Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Decentraland: Platform Alam Maya di atas Blockchain

Decentraland menggabungkan teknologi VR dan blockchain bersama

Decentraland merupakan salah satu projek yang berhasrat untuk menggabungkan teknologi VR (virtual reality) dan juga Blockchain. Platform VR Decentraland akan menggunapakai Blockchain Ethereum dimana pengguna-pengguna mereka boleh mencipta dan menjual segala kandungan dan aplikasi di alam maya.

Ketika ini, ramai pengguna-pengguna yang banyak meluangkan masa di alam maya untuk mengisi masa lapang dan berbeza dengan platform-platform alam maya dan rangkaian social yang lain, Decentraland mengetengahkan konsep desentralisasi supaya ianya dikuasai sepenuhnya oleh komuniti dan tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai kuasa untuk mengubah peraturan-peraturan perisian, kandungan tanah di dalam Decentraland dan menyekat mana-mana individu lain untuk memasuki Decentraland.

Sejarah dan konsep asal Decentraland

Projek Decentraland bermula dengan konsep eksperimen ‘zaman batu’ pada bulan Disember 2015. Di peringkat eksperimen, Decentraland dibina dengan menggunakan teknik dunia 2-dimensi (2D), kemudian konsep ini diinovasikan dengan menggunakan dunia 3-dimensi (3D) pada akhir tahun 2016 dengan menggunapakai nama ‘zaman gangsa’.

Versi seterusnya bagi Secentraland adalah ‘zaman besi’ dimana pengguna-pengguna Decentraland boleh mencipta avatar, berkomunikasi di alam maya Decentraland dan boleh mencipta dan menginovasi barangan-barangan dan tanah-tanah persendirian di dalam Decentraland. Sasaran terakhir projek Decentraland adalah ‘zaman silikon’ dimana alam maya Decentraland mempunya sistem fizik yang sebenar dan pengguna-pengguna boleh mengguna pakai peralatan VR untuk log masuk dan bermain didalam alam maya Decentraland.

Menurut pencipta Decentraland, Ari Meilich, idea penciptaan Decentraland sangat dipengaruhi oleh konsep-konsep seperti didalam novel ‘Ready Player One’ tetapi diinovasi dengan gabungan sistem Blockchain untuk mengelakkan daripada salah laku oleh mana-man individu atau organisasi seperti dalam novel tersebut.

 

Sistem ekonomi didalam Decentraland

Decentraland menggunakan token Ethereum yang digelar MANA sebagai matawang untuk menjual beli tanah, barangan dan perkhidmatan di dalam dunianya. LAND merupakan kepingan tanah yang boleh dijual beli oleh pengguna-pengguna Decentraland. Untuk membeli LAND, token MANA akan dibakar menggunakan fungsi didalam kontrak pintar sebagai penciptaan dan pemilikan pendaftaran tanah. Pembelian parcel LAND boleh dilakukan di pasaran Decentraland.

Segala maklumat-maklumat pemilikan tanah di Decentraland dalam bentuk metadata boleh di muat turun melalui bittorent atau sistem fail IPFS. Decentraland juga memperkenalkan sistem ‘estate’, dimana kepingan-kepingan LAND yang berhubung antara satu sama lain boleh digabungkan bersama. Sistem ini memudahkan jual beli dan penciptaan rumah atau bangunan yang lebih kompleks dan besar.

Selain daripada konsep pemilikan dan jual-beli tanah, Decentraland juga mencetus ratusan idea untuk merevolusikan sistem ekonomi alam maya.  Di dalam Decentraland, individu atau organisasi boleh mengiklankan barangan-barangan dan produk-produk menggunakan papan iklan seperti di dunia sebenar. Kewujudan medium komunikasi seperti mesej dan voicechat di versi seterusnya sudah pasti akan membolehkan lebih banyak kaedah-kaedah baru untuk pengiklanan dan penjualan di masa hadapan.

Tambahan lagi, pengguna-pengguna Decentraland boleh mencipta barangan-barangan di alam maya dengan menggunakan kit pembangunan perisian yang disediakan. Segala jenis penciptaan termasuk barangan dan pembukaan kedai di dalam Decentraland akan diberi ganjaran sebagai usaha untuk menarik minat mengembangkan dunia Decentraland. Khidmat pelancongan virtual juga boleh menjadi satu medium untuk menjana ekonomi didalam Decentraland dan menarik minat pengguna-pengguna baru yang ingin melihat penciptaan di Decentraland yang dibina dengan kreativiti-kreativiti pengguna.

Persaingan dengan platform permainan Blockchain yang lain

Ketika ini, bilangan projek Blockchain yang berkonsepkan permainan sedang meningkat dari semasa ke semasa. Selain daripada Decentraland, terdapat projek-projek besar yang menggunakan blockchain Ethereum sebagai medium untuk melancarkan produk-produk aplikasi permainan, termasuklah projek Loom Network yang mencipta permainan CryptoZombies dan projek Fuel Games yang mencipta Etherbots dan Gods Unchained.

Dari segi projek yang menggunakan gabungan teknologi VR dan Blockchain pula terdapat projek-projek seperti Vibe, RevolutionVR, Spectiv dan Mark.space. Namun begitu, melihat dari segi kedudukan projek yang berpandukan harga pasaran di coinmarketcap, projek Decentraland yang mempunyai permodalan pasaran sebanyak USD73.6 juta ketika ini, dilihat mendahului projek-projek saingan lain.

Idea dan konsep teras Decentraland dilihat lebih berjaya memikat dan menarik perhatian pengguna-pengguna Blokchain sebagai platform permainan Blockchain utama. Walaubagaimanapun, konsep platform permainan menggunakan Blockchain masih di peringkat awal dan lebih banyak penambahbaikan boleh dilakukan. Dengan idea-idea protokol Ethereum seperti Plasma dan penggunaan ‘state channel’ dan ‘side chain’ yang akan meningkatkan kemampuan transaksi yang lebih laju, sudah pasti akan memberikan kemudahan dan kebaikan pada platform-platform permainan yang menggunakan blockchain Ethereum di masa hadapan.

Harga pasaran semasa Decentraland

Berdasarkan laman utama coinmarketcap, ketika ini, token Decentraland (MANA) berada di kedudukan ke 81 dengan harga pasaran sebanyak USD0.07 setiap token. Harga tertinggi pasaran bagi token MANA yang pernah direkod adalah pada 9 Januari 2018 iaitu sebanyak USD0.26 manakala harga terendah pasaran adalah USD0.008 pada 24 Oktober 2017. Harga pasaran di masa hadapan bagi Decentraland masih menjadi tanda tanya.

Pemasaran projek Decentraland juga banyak bergantung pada faktor-faktor lain seperti kebolehan blockchain Ethereum untuk meningkatkan skala transaksi, kemampuan teknologi VR dan lain-lain. Namun begitu, ketika ini, projek Decentraland merupakan salah satu projek permainan yang mempunyai kedudukan kukuh dan berjaya menarik perhatian pengguna2 blockchain sebagai salah sebuah projek permainan blockchain yang utama.

 

Maklumat tentang Decentraland

Nama token : Decentraland
Penanda token : MANA
Umur : 3 tahun
Konsep : Platform Virtual Reality berdasarkan Blockchain Ethereum
Pencipta : Ari Meilich dan Esteban Ordano
Jumlah bekalan : 2,644,403,343 MANA
Dalam edaran : 1,050,141,509 MANA
Pre-mine : Ya
Kelajuan transaksi : ~24 transaksi setiap saat
Yuran transaksi : bergantung kepada rangkaian Ethereum
Algorithm : ERC20
Protokol konsensus : PoW
Mining : Ada
Laman web : Decentraland
Whitepaper : Decentraland Whitepaper

Nilai pada 9 Oktober 2018
Modal pasaran (USD) : $80,471,554
Harga (USD) : $0.076629 

Nilai (BTC) : 0.00001160 BTC

Nilai (ETH) : 0.00033483 ETH
Rank (coinmarketcap) : 81

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.