Default – Above Header Ads

Bitcoin: Matawang, Komoditi, Sekuriti atau Identiti Baru? Satu Perbincangan ( Bahagian I)

Bitcoin: Matawang, Komoditi, Sekuriti atau Identiti Baru? Satu Perbincangan ( Bahagian I)

Dunia dan manusia berubah pantas. Kehidupan manusia selalu “robust” dan tidak berbentuk terhad (finite). Kes-kes kehidupan juga adalah tidak terhad dan tidak boleh dijangkau pemikiran manusia (lihat al-Juwayni dalam al-Burhan dan Ibn Taymiyyah dalam al-Muswaddah). Apakah rahsianya Syariah boleh sentiasa relevan dan “ever-green” dalam setiap fasa masa dan tempat?

Syariah tidak diturunkan dalam bentuk perincian hukum-hukum spesifik untuk setiap perkara. Syariah dibekalkan dengan prinsip-prinsip umum untuk bersifat anjal dan fleksibel. Malah, penemuan prinsip-prinsip baru Syariah pun adalah berbentuk ‘penemuan baru’ berdasarkan fakta kehidupan manusia yang berkembang.

Misalnya, harta tak ketara (intangible asset) adalah satu penemuan baru yang jarang dibincangkan dalam 1400 yang lepas tetapi hari ini, harta tak ketara kadang-kadang lebih mahal dari harta ketara. (Lihat Mohd Daud Bakar, Minda Syariah Kewangan Islam -2016). Aset dan harta kekayaan Microsoft adalah lebih tinggi berbanding aset General Motors, walapun harta Mirosoft hanyalah sekadar perisian software berbanding aset dan stok kereta yang dikeluarkan oleh General Motors.

Matawang juga merupakan satu perkara yang dinamik dalam kehidupan. Islam, sejak dari zaman wahyu lagi, tidak memberi definisi yang padat dan ketat kepada apakah itu matawang. Ini adalah kerana matawang adalah sebahagian dari sosiologi kehidupan manusia. Apabila sesebuah komuniti samada maju atau primitif menerima sesuatu benda – yang ketara atau yang tidak ketara – sebagai alat pertukaran dalam jual beli dan traksaksi kewangan mereka, maka Islam mengiktiraf itu sebagai wang atau alat pertukaran untuk memudahcara manusia memenuhi keperluan masing-masing.

Kalau wang itu telah ditetapkan bentuk dan jenisnya yang tertentu, maka sebahagian masyarakat akan menghadapi masalah. Dalam bahasa mudah, sekiranya wang itu hanya sah dari segi syarak kalau ianya disandarkan kepada emas atau perak atau berlian atau petrol, bagaimana pula dengan sebahagian masyarakat dunia yang tidak mempunyai apa-apa rezab emas, perak, berlian dan petrol. Tugas matawang adalah sebagai alat pertukaran dan tidak semestinya untuk memegang nilai kehartaan tertentu (intrinsic value).

Wang cetakan negara pada hari ini iaitu fiat money adalah mawatang yang sah walaupun ia tidak mempunyai apa-apa nilai komersil secara ‘standalone’. Ia hanyalah sekeping kertas. Namun, aspek kehartaan matawang moden di seluruh dunia adalah berpaksikan kepada kepercayaan masyarakat kepada keseluruhan eko-sistem pencetakan dan pengeluaran serta transaksi matawang antara mereka. Kata dasar di sini adalah kepercayaan masyarakat tentang kebolehterimaan wang yang berada dalam saku, wallet dan akaun bank mereka untuk apa sahaja transaksi kewangan. Ini adalah fungsi utama wang.

Walapun Islam tidak menerangkan apakah itu mawatang, Islam sejak awal lagi menjelaskan musuh utama kepada transaksi wang dengan wang ialah riba (bukan gharar kerana gharar tidak relevan dalam dimensi riba sepertimana juga riba juga tidak relevan dalam dimensi gharar). Pendek kata, kalau sebarang transaksi melibatkan matawang itu adalah bebas daripada riba, ini adalah kehendak Syariah yang telah dipenuhi.

Dalam kehidupan ini, terdapat juga elemen yang lain iaitu komoditi. Komiditi adalah barang atau perkhidmatan yang boleh memberi manfaat kepada manusia secara langsung atau tidak langsung seperti alat, mesin, bahan mentah, tiket penerbangan, yuran pendidikan, kos perubatan malah sebuah potret lukisan untuk tatapan mata. Lazimnya, pembeli akan membayar sejumlah wang untuk mendapatkan barang atau perkhidmatan ini. Namun, pernah berlaku pada masa yang lalu atau pun dalam sesetengah transaksi moden hari ini di mana sesuatu komoditi itu ditukar dengan komoditi yang lain seperti minyak kelapa sawit ditukar dengan minyak petrol atau saham ABC dengan saham XYZ. Dalam konteks ini, salah satu komoditi yang ditukar dalam transaksi ini tidak boleh dianggap sebagai matawang kerana ia tidak cukup rukun dan syarat matawang. Kita akan sambung isu ini di masa hadapan.

Perkara yang terakhir dalam siri penulisan saya tentang Bitcoin (bahagian 1 dalam 5 bahagian ini), ialah berkenaan sekuriti. Sekuriti, dalam bahasa mudahnya, adalah satu jaminan yang diberikan oleh orang yang menanggung sesuatu obligasi samada obligasi membayar atau obligasi menyiapkan sesuatu kerja atau apa sahaja bentuk tanggungan dan obligasi. Menariknya, Syariah agak fleksibel dalam menyusun tatacara tentang sekuriti. Kalau ia melibatkan jaminan dan sekuriti harta (bukan jaminan peribadi), ia boleh berbentuk wang, barang ketara dan tidak ketara malah ia boleh dalam bentuk pendapatan atau perolehan masa hadapan (yang tidak pasti lagi). Persoalan timbul apabila mawatang dijadikan sebagai sekuiriti, apa hukumnya dalam Syariah (sama ada matawang itu wang kertas, wang emas, atau Bitcoin)?

Persoalan yang lebih besar lagi dalam tulisan saya ini ialah apakah sebenarnya DNA kepada Bitcoin (dan segala matawang digital atau matawang kripto): adakah ia matawang atau ianya sekadar komoditi baru atau ianya bukan matawang dan komoditi tetapi sekadar berfungsi sebagai sekuriti dalam transaksi kewangan. Ikuti perbincangan bahagian kedua di minggu hadapan.

InsyaAllah..

Datuk Dr Mohd Daud Bakar

Nota: Pandangan dalam penulisan adalah pandangan peribadi penulis dan tidak sama sekali memberi pandangan kepada mana-mana organisasi yang penulis mungkin terlibat dan ada hubungan perkhidmatan.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads