Default – Above Header Ads

Misi Terbaru Libra: Mendapat Penerimaan Penguatkuasa

Dalam banyak-banyak matawang kripto, yang mana satu paling banyak mendapat perhatian penguatkuasa seluruh dunia? Jika anda kata Bitcoin, jawapan anda salah! Jawapannya adalah Libra, yang dibangunkan oleh Facebook.

Tahukah anda Libra coin ni masih belum dilancarkan? Walaupun perancangan untuk melancarkan matawang kripto ini adalah dalam beberapa tahun lagi, cabaran dan misi terbaru Libra buat masa kini adalah untuk mendapat penerimaan penguatkuasa. Bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi juga di seluruh dunia.

Ada apa dengan Libra?

Siapa yang tak pernah dengar tentang Libra, mari penulis ceritakan secara ringkas. Menurut whitepaper, “Libra adalah matawang global dan infrastruktur kewangan yang akan menguasakan berbilion orang di seluruh dunia.” Ciri-ciri asas Libra ada 5, iaitu:

  • Dibina di atas blockchain yang selamat dan boleh diskalakan
  • Ia adalah stablecoin yang disandarkan kepada beberapa aset
  • Ia ditadbir oleh Libra Association
  • Menggunakan mekanisme konsensus LibraBFT
  • Kod smart contract Libra dilaksankan dengan programming language “Move”

Libra Association adalah sebuah persatuan bebas yang didirikan di Switzerland yang akan membuat keputusan besar mengenai Libra, walaupun Facebook akan mengekalkan peranan kepimpinannya sepanjang 2019. Facebook mensasarkan untuk mendapatkan 100 ahli dala Libra Association sebelum pelancarannya yang dirancang pada pertengahan tahun pertama 2020.

Whitepaper Libra menyatakan bahawa selepas rangkaian blockchain itu dilancarkan secara rasmi, semua ahli Libra Association akan mempunyai komitmen, kelebihan dan tanggungjawab kewangan yang sama seperti mana-mana Ahli Pengasas lain. Ini bermakna setiap ahli akan memegang kuasa pentadiran yang sama.

Facebook juga telah membina wallet digital yang dinamakan “Calibra”, yang akan digunakan untuk berinteraksi dengan Libra. Pengguna akan boleh memindahkan Libra melalui telefon pintar mereka dengan Calibra dan Facebook sudahpun membuat kerjasama dengan beberapa penyedia pembayaran seperti MasterCard, Visa, PayPal dan Stripe. Ini membolehkan orang ramai membuat pembelian Libra dengan matawang fiat dan juga matawang kripto lain.

Apa yang membezakan Libra dengan blockchain lain seperti Bitcoin atau Ethereum adalah ia akan bermula dengan permissioned, sama seperti struktur Ripple. Ini bermakna hanya pihak tertentu sahaja boleh menjadi nod pengesah dalam rangkaian LibraPermissioned blockchain selalunya lebih cepat daripada permissionless blockchain seperti Bitcoin kerana ia mempunyai lebih sedikit nod. Namun begitu, ia lebih kurang desentralisasi daripada permissionless blockchain.

Walaupun Libra akan dilancarkan sebagai permissioned blockchain pada permulaannya, matlamat Facebook adalah untuk menjadikannya permissionless suatu hari nanti. Cabaran terbesar adalah untuk mencari penyelesaian untuk “menskala, menstabilkan, dan mengekalkan keselamatan yang diperlukan untuk menyokong berbilion orang dan transaksi di seluruh dunia melalui rangkaian yang permissionless.”

Menurut Facebook, penyelidikan ke arah permissionless blockchain untuk Libra akan bermula selepas lima tahun pelancarannya.

Reaksi kepada Libra

Memandangkan Facebook memonopoli pasaran media sosial seluruh dunia, tidak menghairankan jika kerajaan di merata dunia mempunyai pelbagai kebimbangan terhadap stablecoin yang bakal dilancarkan itu. Ini termasuk penguatkuasa privasi global, bank pusat dan menteri kewangan yang telah menyatakan kebimbangan mereka tentang kesan yang akan berlaku kepada sistem kewangan jika Libra dilancarkan.

