Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

ZCoin vs Zcash: Mana yang Memberi Lebih Privasi dalam Transaksi?

Kritikan utama terhadap Bitcoin adalah transaksi Bitcoin yang tidak anonymous sepenuhnya. Ini adalah kerana untuk memastikan masalah double-spending tidak berlaku, kesemua transaksi Bitcoin akan direkod ke dalam lejar awam setelah disahkan dalam rangkaian Blockchain Bitcoin.

Walaupun identiti penghantar atau penerima Bitcoin tidak didedahkan (transaksi hanya mengandungi alamat wallet), namun begitu beberapa kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa ianya tidak mustahil untuk mendapatkan identiti pemilik Bitcoin melalui lejar awam tersebut. Malah, kebanyakan matawang kripto yang ingin berkerjasama dengan kerajaan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sudah mula implementasi sistem KYC (Know Your Customer) untuk mendapatkan maklumat pemilik matawang kripto.

Hakikatnya, transaksi Bitcoin dan kebanyakan matawang kripto lain lebih pseudonymous berbanding anonymous, dan penulis telah pun mengulas tentang anonymity dalam matawang kripto di artikel ini: Apa Sebenarnya Konsep ‘Anonymity’ Dalam Matawang Krypto? Jadi, tidak hairanlah jika beberapa matawang kripto cuba untuk menyelesaikan isu privasi dalam transaksi ini. Penulis telah pun mengulas tentang matawang kripto yang popular kerana sukar untuk dijejaki seperti Monero, Verge dan Dash, dan dalam artikel ini pula penulis ingin berbincang tentang matawang kripto ‘Z’, iaitu Zcoin dan Zcash.

Pengenalan tentang Zcash dan Zcoin

Zcash

Zcash adalah matawang kripto yang mempunyai fungsi yang sama seperti Bitcoin, iaitu sebagai sistem pembayaran digital yang desentralisasi. Namun begitu, ia menggunakan protokol zk-SNARKs yang merupakan akronim bagi “Zero-Knowledge Succinct Non-Interactive Argument of Knowledge“. zk-SNARKs merujuk kepada infrastruktur pengesahan transaksi di mana seseorang individu atau entiti boleh menjadi saksi (prover) kepada sesuatu maklumat (e.g. kunci rahsia), tanpa perlu mendedahkan rahsia itu ataupun melibatkan interaksi antara prover dan verifier (pengesah transaksi).

Zcoin

Zcoin pula adalah matawang kripto yang menggunakan protokol Zerocoin, sesuatu protokol yang pada asalnya adalah sebagai extension kepada protokol sedia ada Bitcoin. Seperti Zcash, Zcoin juga mempunyai fungsi yang sama seperti Bitcoin. Proses transaksi juga adalah sama, perbezaannya adalah protokol Zerocoin melibatkan proses “minting” Zcoin yang dijumpai di lejar awam kepada private coin, atau Zerocoin. Apabila Zerocoin dibelanjakan (tanpa mendedahkan pemilik asal Zcoin atau pemilik baru Zerocoin), ia akan bertukar kembali kepada Zcoin.

Perbezaan Zcash dan Zcoin

Salah satu salah faham paling besar dalam komuniti matawang kripto tentang Zcash dan Zcoin adalah Zcash adalah fork kepada Zcoin. Zcash dilancarkan pada 28 Oktober 2016, manakala Zcoin pula dilancarkan pada 18 Disember 2015. Namun begitu, kedua-duanya menggunakan protokol yang berbeza dan kenyataan paling tepat adalah kedua-dua Zcoin dan Zcash umpama adik-beradik matawang kripto.

Satu perbezaan besar antara Zcash dan Zcoin adalah Zcash menyembunyikan jumlah wang yang dihantar dalam transaksi, dan Zcoin tidak mempunyai fungsi ini.

Protokol zk-SNARKs yang digunakan oleh Zcash menyembunyikan maklumat dalam transaksi dan membolehkan seseorang saksi (prover) membuktikan rahsia itu kepada pengesah transaksi (verifier) tanpa mendedahkan maklumat tersebut. Contohnya dalam kes nombor siri hash yang rambang, prover boleh meyakinkan verifier bahawa nombor siri hash itu wujud tanpa mendedahkan hash itu.

Sifat Zcash itu membolehkan ia mengelak daripada serangan yang telah dirancang kerana penyerang tiada maklumat tentang transaksi Zcash yang akan berlaku sehinggalah ia sudah berlaku.

Protokol Zerocoin pula melibat dua langkah. Pertama adalah langkah untuk “mint Zerocoin“, iaitu apabila Zcoin di lejar awam dimasukkan ke dalam accumulator dan ditukar kepada Zerocoin yang lebih privasi. Langkah kedua adalah “Zerocoin spend” yang membolehkan pemilik Zerocoin tersebut membuktikan bahawa dia memiliki Zerocoin tersebut tanpa mendedahkan yang mana satu Zerocoin miliknya.

