Adakah Sifat Bitcoin yang Deflationary Sesuatu yang Baik?
Kewujudan Bitcoin sebagai alternatif kepada sistem pembayaran menggunakan matawang fiat telah membawa kepada pelbagai hujah mengenai kelebihan matawang kripto berbanding matawang fiat. Dan salah satu hujah yang sering kali digunakan adalah sifat Bitcoin yang deflationary.
Sebelum kita berbincang tentang adakah deflationary sesuatu yang baik, mari kita melihat definisi inflasi dan deflasi dahulu.
Konsep inflasi
Kedua-dua konsep ini merujuk kepada perubahan dalam kuasa pembelian pengguna sama ada individu, negara atau global. Inflasi adalah apabila kuasa pembelian berkurang disebabkan harga meningkat; deflasi pula melambangkan kenaikan dalam kuasa pembelian disebabkan harga yang menurun.
Kuasa pembelian? Apa tu?
Mari penulis beri anda satu contoh. Berapa harga nasi lemak pada hari ini? Mari kita anggarkan harganya adalah RM3.50. Tetapi 20 tahun yang lalu, sebungkus nasi lemak mungkin hanya berharga RM1 sahaja. Seperti yang kita lihat, kuasa pembelian kita telah berkurang disebabkan harga barang meningkat, atau jika dilihat dari sudut lain, nilai matawang kita jatuh.
Kalau dalam teori, inflasi boleh berlaku kerana dua sebab, namun hanya satu sahaja yang pernah dialami oleh dunia. Senario pertama adalah berlakunya inflasi kerana permintaan untuk wang jatuh di bawah bekalannya. Ini bermakna, terlalu banyak wang lebih daripada apa yang orang mahu. Ini menyebabkan orang ramai mula membelanjakan wang untuk apa sahaja demi untuk membuang wang yang sudah tidak bernilai, yang akan menyebabkan harga barangan naik. Senario ini tidak pernah lagi berlaku.
Senario yang kedua yang selalu berlaku adalah di mana kerajaan atau bank pusat menambah bekalan matawang dalam peredaran mengikut polisi kewangan yang telah ditetapkan. Kenaikan dalam bekalan ini membawa kepada lebih banyak wang yang boleh digunakan untuk membeli jumlah barangan yang sama. Disebabkan permintaan yang meningkat (dengan adanya lebih banyak wang), harga barangan akan meningkat dan inflasi berlaku.
Konsep deflasi
Deflasi pula boleh berlaku kerana tiga sebab, dan ketiga-tiganya pernah berlaku dalam sejarah. Senario pertama adalah apabila harga barangan jatuh kerana inovasi dan peningkatan dalam persaingan dalam ekonomi. Bekalan akan bertambah apabila modal tertumpu kepada keusahawanan paling menguntungkan dan struktur pengeluaran diselaraskan, dan ini menyebabkan harga barangan menurun.
Senario yang kedua pula ia apabila permintaan wang melebihi bekalan yang ada ketika itu, atau bekalan wang berkurangan sehingga tidak memenuhi keperluan permintaan wang. Ini berlaku kebiasaannya kerana kerajaan atau bank pusat dengan sengaja mengetatkan peredaran bekala wang melalui kenaikan cukai atau pengurangan kredit.
Senario yang terakhir adalah apabila berlakunya kekurangan bekalan wang kerana matawang itu hilang atau dihapuskan. Senario ini telah berlaku semasa Peperangan Saudara Amerika; Konfederat telah mengalami hiperinflasi, jadi kerajaan persekutuan ketika itu mula mengenakan cukai dan menghapuskan wang yang diperolehi melalui cukai itu.
Bitcoin sebagai matawang yang deflasi
Sekarang kita sudah mengenali tentang konsep inflasi dan deflasi, mari kita lihat Bitcoin yang dikatakan adalah matawang yang deflasi. Apa yang menjadikan ia bersifat deflasi?
Salah satu jaminan Bitcoin adalah jadual pengeluaran Bitcoin telah ditetapkan dan boleh dijangka. Daripada awal rangkaian blockchain Bitcoin, 50 BTC dikeluarkan setiap 10 minit (sebagai ganjaran kepada pelombong), dan kadar itu akan dibahagikan dua setiap lebih kurang empat tahun. Carta di bawah menunjukkan jumlah yang dikeluarkan sepanjang masa dan juga kadar perubahan inflasi.
Jadi, dari segi reka bentuk Bitcoin, sememangnya ia direka untuk bersifat deflasi. Apa yang tidak boleh dikawal melalui protokol Bitcoin adalah pergerakan dalam permintaan terhadap Bitcoin di pasaran, dan bagaimana ia menjejaskan nilai Bitcoin walaupun bekalan Bitcoin adalah terhad.
Sifat deflasi Bitcoin ini tiada kena mengena dengan naik turun harga Bitcoin dalam pasaran. Ada yang menganggap jika Bitcoin bersifat. deflasi, maka nilainya akan sentiasa meningkat. Tetapi anggapan ini adalah salah; kejatuhan nilai Bitcoin tidak bermakna berlakunya inflasi, kerana ia berkaitan dengan analisa harga, dan bukan analisa ekonomi Bitcoin secara menyeluruh.
Berbalik kepada carta di atas, kita boleh melihat bahawa semakin Bitcoin mendekati bekalan maksimanya, peratusan inflasi akan semakin mengecil menunjukkan Bitcoin memang bersifat deflasi.
Adakah sifat deflasi Bitcoin sesuatu yang baik untuk ekonomi?
Persoalannya kini adalah sama ada sifat deflasi Bitcoin ini sesuatu yang baik ataupun tidak untuk ekonomi. Untuk menjawab persoalan ini, kita akan melihat hujah kedua-dua pro-inflasi dan pro-deflasi.
Hujah pro-inflasi
Mereka yang pro-inflasi datang dari pemikiran ekonomi Keynesian. Hujah terkuat mereka adalah bahawa bekalan wang perlu berada dalam keadaan yang sentiasa mempunyai sedikit inflasi untuk mengimbangi kecenderungan pasaran untuk melalui deflasi, kerana menurut mereka, mustahil untuk pasaran kembali kepada keadaan seimbang tanpa kawalan.
Tambahan lagi, penyokong Keynesian juga beranggapan bahawa jika pasaran dan peredaran wang tidak terkawal, terdapat potensi untuk “deflationary death spiral.” Ia adalah apabila deflasi berlaku dengan cepat kerana kononnya pengguna akan berhenti berbelanja kerana ingin menyimpan wang mereka supaya nilai matawang akan meningkat.
Keadaan ini menyebabkan satu rantaian reaksi; penyimpanan wang menyebabkan nilai matawang meningkat, menggalakkan lebih banyak penyimpanan, menyebabkan harga barangan semakin jatuh tetapi tiada siapa yang membelinya, perniagaan tidak mendapat keuntungan, kadar pengangguran meningkat dan akhirnya ekonomi terjejas.
Jadi, penyelesaiannya adalah dengan mengekalkan kadar inflasi yang sihat, yang dipercayai adalah pada kadar 2%, untuk mengatasi kecenderungan deflasi dan mengekalkan kestabilan kuasa pembelian.
Hujah pro-deflasi
Mereka yang menganggap deflasi sesuatu yang baik dalam ekonomi pula adalah dari pemikiran ekonomi Austria. Mereka memberi hujah bahawa deflasi dan kemudiannya penurunan harga adalah isyarat peralihan permintaan dalam pasaran. Dalam tempoh berlakunya deflasi, individu akan cenderung untuk menyimpan wang mereka. Ini akan merendahkan kadar faedah, menjadikan pelaburan lebih murah dan menyebabkan peralihan dalam struktur pengeluaran untuk lebih fokus kepada inovasi produk berbanding pengeluaran produk semasa sahaja.
Menurut golongan pro-deflasi, kaedah penyimpanan melalui deflasi adalah cara ekonomi akan berkembang; ini adalah kerana pelaburan adalah umpama enjin yang meningkatkan produktiviti, justeru itu meningkatkan kualiti kehidupan populasi dalam sesebuah negara.
Tambahan lagi, menurut golongan ini, kejadian “deflationary death spiral” yang dikatakan oleh mereka yang pro-infasi hanya boleh wujud dalam keadaan yang sangat spesifik: dalam ekonomi yang mempunyai leverage yang tinggi (kerana hutang) dan apabila sebahagian besar bekalan dicipta melalui kaedah fractional reserve bank.
Contohnya, menambah bekalan wang dan bukannya cuba untuk mengurangkan kos perniagaan, akan menyebabkan kejatuhan nilai wang. Atau jika bank kekurangan wang kerana gagal mengurus perdagangan stok dan derivatif dengan baik, mereka akan pergi ke Bank Negara yang akan menjadi peminjam untuk menyelamatkan mereka dan bukannya menutup bank itu.
Kesimpulan
Melihat kepada hujah-hujah di atas kita boleh katakan bahawa kedua-dua inflasi dan deflasi membawa kelebihan dan keburukan kepada ekonomi. Apa yang pasti, satu matawang dalam ekonomi yang mengalami deflasi boleh menjadi tempat penyimpanan nilai dan juga sebagai medium pertukaran. Dan inilah fungsi Bitcoin. Dalam jangka masa panjang, sifat deflasi Bitcoin adalah sesuatu yang baik untuk mencapai nilai yang tinggi selagi terdapat permintaan terhadap matawang digital.