Anda tahu apa itu SegWit2x dan apa kaitan ia dengan Bitcoin?
Baru-baru ini kita digegarkan dengan berita tentang kejatuhan harga matawang krypto. Hampir semua matawang krypto mengalami penurunan harga yang teruk selama lebih kurang seminggu. Ramai yang membuat spekulasi bahawa harga jatuh disebabkan protokol SegWit2X.
Sebelum ini penulis telah menerbitkan post yang mengulas tentang kejatuhan harga matawang krypto ini. Dalam post ini, penulis bercakap tentang 3 sebab yang mungkin telah menyebabkan harga matawang krypto turun secara mendadak. Anda boleh membaca post itu di sini.
Minggu ini harga matawang krypto dilihat semakin pulih. Harga bitcoin naik sebanyak 15% pada Khamis lalu, menunjukkan kenaikan lebih USD$316 dalam masa 24 jam. Buat pengetahuan anda, harga bitcoin jatuh teruk sehingga USD$1,863 pada Ahad lepas. Semasa waktu penulisan, harga Bitcoin adalah USD$2,754.
SegWit2x dan Bitcoin Split
Adakah anda peka dengan isu yang dialami bitcoin? Kebelakangan ini kita sering dengar istilah ‘SegWit2x’ dan ‘split‘ dilontarkan apabila bercakap tentang bitcoin. Apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam komuniti bitcoin sekarang?
Sebenarnya, isu berkaitan scalability ini telah lama dibincangkan dalam komuniti bitcoin. Struktur blockchain, teknologi yang mengasaskan bitcoin mempunyai had maklumat yang boleh dimuatnaik ke dalam blok, iaitu hanya 1MB. Dan ini menyebabkan jumlah transaksi yang boleh dimuatnaik ke dalam satu blok juga terhad (dalam 3 transaksi setiap saat).
Dengan had-had ini, ditambah pula dengan populariti bitcoin yang semakin menular itu, lama-kelamaan masalah mula timbul dalam transaksi bitcoin. Fi yang dikenakan ke atas setiap transaksi naik secara mendadak kerana pemilik bitcoin bersaing sesama sendiri untuk memastikan transaksi mereka diterima dalam blok setiap 10 minit. Selain daripada itu, masa untuk memproses blok juga bertambah kerana had ini.
Perbezaan ideologi
Semua pengguna di dalam komuniti bitcoin ingin mencari satu jalan penyelesaian. Bagi kumpulan miners, apa yang mereka inginkan adalah peningkatan saiz blok. Had-had yang ada menyebabkan kapasiti mereka untuk memproses transaksi tidak digunakan sepenuhnya, dan ini membawa kerugian yang besar bagi mereka. Tidak hairanlah, kerana mereka yang melabur beribu-ribu untuk peralatan mining rig.
Sebaliknya, misi kumpulan Core iaitu developers yang dianggap sangat penting dalam menbentuk dan menguruskan software bitcoin agak berbeza. Mereka lebih cenderung untuk meningkatkan kapasiti bitcoin dengan menyediakan tempat penyimpanan baru untuk sesetengah maklumat dalam transaksi. Dengan ini, setiap blok boleh menerima lebih banyak transaksi pada sesuatu masa.
Core developer Pieter Wuille adalah orang pertama yang mencadangkan SegWit sebagai BIP, atau Bitcoin Improvement Proposal pada tahun 2015. Ketika itu, Pieter bukanlah ingin menyelesaikan isu scalabiility bitcoin, tetapi sebagai penambahan keselamatan kepada setiap transaksi. Salah satu kesan sampingan protokol ini adalah saiz transaksi akan dikecilkan. Namun begitu, cadangan ini mendaoat tentangan hebat daripada kumpulan miners, khususnya syarikat mining besar di China seperti Antpool. Ini adalah kerana mereka tidak setuju dengan roadmap kumpulan Core ketika itu.
Kompromi dengan SegWit2x
Selepas satu mesyuarat yang diadakan pada bulan Mei, sekumpulan miners dan usahawan tampil dengan cadangan SegWit2x. SegWit2x menggunakan mekanisme yang sama dengan SegWit tetapi lebih memberi penekanan kepada pembesaran saiz dan kapasiti blok (dari 1MB ke 2MB).
Menurut garis masa di bawah, SegWit2x sudah pun mula diaktifkan. Dan jika pada 1 Ogos, SegWit2x tidak mendapat sokongan lebih dari 50% daripada miners dan bisnes bitcoin yang lain, bitcoin akan dipecahkan.
Setakat ini, sokongan terhadap SegWit2x dilihat sangat positif. Dan BIP91 di locked in bermakna lebih 80% daripada miners telah memberi isyarat kesediaan untuk mengaktifkan SegWit2x.
Nampaknya, isyarat daripada miners ini menandakan Bitcoin berkemungkinan akan kekal sabagai satu matawang krypto. Apa pendapat anda?