Default – Above Header Ads

6 Perkara Anda Perlu Tahu tentang Pembetulan Pasaran

Adakah anda tahu pembetulan pasaran ini sebenarnya adalah perkara biasa dalam dunia matawang kripto? Ini bukanlah kali pertama harga matawang kripto jatuh mendadak, dan ianya sudah tentu bukan kali terakhir. Malah, kejatuhan pasaran yang direkod paling teruk adalah pada bulan Februari 2018 apabila pasaran kripto kehilangan hampir 70 peratus daripada nilainya.

Dalam tahun 2018 sahaja kita sudah melalui beberapa kitaran pembetulan pasaran, bermula dengan kejatuhan harga Bitcoin daripada harga tertingginya pada Disember 2017. Memandangkan pasaran matawang kripto masih baru, sukar untuk menjangka naik turun harga matawang kripto. Namun begitu, sifat dan pergerakan pasaran matawang kripto seakan-akan pasaran saham, jadi kita boleh andaikan bahawa faktor-faktornya juga lebih kurang sama.

Apa yang kita perlu tahu tentang pembetulan pasaran ini?

1. Pembetulan pasaran sentiasa berlaku

Pasaran yang melibatkan jual beli di mana permintaan dan bekalan yang berubah-ubah adalah dinamik dan tidak statik. Harga atau indeks market akan sentiasa naik dan turun. Kadang-kadang pasaran akan mencapai keuntungan jangka masa pendek dan ini disebabkan psikologi pelabur yang menjangka akan mendapat untung. Kebiasaannya ini berlaku apabila berita positif tentang sesuatu matawang kripto diumumkan, seperti kerjasama dengan kerajaan atau syarikat besar, ataupun produk baru yang dikeluarkan.

Semakin banyak pelabur menyertai trend tersebut, harga matawang kripto akan naik. Dan apabila harga naik terlalu tinggi, pembelian akan mula menjadi perlahan dan segelintir pelabur akan mula menjual simpanan mereka untuk memperoleh keuntungan daripada harga yang naik. Inilah yang dinamakan pembetulan pasaran, dan ia adalah satu kitaran yang berulang-ulang dalam mana-mana pasaran pun.

EXMO affiliate program

Jika kita lihat contoh pasaran saham, laporan daripada Deustche Bank menununjukkan bahawa pasaran saham melalui proses pembetulan setiap 357 hari, atau setahun sekali. Malah menurut laporan, pasaran saham telah masuk ke dalam tempoh pembetulan pasaran awal tahun 2018 apabila indeks DOW (Dow Jones Industrial Average) jatuh lebih 1,100 poin atau 5%, diikuti S&P 500 sebanyak 4.1% dan Nasdaq (3.8%). Pembetulan pasaran saham sebelum ini berlaku pada pertengahan 2015.

2. Pembetulan pasaran adalah indikator terbaik harga sebenar matawang kripto

Kalau kita lihat definisi pembetulan pasaran, ia bermaksud kejatuhan harga sekuriti atau indeks pasaran sekurang-kurangnya 10 peratus, selepas berlakunya kenaikan dalam harga pasaran.

Lihat contoh graf Bitcoin di atas, di mana ia menunjukkan harga Bitcoin naik setinggi lebih USD$19,000 sebelum ia jatuh, dan naik lagi dalam tempoh seterusnya pada awal Januari 2018 sebelum ia memasuki tempoh pembetulan pasaran.

Sama juga dengan harga Ether dalam graf di bawah. Trend harga Ether menyamai Bitcoin semasa dalam tempoh pembetulan pasaran dan kita boleh lihat harganya naik sebelum is jatuh dan berterusan dalam keadaan bearish market.

Kenaikan harga matawang kripto yang mendadak mencerminkan kenaikan permintaan terhadap matawang kripto itu. Sampai satu tahap, harga matawang kripto ini akan menjadi terlalu tinggi untuk dibeli pada waktu itu, dan penurunan harga berlaku kerana kekurangan pembeli dan juga penjualan oleh pelabur. Fenomena ini bukanlah bermaksud matawang kripto itu kehilangan nilai, tetapi lebih kepada matawang kripto itu kembali kepada harga yang stabil, di mana ia menunjukkan harga pasaran sebenar sesuatu matawang kripto.

3. Pembetulan pasaran kebiasaannya tidak kekal lama

Secara amnya, walaupun pembetulan pasaran tidak boleh dielakkan, ianya tidak kekal lama seperti tempoh untuk bull market. Dan kita juga sudah melalui dua pembetulan pasaran kecil dalam pasaran matawang kripto pada Julai dan November sebelum tempoh pembertulan pasaran yang terbaru ini.

