Bitcoin Private Hard Fork Gabungan Bitcoin dan ZClassic

Pada 28 Februari 2018, matawang kripto ZClassic (ZCL) telah melalui satu hard fork dan mencipta matawang kripto baru yang dipanggil Bitcoin Private (BTCP). Apa yang menarik tentang hard fork kali ini adalah ianya bukan sahaja hard fork ZCL tetapi juga hard fork Bitcoin yang berlaku pada masa yang sama untuk membentuk BTCP.

Apa itu Bitcoin Private (BTCP)?

Matawang kripto baru ini menggabungkan dua teknologi iaitu teknologi Bitcoin dan juga zk-snarks, yang diimplementasi oleh ZClassic, ZCash, dan ZenCash. Antara kelebihan matawang kripto ini adalah transaksi yang lebih selamat, di mana penghantar, penerima dan jumlah transaksi disembunyikan tetapi rekod transaksi masih boleh diakses di lejar awam Blockchain.

Seperti yang kita tahu, kod Bitcoin tidak berubah dengan begitu siginifikan sejak ia wujud, tetapi memandangkan dunia sudah menuju ke arah pengawalseliaan matawang kripto, banyak transaksi menggunakan Bitcoin berada di bawah pengawasan pihak berkuasa seperti FBI, IRS dan badan penguatkuasa di negara-negara lain. Jikalau dulu pengguna merasa hak privasi terlindung apabila membuat transaksi Bitcoin, kini terdapat risiko akaun dibekukan atau alamat Bitcoin di tangan pihak berkuasa.

Konsep penting dalam protokol ZKP (Zero Knowledge Proofs) yang diimplementasi dalam BTCP adalah cara untuk “Prover” menghantar mesej ke “Verifier” untuk meyakinkan mereka bahawa maklumat itu diketahui, tanpa mereka perlu mengumumkan maklumat itu. Protokol ini akan menyembunyikan jumlah transaksi atau matawang kripto dalam wallet seseorang pengguna. Matlamat utama BTCP adalah mengembalikan perlindungan privasi itu kepada pengguna yang sudah selesa menggunakan Bitcoin.

Harga ZClassic naik mendadak sebelum menjunam

Seperti biasa, matawang kripto BTCP ini akan di “airdrop” kepada pemegang ZCL dan BTC sebelum 28 Februari 2018. Dan beberapa jam selepas berita hard fork itu diumumkan, harga ZCL melonjak naik lebih 1600 peratus. Harga ZCL naik daripada USD$7.50 ke USD$120 dalam masa seminggu sahaja.

Harga tertinggi ZCL mencecah sehingga ke hampir USD$200, namun pada waktu penulisan harga ZCL sudah jatuh lebih 80 peratus kepada USD$23.61. Nampaknya pemegang ZCL yang tidak berminat dengan BTCP dan menjangka harga ZCL akan jatuh telah mula menjual ZCL dalam simpanan sebelum hard fork berlaku. Memandangkan harga ZCL sebelum berita tentang hard fork diumumkan adalah USD$2, kita boleh membuat hipotesis bahawa harga ZCL akan kembali dalam lingkungan yang sama.

Menarik tentang Bitcoin Private

Dalam gambar di atas kita dapat lihat perbandingan antara Bitcoin Private (BTCP), Bitcoin (BTC), Bitcoin Cash (BCH) dan Bitcoin Gold (BTG). Apa yang pasti BTCP mempunyai banyak kelebihan dan ia menggabungkan antara ciri-ciri terbaik dalam rata-rata matawang kripto yang ada di pasaran.

Salah satu kelebihan yang menjadikan BTCP sangat popular adalah kebolehannya untuk melindungi privasi dalam transaksi, memandangkan ia menggunakan teknologi sama seperti ZCL dan ZCash iaitu zk-SNARKs. Dengan teknologi zk-SNARKs, hanya log transaksi sahaja yang boleh diakses awam, tetapi metadata seperti penghantar dan penerima akan disembunyikan. Satu lagi kelebihan BTCP adalah saiz blok yang lebih besar (2MB) dan masa membentuk blok yang lebih sekejap (2.5 minit) yang membolehkan lebih banyak transaksi diproses dengan cepat.

Voluntary Miner Contribution Program

BTCP juga menjalankan satu program sebagai insentif untuk mining BTCP. BTCP menjalankan satu sistem lelongan di mana 62,500 BTCP akan diberikan kepada semua miners yang menyertai program tersebut sehingga 50,000 ZCL yang telah disumbang ke dalam dana BTCP. Ini bermakna jika seseorang mining 1% daripada jumlah ZCL yang telah disumbang, dia akan mendapat 625 BTCP, jika 10% dia akan mendapat 6250 BTCP, dan seterusnya.

Dana ZCL yang disumbangkan akan digunakan untuk penyenaraian BTCP dalam platform pertukaran (50%), kemajuan BTCP (25%), pemasaran (15%) dan admin (10%).

Kontroversi hard fork

Ini adalah perkara yang sama berlaku dalam kebanyakan kes matawang kripto yang melalui hard fork. Hakikatnya, peluang untuk memperoleh keuntungan daripada hard fork lebih tinggi berbanding penjualan matawang kripto mahupun HODL. Ini adalah kerana pengguna yang ingin mendapatkan token percuma akan berpusu-pusu mendapatkan matawang kripto sebelum hard fork, dan ini akan menaikkan harga matawang kripto tersebut. Bagi segelintir pemegang matawang kripto, inilah yang ditunggu-tunggu kerana pada waktu harga matawang kripto masih lagi tinggi, mereka akan mula menjual matawang kripto mereka. Biarpun mereka akan terlepas daripada mendapat token percuma, ianya bukanlah matlamat utama mereka.

Kesimpulan

BTCP mempunyai fungsi yang sama seperti kebanyakan matawang kripto yang ingin digunakan sebagai pembayaran. Seperti yang telah dibincangkan di atas, BTCP menggabungkan ciri-ciri BTC dan ZCL, menjadikan ia matawang kripto yang lebih maju daripada kedua-dua BTC dan ZCL. Sesiapa yang mempunyai baki BTC dan ZCL ketika snapshot blok yang telah ditetapkan boleh mendapatkan BTCP. Adakah anda sudah mendapatkan BTCP anda?

 

Maklumat tentang Bitcoin Private

Nama token : Bitcoin Private
Penanda token : BTCP
Umur : 5 bulan
Konsep : Wang Internet yang memberi privasi, desentralisasi, pantas, terbuka dan digerakkan komuniti
Jumlah bekalan : 21,000,000 BTCP
Untuk pencipta : 62,500 BTCP dilelong untuk mendapatkan 50,000 ZCL
Pre-mine : Tiada
Dalam edaran : 20,497,291 BTCP
Pencipta : Rhett Creighton (dipecat April 2018)
Algorithm : Equihash
Protokol konsensus : Proof-of-work
Untuk privasi : zk-SNARKs
Masa blok dibentuk : 2.5 minit
Mining : Ya
Laman web : Bitcoin Private
Whitepaper : Bitcoin Private Whitepaper

Nilai pada 25 Julai 2018
Modal pasaran (USD) : $180,509,191
Harga (USD) : $8.81
Nilai (BTC) : 0.00106092

Rank (coinmarketcap) : 62