Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

10 Tanda-tanda Anda ‘Gila’ Kripto

Adakah anda seorang yang ‘gila’ kripto? Dalam satu hari, berapa kali anda memeriksa harga matawang kripto anda? Atau anda duduk berjam-jam di hadapan komputer menanti harga matawang kripto melonjak naik ke bulan?

Ini adalah 10 tanda-tanda anda sudah ketagih dengan matawang kripto! Angkat tangan dan kongsi artikel ini jika ini adalah anda.

1. Anda mulakan hari anda dengan membuka CoinMarketCap (atau sewaktu dengannya)

Ini adalah permulaan kepada ketagihan matawang kripto ini. Setiap individu yang memiliki matawang kripto pasti akan membuka laman web seperti CoinMarketCap sekurang-kurangnya sekali di waktu pagi dan sekali sebelum anda tidur. Jika tahap yang lebih ‘gila’ adalah dengan memeriksa setiap 2-3 jam, tetapi yang paling ekstrem adalah membuka satu window kecil CoinMarketCap yang anda sentiasa boleh lihat sambil membuat kerja.

Ada yang lagi teruk ke? Ada yang memang menghadap komputer 24/7 setiap hari untuk melihat pergerakan harga di CoinMarketCap ke?

2. Anda memeriksa harga matawang kripto di mana sahaja anda berada

Selain daripada memeriksa CoinMarketCap untuk memulakan dan mengakhiri hari anda, adakah anda memeriksa harga matawang kripto sewaktu anda dalam perjalanan ke sesuatu tempat, membeli belah atau sebagainya?

3. Anda menetapkan price alert di telefon pintar anda

Dah tak cukup dengan memeriksa harga di CoinMarketCap selang beberapa jam dalam sehari, anda akan menetapkan price alert di telefon anda. Sekarang ini banyak aplikasi yang menawarkan pelbagai jenis price alert boleh didapati.

Harga naik, harga turun, harga bersamaan, harga atas dari, harga bawah dari, kenaikan %, penurunan %, kedudukan di pasaran, dan macam-macam lagi. Malah anda boleh tetapkan kekerapan menerima notifikasi, dari 5 minit ke setiap dua jam.

Yang mana satu price alert yang anda tetapkan?

4. Anda sentiasa memeriksa baki kripto dalam wallet anda

Wallet yang bukan sahaja memaparkan jumlah simpanan matawang kripto, tetapi juga nilainya dalam real-time adalah sesuatu yang menggugat jiwa. Ia menyebabkan anda tidak senang duduk jika tidak memeriksa baki nilai dalam wallet anda.

Yang paling ketagih adalah memeriksanya beberapa jam sehari. Macamlah baki akan bertambah atau berkurang dalam masa beberapa jam, betul tak? Sehinggakan semua benda lain boleh ditinggalkan. Ishh…

Jangan sampai jadi macam ni baru berhenti!

5. Kitaran emosi anda dipengaruhi oleh pasaran kripto

Pernah tak anda memeriksa tekanan darah anda sebelum menyertai dunia matawang kripto? Ada perbezaaan tak selepas menyertainya? Jika anda semakin tertekan, sentiasa resah, mengalami tekanan perasaan, kadang-kadang teruja, kadang-kadang menangis selepas menyertai dunia kripto, jangan risau, anda tidak bersendirian.

Ini adalah asam garam kehidupan seorang pengguna matawang kripto. Tahun 2018 telah menyebabkan ramai pengguna kripto mengalami tekanan jiwa, tapi tiba-tiba pulih bermula April 2019. Ini normal!

Itulah keunikan pasaran matawang kripto buat pesertanya. Jika dahulu menunggu pasaran saham naik dan memberi pulangan keuntungan seperti menunggu ASB memasukkan dividen ke dalam akaun bank anda, tetapi dengan matawang kripto sekelip mata sahaja anda boleh menjadi jutawan baru, ataupun papa kedana.

6. Anda selalu memikirkan bagaimana untuk menambah pelaburan anda

Biasalah bila melihat pelaburan matawang kripto membuahkan hasil, mesti kita ingin memastikan pulangan itu konsisten, atau berkembang dengan baik. Jika dahulu pembahagian gaji adalah kepada ibu bapa, nafkah isteri dan anak, sewa, pinjaman kereta, dan sedikit untuk beli belah barang keperluan, kini sebahagian besar sudah masuk ke kripto. Eh, betul ke?

7. Anda selalu cuba untuk berkongsi tentang kripto kepada keluarga dan rakan-rakan anda

Sudah pasti bila kita mendapat berita gembira kita ingin berkongsinya dengan ahli keluarga dan rakan-rakan kita. Lebih-lebih lagi bila harga Bitcoin sudah melonjak naik melebihi RM30,000, malah RM100,000 seperti sudah dalam bayangan.

Mesti kita mahu orang lain juga mendapat untung seperti kita, betul? Setiap kali lepak dengan rakan-rakan sekerja mesti akan membuka cerita tentang Bitcoin atau matawang kripto lain. Jangan ajak masuk skim ponzi sudah ye!

8. Anda sudah memikirkan apa yang boleh dibeli dengan pulangan pelaburan kripto anda

Proton X70? Mercedes SLK? Apa kelas kan. Setidak-tidaknya terus membeli satu atau dua buah Lamborghini. Itulah matlamat terunggul pelaburan matawang kripto!

Dengan jangkaan harga Bitcoin mencecah puluhan ribu dolar, anda sudah pasti menyimpan idaman untuk memiliki sekurang-kurangnya satu supercar dan rumah, err istana seperti kepunyaan Dato’ Aliff Syukri kan.

9. Anda menanti bila Malaysia akan iktiraf Bitcoin seperti negara lain

Penantian masih belum berakhir di Malaysia. Walaupun baru-baru ini Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi tiga bursa pertukaran matawang kripto, masih tiada pengiktirafan diberikan kepada Bitcoin ataupun matawang kripto lagi.

Sebagai pengguna matawang kripto, semestinya pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap matawang kripto adalah satu berita gembira buat kita.

Bilalah penantian ini akan berakhir.

10. Anda menghabiskan masa anda di bursa pertukaran kripto

Jika anda pedagang kripto sepenuh masa, ini pasti anda. Bagi pengguna lain yang ‘gila’ kripto pun pasti akan menghabiskan masa beberapa jam di bursa pertukaran kripto.

Bonus: Anda gila ‘Crypto Meme’

Jika kesemua tanda-tanda di atas adalah anda, sah-sah anda ‘gila’ kripto! Anda ke arah ‘gila’ kripto jika anda mempunyai lebih dari empat tanda-tanda di atas. Jika langsung tiada tanda-tanda di atas, nampaknya anda masih belum layak dipanggil peminat kripto (haha) dan perlu lebih banyak lagi membaca artikel coin.my atau menyertai perbincangan dalam Telegram group kami.

Apa lagi yang anda tunggu? Jom jadi ‘gila’ kripto!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads