

Apa yang pasti, penutupan PlusToken secara rasmi oleh pihak berkuasa pun tidak tentu akan dapat menjamin pengembalian dana pengguna mereka. Lihat sahaja BitConnect di mana sudah lebih setahun berlalu sejak penutupan scam itu, namun tiada jaminan pampasan untuk pelaburan mangsanya.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads