Pendatang baru Cardano Lebih Bagus dari Ethereum?

Dalam banyak-banyak matawang kripto yang tiba-tiba naik ke tangga-tangga teratas matawang kripto, ada satu matawang kripto yang penuils rasa kenaikannya yang agak dramatik tidak mendapat liputan meluas. Mungkin kerana matawang kripto yang lebih popular seperti Bitcoin, Ripple, dan Litecoin lebih mendapat perhatian.

Matawang kripto itu adalah ADA, atau matawang Cardano yang kini berada di tangga ke-6 mengatasi IOTA yang menduduki tangga itu beberapa minggu yang lalu. Jumlah modal pasaran Cardano kini hampir USD$11 bilion dan nilainya melompat lebih 500 peratus hanya dalam masa sebulan, dari USD$0.08 ke USD$0.42 pada waktu penulisan.

Apa itu Cardano?

Kalau anda nak tahu, Cardano bukanlah satu matawang kripto yang baru dikeluarkan. Sebenarnya, ia sudah dicipta sejak tahun 2015 lagi, oleh mantan CEO Ethereum, Charles Hoskinson yang telah meninggalkan Ethereum kerana perbezaan pendapat. Hoskinson menubuhkan satu syarikat baru, IOHK, untuk mencipta ekosistem matawang kripto yang lebih baik. Jadi, kita boleh anggap Cardano ini sebagai pesaing Ethereum.

Cardano adalah satu blockchain yang dibina menggunakan programming language Haskell, protokol berdasarkan kaedah matematik dan juga adalah hasil daripada penyelidikan yang mendalam tentang teknologi Blockchain dan smart contract. Pendekatan ini membuatkan Cardano unik daripada matawang kripto yang lain, yang lebih banyak menggunakan pendekatan ‘cuba sehingga berjaya’. Charles mempunyai pengalaman sebagai CEO Ethereum, jadi Cardano mempunyai kelebihan dari segi penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada.

Satu lagi perkara menarik tentang Cardano adalah ia merupakan satu-satunya matawang kripto yang sudah implementasi protokol konsensus proof-of-stake secara menyeluruh. Seperti yang kita tahu, kebanyakkan matawnag kripto menggunakan protokol konsensus proof-of-work yang memerlukan kuasa komputer yang besar dan menelan perbelanjaan elektrik yang banyak. Anda boleh membaca tentang protokol konsensus yang berbeza di sini. IOHK juga akan membina Virtual Machine versi mereka sendiri, yang akan dilancarkan tahun depan.

Bagaimana Cardano berfungsi?

Sistem Cardano terbahagi kepada dua, di mana Cardano Settlement Layer (CSL) adalah lapisan atas platform tersebut. Lapisan ini menggunakan protokol konsensus proof-of-stake  untuk mengeluarkan token Cardano yang baru dan mengesahkan transaksi dalam rangkaian Cardano.

Cardano Computation Layer (CCL) pula adalah lapisan kedua, di mana ia megandungi  maklumat tentang sebab-sebab transaksi tersebut berlaku. Penggunaan CCL dalam smart contract akan membolehkan pengguna mencipta peraturan yang berbeza-beza dalam pengesahan transaksi. Contohnya, anda boleh mencipta satu lejar yang mengetepikan transaksi yang tidak mematuhi peraturan KYC/AML – sesuatu yang pasti akan berguna memandangkan pengawalseliaan blockchain semakin bertambah.

Cardano juga mencipta wallet mereka sendiri, dan ini adalah satu perkara yang menarik banyak pelabur, kerana mereka merasa lebih yakin dengan wallet yang dikeluarkan oleh developer sendiri. Wallet Cardano dipanggil Daedalus. Selain daripada itu, Cardano menyokong sidechains, atau transaksi diluar blockchain utama Cardano, yang berdasarkan protokol Kiayias, Miller, and Zindros (KMZ). Protokol ini akan membenarkan transaksi berlaku antara lapisan CSL, CCL atau mana-mana blockchain yang menggunakan protokol tersebut.

Pasaran Cardano

Cardano juga telah melangsungkan ICO daripada September 2015 sehingga awal Januari tahun ini, dan token Cardano telah mula dijual di pasaran sejak Oktober yang lalu. Antara sebab harga Cardano tiba-tiba melonjak naik adalah penambahan Cardano di platform pertukaran lain dan juga pengumuman roadmap Cardano. Seperti Litecoin dan juga matawang kripto yang lain, Cardano juga mendapat lebih banyak perhatian kerana penghebahannya kepada orang ramai. Jika anda berminat untuk membeli Cardano (ADA), anda boleh membelinya di platfrom petukaran seperti Bittrex dan Binance.

Kesimpulan

Seperti matawang kripto lain, status Bitcoin yang sudah berjaya menjadi mainstream telah membawa ramai pendatang baru ke dunia matawang kripto. Dan semakin ramai yang mula mencari matawang kripto yang mempunyai potensi tinggi di masa hadapan, sama ada dari segi projek mahupun keuntungan daripada kenaikan nilai.

Pengumuman roadmap Cardano merupakan langkah kanan bagi bagi matawang kripto itu kerana ia berjaya menarik perhatian pelabur baru kepadanya. Pada masa yang sama, pelabur juga tertarik dengan potensi Cardano untuk menambahbaik kelemahan Ethereum lebih-lebih lagi dengan isu berkenaan Parity wallet baru-baru ini. Cardano yang menitikberatkan perincian kod dan tahap keselamatan yang sudah dikaji selidik lebih memberi keyakinan kepada pelabur. Sama ada projek ini akan berjaya memenuhi potensinya, kita tunggu sahaja dan lihat.