Litecoin Cash: Fork Litecoin atau hanya propaganda semata-mata?
Pada 18 Februari 2018, blockchain Litecoin telah melalui proses fork pada blok yang ke-1371111, dan telah melahirkan matawang kripto yang baru, iaitu Litecoin Cash. Dan melalui fork ini, sesiapa sahaja yang memiliki Litecoin akan menerima 10 token Litecoin Cash bagi setiap Litecoin yang terdapat dalam wallet mereka.
Ia adalah keadaan yang sama seperti sewaktu Bitcoin Cash berpecah daripada Bitcoin. Kini Bitcoin Cash adalah matawang kripto ke-4 terbesar di pasaran, hanya selepas 6 bulan dilancarkan. Walaupun begitu, terdapat beberapa perbezaan antara fork ini dengan fork Bitcoin yang berlaku pada bulan Ogos 2017 yang lalu.
Mengapa fork berlaku?
Fork secara teknikal adalah upgrade yang berlaku kepada protokol matawang kripto, dan terdapat dua jenis fork yang biasa berlaku, iaitu soft fork dan hard fork. Secara ringkas, soft fork adalah satu pertukaran protokol yang masih lagi mempunyai kebolehoperasian dengan protokol legasi, atau protokol asal. Manakala hard fork pula adalah perpecahan yang tetap dan tidak mempunyai keserasian dengan protokol legasi.
Untuk menjalankan fork, tidak kira soft atau hard, memerlukan konsensus daripada pihak-pihak yang terlibat dalam blockchain. Ini termasuklah developers, miners, pembuat wallet dan pengguna iaitu merchants dan pengguna biasa. Mereka perlu mengubah atau upgrade software mereka yang akan mengubah protokol keseluruhan blockchain itu. Dan apabila ianya berlaku, kesemua peserta dalam rangkaian itu akan berpindah kepada blockchain yang baru.
Tetapi keadaan berbeza berlaku jika keseluruhan rangkaian tidak mencapai konsensus. Dan inilah yang berlaku dalam kes Bitcoin Cash ataupun Bitcoin Gold. Fork Bitcoin yang berlaku ketika itu tidak mencapai konsensus dan ini bermakna blockchain Bitcoin berpecah kepada dua rangkaian yang menggunakan protokol yang berbeza, Bitcoin yang masih kekal di protokol legasi dan Bitcoin Cash yang menggunakan Blockchain baru.
Apa yang berbeza dengan Litecoin Cash?
Litecoin sudah terkenal dengan kadar transaksi yang sangat cepat dan juga mempunyai transaksi yang lebih murah berbanding Bitcoin, jadi apa yang Litecoin Cash boleh tawarkan kepada pengguna? Menurut laman web Litecoin Cash, Litecoin Cash akan menggunakan algoritma yang sama dengan Bitcoin, iaitu SHA256 yang akan membolehkan miners menggunakan peralatan mining legasi Bitcoin untuk mining Litecoin Cash.
Selain daripada itu, kesukaran mining akan diselaraskan pada setiap blok, yang diadaptasi daripada algoritma Dash. Target masa untuk setiap blok Litecoin Cash masih lagi sama seperti Litecoin, iaitu 2.5 minit tetapi kadar transaksinya 90 peratus lebih murah. Itu adalah antara kelebihan yang diiklankan oleh Litecoin Cash.
Reaksi orang ramai
Litecoin Cash diumumkan pada 3 Februari dan tidak lama selepas itu, pencipta Litecoin, Charlie Lee, telah mengecam matawang kripto itu. Dalam tweet beliau, beliau mengatakan bahawa beliau dan developer team beliau tidak menjalankan apa-apa fork keatas Litecoin. Dan apa sahaja fork yang diumumkan adalah satu penipuan.
PSA: The Litecoin team and I are not forking Litecoin. Any forks that you hear about is a scam trying to confuse you to think it's related to Litecoin. Don't fall for it and definitely don't enter your private keys or seed into their website or client. Be careful out there! https://t.co/qXbiIxp5Al
— Charlie Lee [LTC] (@SatoshiLite) February 4, 2018
Dan pengguna matawang kripto lain juga banyak mengutarakan pendapat mereka. Ada yang mengatakan ianya scam, dan ada juga yang mengatakan fork Litecoin Cash ini adalah untuk miners. Ini adalah kerana matlamat utama penciptaan Litecoin Cash lebih kurang sama seperti Bitcoin Gold, di mana ia membolehkan miners yang memiliki peralatan mining Bitcoin yang lama untuk menggunakannya.
Malah, laman web Llitecoin Cash juga mendakwa mereka menggunakan nama Litecoin Cash semata-mata kerana ia sudah menjadi kebiasaan untuk matawang kripto yang melalui fork untuk menggunakan nama asalnya sebagai prefix. (Notakaki: Jika anda pergi ke search bar coinmarketcap.com, anda akan dapati tiga matawang kripto lain yang menggunakan nama Litecoin; Litecoin Plus, Litecoin Ultra dan Litecoin Gold). Jadi, tidak hairanlah jika Litecoin Cash menggunakan nama Litecoin dalam penamaan token mereka.
Kesimpulan
Seperti apa yang berlaku pada Bitcoin Cash dan Bitcoin Gold, harga Litecoin naik lebih 45 peratus dan ada spekulasi mengatakan bahawa ini adalah kerana Litecoin Cash. Pengguna sudah pasti ingin mendapatkan 10 LCC yang percuma tidak kira apa potensi Litecoin Cash. Hanya masa akan menentukan sama ada Litecoin Cash akan mempunyai nilai di masa akan datang, atau tenggelam seperti matawang kripto yang lain.