Kesan kepada bekalan matawang kripto

Kesannya adalah pada kebolehan bekalan kedua-dua matawang kripto untuk di audit. Apa maksud audit dalam konteks ini? Ia adalah tahap keselamatan sesuatu Blockchain yang bergantung kepada proses pengesahan transaksi: transaksi itu boleh disahkan oleh semua pihak yang terlibat dan ianya tidak memberi kesan kepada jumlah bekalan matawang kripto tersebut.

Dalam kes Zcash, ia adalah satu isu yang seringkali diutarakan dalam komuniti Zcash. Disebabkan protokol zk-SNARKs yang sangat advanced dan kompleks, hanya segelintir pakar kriptografi yang memahami prinsip protokol tersebut. Jika Zcash diserang bug di mana sesiapa sahaja boleh mencipta Zcash baru lebih banyak dari bekalan sedia ada, agak mustahil untuk sesiapa mendapat tahu tentangnya. Terdapat risiko inflasi dalam bekalan Zcash berlaku menyebabkan harga Zcash jatuh mendadak.

Zcoin pula tidak mengalami masalah ini kerana jumlah bekalan Zcoin diselia oleh team pengasas dan mereka boleh membandingkan jumlah transaksi “mint” dengan jumlah transaksi yang dihantar. Jika ia tidak sama, ia bermakna terdapat bug dalam sistem Zcoin dan ianya pernah berlaku pada bulan Februari 2017 apabila penyerang mengeluarkan 370,000 Zcoin baru dan menjualnya di platform pertukaran. Serangan ini berjaya dijumpai oleh team Zcoin tetapi jika ianya berlaku kepada Zcash, mungkin ianya mustahil untuk dijumpai.

Kesimpulan

Walaupun kedua-dua Zcoin dan Zcash dianggap sebagai matawang kripto yang popular dalam memberi privasi transaksi kepada pengguna, Zerocash protokol diwujudkan untuk menambah baik protokol Zerocoin. Zerocash membuang keperluan basecoin, seperti dalam kes Zcoin sebelum boleh menghantar transaksi. Ia juga membuang denominasi Zcoin yang ditetapkan (1,25,50,100) dan akhir sekali, transaksi Zcash dianggap memberi lebih privasi kerana penghantar, penerima dan jumlah dalam transaksi semua disembunyikan.

Namun begitu protokol Zcoin, iaitu RSA encryption yang juga digunakan oleh aplikasi high profile termasuk kewangan, pertahanan, angkasa dan pelbagai sektor lagi dianggap lebih selamat dan teknologi itu telah pun melalui proses peer review sejak tahun 90-an lagi, menjadikan infrastruktur Zcoin lebih dipercayai daripada Zcash. Protokol zk-SNARKs adalah seperti teknologi Blockchain, ianya sesuatu yang sangat baru dalam dunia matawang kripto dan masih lagi perlu diuji keberkesanannya dan juga difahami oleh mereka yang menggunakannya.


 

Maklumat tentang Zcoin

Nama token : Zcoin
Penanda token : XZC
Umur : 2 tahun 8 bulan
Konsep : Privasi dalam Transaksi berasaskan Protokol Zerocoin
Jumlah bekalan : 21,400,000 XZC
Untuk pencipta : 14% daripada XZC yang di mine
Pre-mine : Tiada
Dalam edaran : 5,224,029 XZC
Pencipta : Poramin Insinom
Kelajuan transaksi : 10 minit untuk setiap pembinaan blok baru
Ganjaran Blok : 50 XZC (akan diseparuhkan)
Algorithm : Lyra2z
Protokol konsensus : Proof-of-work
Mining : Ya
Laman web : Zcoin
Whitepaper : Zerocoin Whitepaper

Nilai pada 20 Julai 2018
Modal pasaran (USD) : $88,510,722
Harga (USD) : $16.94

Nilai (BTC) : 0.00227506 BTC

Rank (coinmarketcap) : 108

 

Maklumat tentang Zcash

Nama token : Zcash
Penanda token : ZEC
Umur : 1 tahun 9 bulan
Konsep : Wang Internet yang memberi privasi
Jumlah bekalan : 21,000,000 ZEC
Untuk pencipta : 2,100,000 ZEC
Pre-mine : Tiada
Dalam edaran : 4,393,156 ZEC
Pencipta : Zooko Wilcox
Algorithm : Equihash
Protokol konsensus : Proof-of-work
Mining : Ya
Laman web : Zcash
Whitepaper : Zerocash Whitepaper

Nilai pada 20 Julai 2018
Modal pasaran (USD) : $860,417,224
Harga (USD) : $195.85
Nilai (BTC) : 0.02622790 

Rank (coinmarketcap) : 21

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.