Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Larangan ICO punca Utama Pasaran Matawang Krypto Terjejas

Pasaran matawang krypto masih lagi jatuh. Pada hari ini, kadar penurunan pasaran matawang krypto adalah sebanyak 9 peratus. Untuk memberi anda sedikit perspekstif, jumlah pasaran matawang krypto semalam adalah lebih kurang USD151 bilion. Hari ini, pada waktu penulisan, nilai itu adalah USD137.7 bilion. Sebanyak USD13.3 bilion hilang kerana rata-rata semua matawang krypto telah jatuh.

Dalam post semalam, penulis mengatakan ini adalah kerana berlakunya proses market correction, atau pembetulan pasaran. Itu adalah salah satu faktor utama kejatuhan pasaran matawang krypto dan ianya suatu fasa semula jadi dalam mana-mana pasaran. Apa yang menyebabkan penurunan yang lebih mendadak adalah kerana peristiwa penting yang berlaku.

1 Larangan ICO oleh kerajaan China menjejas pasaran

Pada Julai lalu, ia adalah isu yang berkaitan Bitcoin di mana berlakunya perbalahan tentang protokol Segwit2x dalam komuniti Bitcoin. Dan selama mana isu itu di gembar gemburkan dalam media sosial, selagi itu harga Bitcoin terjejas. Kali ini, peristiwa yang berlaku adalah kerajaan China bertindak menghalang (ban) ICO di negara itu. Ianya lebih memudaratkan kerana bukan sahaja Bitcoin terjejas, tetapi semua matawang krypto yang lain.

Kerajaan China telah mengeluarkan pernyataan tentang larangan ICO yang disokong oleh tujuh badan penguatkuasa kewangan negara itu, termasuk People’s Bank of China, Jabatan Rangkaian Pusat, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat, Pentadbiran Negeri untuk Industri dan Perdaganganth dan Suruhanjaya Penguatkuasa Perbankan China. Dalam kenyataan tersebut, organisasi yang mengeluarkan ICO diarahkan untuk menghentikan pengeluaran serta merta dan mengembalikan pelaburan yang telah dibuat.

Organisasi-organisasi seperti ICOage dan ICOINFO yang menganjur beberapa pelancaran ICO di platform mereka sudah pun mula mengembalikan pelaburan dalam bentuk Bitcoin, Ether kepada pelabur. Menurut pelabur-pelabur, kedua-dua platform tersebut adalah tempat utama untuk melabur dalam ICO, dan projek-projek yang sudah dianjur berjaya mengutip dalam 3000BTC – 5000BTC semasa ICO mereka dijalankan.

2 ICO patut dikawal selia atau tidak?

Ada yang menganggap tindakan kerajaan China ini adalah betul. Sejak ICO mula di gembar gemburkan di laman media sosial, semakin ramai orang mula berminat melabur dalam ICO. Pada masa yang sama, banyak projek-projek yang tidak diketahui legitimasi mereka mula muncul. Tanpa kawal selia, projek-projek ini tiada halangan untuk melancarkan ICO masing-masing dan mengumpul dana daripada orang ramai.

Projek-projek penipuan inilah yang memberi nama buruk kepada projek-projek yang mempunyai model perniagaan yang sah dan menguntungkan pelabur. Jika keadaan ini berterusan, kemungkinan besar pelabur akan mula hilang keyakinan terhadap ICO dan hanya melabur dalam matawang krypto yang sudah mempunyai reputasi yang baik di pasaran. Itu adalah sebab utama sesetengah orang menganggap tindakan kerajaan China itu perlu untuk menghalang projek-projek yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan daripada membiak.

Pada masa yang sama, di sebelah yang bertentangan, mereka menganggap tindakan ini adalah langkah pertama kerajaan untuk menguasai medan matawang krypto. Jika pelancaran ICO perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa, ia sudah bertentangan dengan konsep decentralization yang dijunjung oleh komuniti matawang krypto. Apa yang akan menghalang kerajaan daripada mengambil alih platform pertukaran dan seterusnya matawang krypto pada masa akan datang? Apa pendapat anda?

3 Adakah ini kejatuhan pasaran yang panjang?

Di minggu-minggu yang akan datang, penguatkuasa negara China akan mula menjalankan penyiasatan ke atas lebih 60 platform pertukaran besar yang berpusat di negara itu. Kebanyakan platform sudah mula menghentikan urus niaga matawang krypto yang berkaitan ICO berikutan pengumuman dari kerajaan China.

Banyak spekulasi menjangka kejatuhan pasaran matawang krypto pada kali ini akan lebih berpanjangan daripada Julai lalu. Sejauh mana nilai matawang akan jatuh, penulis pasti itu adalah persoalan utama yang berpusing di minda semua orang. Apa yang membimbankan adalah tindakan kerajaan China ini akan menyebabkan negara-negara lain mula mengikuti langkah yang sama. Kerajaan Korea Selatan juga sudah mula mengetatkan peraturan berkaitan urus niaga Bitcoin dan akan mengawalselia projek-projek ICO yang melanggar akta modal pasaran di negara itu.

Apakah nasib projek-projek ICO di masa akan datang? Adakah pasaran matawang krypto akan terjejas dalam jangka masa panjang? Kita tunggu sahaja dan lihat.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.