Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Bitcoin: Matawang, Komoditi, Sekuriti atau Identiti Baru? Satu Perbincangan Minda Syariah (Bahagian IV)

Kita sudah melihat sedikit sebanyak kelebihan dan kekurangan Bitcoin atau matawang kripto. Inilah sifat makhluk Allah SWT yang tidak sempurna, tidak seperti zat dan sifat Allah SWT yang mulia lagi sempurna. Diantara kelebihan Bitcoin dan matawang kripto ialah ianya disokong oleh satu teknologi, dan cara peningkatan serta pengukuhan sekuritinya yang amat mampan iaitu secara open dan distributed ledger. Ianya telus dan sukar atau hampir mustahil untuk digodam.

Dalam konteks ini, ia boleh mengawal tindakan tidak sihat perpindahan wang atau harta secara tidak sah kerana ia boleh mengesan diri pemindah dan penerima. Ini bertentangan dengan kefahaman atau andaian ramai orang bahawa matawang kripto dan teknologi kripto menyumbang kepada tindakan tidak sihat seperti money laundering. Sesungguhnya ilmu dan fatwa tidak boleh terbina di atas andaian dan kejahilan atau pun keilmuan yang separuh masak.

Memang betul matawang kripto lebih mudah untuk dipindahkan tanpa kawal selia mana-mana pihak penguasa disebabkan ia adalah matawang digital tetapi teknologi kripto dan hash yang sudah sebati dengan matawang kripto boleh juga diaktifkan (dengan mudah) untuk mengawal dan melakukan jejak GPS kepada setiap pergerakan mata wang kripto. Ianya lebih cekap dan bijaksana berbanding pemantauan GPS kepada wang fiat dalam aspek pengawasan dan traceability. Sebagaimana pihak berkuasa berjaya menjejak jenayah “Silk Road” beberapa tahun lalu sehingga tumbang sindiket dadah yang menggunakan Bitcoin sebagai medium transaksi.

Berbeza dengan kehilangan berbilion dollar dalam bentuk matawang fiat yang masih belum ditemui sehingga hari ini. Walaupun penjenayah dapat ditangkap dan didakwa, namun dalam kebanyakan kes, jumlah yang dicuri tidak dapat dijejaki kerana sudah dipindahkan atau ditukar kepada matawang lain. Ini adalah kelemahan matawang fiat yang tiada elemen keselamatan dan traceability. Contohnya, kes kecurian sebanyak 300 juta yen yang berlaku pada tahun 1968 di Jepun, atau kes kecurian di lapangan terbang John F. Kennedy pada tahun 1978 yang menyebabkan kecurian melebihi USD$5.8 juta pada waktu itu. Dan dalam kes tersebut, polis tidak berjaya menjejaki matawang yang telah ditukar di luar negara, dan akhirnya hanya USD$20,000 berjaya ditemui apabila salah seorang suspek ditangkap.

Diantara kekurangan Bitcoin atau matawang kripto pula adalah ianya tidak dikawal selia oleh negara (melainkan negara yang telah memperakui dan meletakkan kawal selia tertentu). Dalam konteks ini, pemegang mana-mana matawang kripto tidak boleh menuntut kembali harga muka sesuatu coin (seperti RM1,000 untuk matawang yang bernilai RM1,000). Ini adalah kerana matawang kripto tidak mempunyai sebarang nilai muka seperti matawang fiat yang sudah tercetak nilai muka wang tersebut. Dalam hal ini, Bitcoin amat menyerupai saham yang dikeluarkan oleh syarikat tersenarai.

Kalau seseorang telah membeli satu unit matawang kripto dengan harga RM1,000, dia mungkin tidak dapat semula nilai RM1,000 apabila dia menjual matawang kripto yang dibeli dan dimiliki olehnya kepada orang lain. Atas alasan ini, terdapat sebahagian para ulamak Islam telah memberikan status haram kepada Bitcoin dan matawang kripto yang lain. Saya berpandangan bahawa fatwa sedemikian adalah pandangan dan hujah yang tersasar. Kalau emas atau perak dijadikan matawang sekalipun, mungkin nilainya akan berubah berdasarkan perubahan iklim dan keadaan. Ringkasnya, emas dan perak pun tidak mempunyai nilai muka yang berbeza dengan wang fiat.

Manakala faktor yang mungkin menjadi positif atau negatif (berdasarkan pertimbangan masing-masing) adalah fakta bahawa matawang kripto tidak boleh dikawal selia oleh mana-mana agensi berkuasa. Ia menjadi satu matawang atau alat pertukaran yang tidak ada sempadan dan penguasa. Ini dinamakan sebagai fenomena “decentralised” yang berbeza dengan fenomena zaman sekarang yang lebih mirip kepada kawalan kuasa pusat iaitu “centralised”. Ada yang melihat fenomena ini sebagai faktor positif khususnya kepada pendukung matawang kripto dan kebebasan berinteraksi dan bertranskasi tetapi ada juga yang melihatnya sebagai perkara yang merbahaya yang mungkin akan menyebabkan runtuhnya sistem kawalan (kewangan) berpusat. Banyak agensi mungkin tidak lagi relevan sekiranya sistem hidup dunia beralih kepada sistem tiada kawalan berpusat.

Default – Inside Post Ads

Terserah kepada anda untuk menilai isu ini. Bagi saya – berdasarkan minda Syariah saya – isu ini adalah isu yang neutral iaitu tidak ada apa-apa hukum tertentu. Kedua-duanya adalah tidak salah dan dibenarkan. Sebelum timbulnya matawang kripto, manusia pun sudah beralih kepada satu sistem yang langsung tidak melibatkan sebarang perantaraan atau kawal selian mana-mana pihak. Zaman ini dikenali sebagai zaman transaksi “peer to peer” iaitu kita boleh dan berhak untuk berinteraksi dan bertransaksi secara langsung dengan pihak yang lain sama ada pihak perseorangan atau pihak korporat dan hubungan sosial media, crowd funding, zakat, sedekah dan mana-mana perkhidmatan yang ingin diberi atau diterima seperti pendidikan, nasihat perubatan dan perundangan dan segala macam interaksi sesama manusia.

Semuanya ini menjadi mudah melalui teknologi internet (Internet-of-Things). Namun, berita buruk atau berita baik tentang perkara ini adalah zaman internet baru sahaja bermula di fasa permulaan. Banyak lagi bentuk teknologi perhubungan secara langsung akan berlaku di masa hadapan melibatkan hampir semua transaksi manusia termasuklah konsep mata wang, sekuriti atau jaminan, perkhidmatan dalam pelbagai bidang malah akan merangkumi aktiviti pendanaan, pemilihan suara untuk pilihanraya dan juga kenaikan pangkat.

Masalah utama kepada minda Syariah ialah Bitcoin (dan juga matawang kripto yang lain) mempunyai semua aspek ini seperti aspek kematawangan, alat penyelesaian harga bayaran, aspek barang dan komoditi, aspek sekuriti yang kukuh dan aspek kemudahan perpindahan secara alam maya atau digital dengan pantas sekali. Mata wang fiat dan emas tidak mempunyai semua aspek ini (dengan pengecualian emas yang mempunyai nilai instrinsik). Saya sudah lama menjejaki perbincangan tentang Bitcoin dan matawang kripto dan saya mempunyai pandangan sendiri tentang sifat dan DNA Bitcoin atau matawang kripto ini.

Apakah konklusi minda Syariah saya?

Saya secara peribadi, dengan hormat kepada semua ulamak dan pakar kesarjanaan Islam, berpendapat bahawa Bitcoin dan matawang kripto bukanlah satu jenis mawatang. Ia adalah satu komoditi yang unik dan baru yang mempunyai nilai tersendiri (disebabkan teknologi kriptografi dan block-chain). Ia bukanlah wang dan ia juga bukanlah hutang (liability on demand). Dalam masa yang sama, disebabkan permintaan kepada Bitcoin dan matawang kripto adalah naik turun di sebabkan pelbagai faktor (yang juga berlaku kepada wang fiat, saham, bon atau sukuk, hartanah, emas dan komoditi yang lain), ia dengan secara tidak langsung boleh menjadi alat pelaburan untuk tujuan mengambil keuntungan dari perubahan harga (dengan turut juga mengambil risiko pelaburan). Namun, ianya bukanlah saham (melainkan dalam kes ICO yang bersandarkan aktiviti perlaburan tertentu yang akan dibincangkan dalam siri terakhir).

Oleh kerana ia mempunyai nilai dalam pasaran disebabkan ada unsur permintaan dan penawaran, ia juga secara tidak langsung boleh digunakan sebagai alat pertukaran sama ada sebagai harga kepada matawang fiat yang lain atau coin yang lain (yang juga merupakan satu barang atau komoditi) atau kepada mana-mana barang dan perkhidmatan. Ini adalah teori minda Syariah saya berhubung matawang kripto. Di artikel terakhir nanti, insyaAllah saya akan perjelaskan kenapa – dari sudut pandang Syariah – matawang kripto perlu dilihat sebagai komoditi atau barang (walaupun diberikan nama oleh masyarakat dunia sebagai coin atau mawatang kripto). Ikuti bahagian kelima dan terakhir siri penjelasan minda Syariah nanti berhubung kedudukan bitcoin sebagai barang atau komoditi digital.

Datuk Dr Mohd Daud Bakar

Pandangan dalam artikel ini tidak semestinya mengambarkan pandangan mana-mana institusi dan organisasi yang mungkin penulis terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.