Jika kita ambil contoh pasaran saham sekali lagi, dalam penyelidikan yang dibuat oleh MarketWatch ke atas indeks DOW antara tahun 1994 dan 2013, mereka telah mendapati bahawa purata pembetulan berlarutan selama 71.4 hari, atau 14 minggu. Dalam skala yang lebih besar, purata tempoh pembetulan semua pasaran (S&P, Nasdaq, Nikkei dan lain-lain) adalah 87.8 hari, atau 17 minggu. Ini bermakna, tempoh pembetulan pasaran saham adalah antara beberapa minggu ke dua suku tahun.

Memandangkan kita tidak mempunyai data yang mencukupi untuk pasaran matawang kripto, agak sukar untuk menjangka tempoh pembetulan pasaran tetapi perbandingan kepada pasaran saham banyak membantu dalam memberi indikator bahawa kejatuhan matawang kripto kali ini adalah pembetulan, dan bukannya market crash.

4. Ini adalah masa terbaik untuk membeli matawang kripto berkualiti dengan harga yang rendah

Untuk pelabur jangka masa panjang, tempoh pembetulan pasaran adalah waktu terbaik untuk membina portfolio dengan membeli matawang kripto yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Dan secara perlahan-perlahan psikologi pelabur untuk membeli matawang kripto akan mula menaikkan kembali harga matawang kripto.

Memandangkan terdapat lebih 1,500 jenis matawang kripto di pasaran, daripada anda mula menjual simpanan anda dengan panik dan mungkin tanpa memperoleh keuntungan atau pada kadar kerugian, satu alternatif lain adalah membeli matawang kripto lain yang mempunyai potensi jangka masa panjang.

5. Pembetulan pasaran memberi impak kepada pelabur jangka masa pendek

Jika anda seorang yang HODL matawang kripto, pembetulan pasaran mungkin bukan sesuatu yang anda perlu risaukan. Untuk pelabur jangka masa pendek, di mana mereka jual beli matawang kripto mengikut margin, harga turun akan menyebabkan kerugian dan harga naik akan mendatangkan keuntungan, jadi mereka perlu lebih peka dengan pergerakan harga matawang kripto di pasaran.

Tempoh ini juga adalah waktu terbaik untuk anda menganalisa kembali simpanan matawang kripto anda. Tanya pada diri sendiri, adakah kejatuhan harga kali ini lebih teruk dan adakah harganya akan pulih dan melepasi harga tertinggi di masa akan datang? Satu lagi soalan penting adalah: adakah matawang kripto yang anda beli masih lagi mempunyai potensi yang sama? Ingat, satu matawang kripto mendapat permintaan bukan hanya kerana harga yang naik, tetapi juga fungsi dan penggunaannya. Jika jawapan anda masih, “ya”, kekalkan simpanan anda. Jika tidak, mungkin sudah masa untuk anda bertukar ke portfolio yang lain.

6. Sukar untuk menjangka apa yang menyebabkan berlakunya pembetulan pasaran

Seperti dalam artikel-artikel sebelum ini, antara faktor utama harga matawang kripto jatuh adalah tindakan kerajaan mengetatkan pengawalan matawang kripto di negara masing-masing. Setakat ini, ia adalah pengaruh terbesar dalam menetapkan psikologi pelabur-pelabur matawang kripto.

Tetapi ia hanyalah satu faktor kecil dalam perubahan harga matawang kripto. Banyak lagi faktor lain seperti penyertaan syarikat-syarikat pelaburan semakin berkurang, manipulasi pasaran, malah penangguhan operasi yang sementara juga boleh menyebabkan pembetulan pasaran.


Apa yang penting di sini adalah dalam keadaan pasaran yang dinamik, pembetulan pasaran pasti akan berlaku. Jadi, penulis harap dengan mengetahui 6 perkara penting tentang pembetulan pasaran, anda dapat mengurangkan rasa panik dan mengambil strategi terbaik dalam pelaburan anda.

Bagi mereka yang masih lagi risau tentang harga yang rendah, penting untuk lihat ia dari sudut yang berbeza. Harga Bitcoin dan keseluruhan kapital pasaran matawang kripto masih lagi lebih tinggi daripada keadaannya tiga bulan yang lalu. Harga terendah tempoh yang lalu (Januari-April 2018), iaitu ±USD$6,200 masih lagi belum melepasi harga Bitcoin pada bulan November 2017, dan memandangkan trajektori yang semakin menaik (harga Bitcoin ketika itu USD$8,000) kita boleh menjangka harga Bitcoin akan naik kembali dalam jangka masa panjang.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.