Ironinya, pengumuman tentang matawang kripto Libra yang dimiliki Facebook telah menyebabkan penguatkuasa kewangan mula memandang serius kepada matawang digital, walaupun selama ini Bitcoin masih lagi dianggap sebagai isu yang remeh dalam kalangan mereka.

Hari yang sama Facebook mengumumkan tentang stablecoin mereka, Gabenor Bank of England Mark Carney menyatakan bahawa ia “akan berada di bawah undang-undang dan peraturan tertinggi”. Beberapa minggu kemudian, Pengerusi Federal Reserve Jerome Powell menyenaraikan isu-isu berkenaan privasi, pencucian wang, pelindungan pelanggan dan kestabilan kewangan.

Sejak itu, Presiden Bank Pusat Eropah Mario Draghi, Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin dan Pesuruhjaya FTC Rohit Chopra juga telah menyatakan kebimbangan mereka. Penguatkuasa AS dan UK mempersoal Facebook bagaimana ia akan melindungi data peribadi pengguna daripada mengulangi apa yang berlaku dalam kes Cambridge Analytica dan penguatkuasa Switzerland telah meminta wakil Facebook datang untuk berbincang tentang isu-isu mengenai stablecoin itu.

Kebimbangan utama mengenai Libra

Sebenarnya kebimbangan penguatkuasa mengenai potensi Libra untuk menjejaskan sistem kewangan global adalah berasas. Ini adalah kerana Facebook, gergasi media sosial adalah di belakang stablecoin tersebut. Apabila Libra dilancarkan, selain daripada kelebihan dari segi pengkalan data pengguna yang sudah mencecah 2.7 bilion pengguna, wallet Calibra sudah tentu akan diintegrasi kepada aplikasi Facebook yang lain, termasuk Whatsapp, Facebook Messenger dan Instagram.

Tambahan lagi, syarikat yang menjadi ahli Libra Association termasuk eBay, PayPal, Mastercard dan Visa, di mana semuanya memegang sebahagian besar dari segmen pembayaran digital dan juga e-commerce. Tidak seperti Bitcoin dan matawang kripto yang sehingga kini masih dianggap niche dan hanya digunakan oleh satu golongan sahaja, stablecoin Libra berpotensi untuk digunakan berbilion pengguna dalam masa yang singkat.

Dan daripada itu, potensi kerajaan untuk hilang kawalan terhadap polisi kewangan juga adalah besar. Contohnya, US Dollar yang memegang kuasa yang sangat besar, dan pada masa kerajaan AS yang berkuasa kerana harga komoditi adalah dalam denominasi US Dollar. Daripada itu, dan hakikat bahawa kerajaan AS juga mengawal bank mana yang boleh berurusan dalam US Dollar, menjadikan ianya mempunyai kuasa untuk mengawal hala tuju ekonomi secara global.

Dan kehilangan kuasa inilah yang menyebabkan penguatkuasa AS dan juga negara-negara lain memandang serius pelancaran stablecoin oleh Facebook ini.

Kesimpulan

Walaupun penguatkuasa seluruh dunia masih lagi membahaskan tentang pelancaran Libra dan kesannya kepada sistem kewangan global, satu kesan positif daripada semua ini adalah perhatian yang mula diberikan kepada Bitcoin dan matawang kripto lain. Ramai pelabur institusi mula mempertimbangkan Bitcoin sebagai aset safe haven dan ini memberi keyakinan kepada ramai peminat kripto bahawa matawang kripto tidak lama lagi akan masuk secara rasmi ke dalam sistem kewangan yang sedia ada.

Buat Facebook, tahun ini adalah tahun paling kritikal buat syarikat itu untuk memenangi hati penggubal undang-undang dan penguatkuasa kerajaan seluruh dunia. Facebook sudahpun memberitahu pelabur-pelaburnya bahawa terdapat kemungkinan besar Libra tidak akan dilancarkan dalam tempoh yang dirancang kerana cabaran yang tidak disangka daripada penguatkuasa.

Adakah Facebook akan berjaya melancarkan Libra? Apa pendapat anda?

Default – Between Post Ads