Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Kenapa Bitcoin Tidak digunakan Secara Meluas

Walaupun hampir seluruh dunia sudah tahu tentang kewujudan matawang kripto dan harga matawang kripto yang naik dengan tiba-tiba membuktikan penerimaan ramai, kita masih belum dapat melihat matawang kripto digunakan dalam kehidupan seharian kita. Bitcoin, perintis matawang kripto, lebih banyak digunakan dalam pertukaran fiat-kripto daripada untuk membeli produk di dunia sebenar.

Hakikatnya ramai yang memiliki matawang kripto sebagai pelaburan semata-mata. Jika kita ingin membandingkannya dengan matawang fiat, matawang kripto adalah umpama komoditi seperti yang didagangkan di pasaran FOREX atau pasaran kewangan lain. 

Cuba lihat gambar rajah di atas yang membandingkan jumlah wang dan pasaran di dunia, pasaran matawang kripto tidak sampai 1 peratus daripada jumlah wang dalam peredaran seluruh dunia. Logik lah, memandangkan jumlah setiap matawang kripto yang dicipta selalunya terhad. Tetapi persoalan yang lebih penting adalah mengapa matawang kripto tidak digunakan secara meluas, dan adakah satu hari nanti ia akan menembusi dunia sebenar dan bukan hanya sebagai alat pelaburan sahaja?

Dalam artikel kali ini, penulis akan fokus kepada faktor yang menghalang Bitcoin daripada digunakan secara meluas. Kenapa Bitcoin? Kita tidak menafikan bahawa Bitcoin lah yang membuka mata dunia kepada matawang kripto dan walaupun banyak lagi matawang kripto yang dianggap lebih bagus dan sesuai daripada Bitcoin, potensi Bitcoin untuk menjadi pilihan pertama jika suatu hari nanti dunia mula menggunakan matawang kripto dalam urusan harian adalah lebih tinggi berbanding matawang kripto lain.

Faktor yang menghalang Bitcoin daripada digunakan secara Meluas

Sebenarnya ada sahaja perniagaan yang menerima Bitcoin sebagai bayaran, tetapi jumlahnya sangat tidak signifikan. Banyak faktor yang menghalang Bitcoin daripada digunakan secara meluas dan penulis akan cuba merungkai satu-persatu.

Ia bukan sesuatu yang sah (legal tender)

Kita tidak boleh nafikan bahawa ini adalah faktor terbesar Bitcoin tidak dapat menembusi dunia sebenar. Sebaliknya, matawang fiat setiap negara adalah sah dan boleh digunakan untuk melangsaikan hutang negara atau persendirian. Kreditor perlu menerima bayaran yang sah untuk pelangsaian hutang. Kita juga perlu menerima gaji dalam bentuk matawang fiat untuk membeli belah atau menyimpan deposit di bank mahupun KWSP.

Ramai yang masih menganggap matawang fiat yang mendapat endorsement daripada kerajaan mempunyai jaminan tentang nilainya berbanding matawang krypto yang bersandarkan kod di komputer dan teknologi yang sukar untuk difahami. Tambahan lagi, apa-apa yang berlaku dalam dunia matawang kripto seperti kecurian tidak boleh diambil tindakan undang-undang, membuatkan banyak perniagaan tidak mahu mengambil risiko dengan Bitcoin.

Perubahan harga mendadak tidak sesuai untuk kegunaan harian

Kita sedia tahu harga Bitcoin dan matawang kripto lain tidak konsisten dan sukar dijangka. Dalam masa beberapa jam sahaja harga matawang kripto boleh berubah secara mendadak. Kalau kita lihat sejarah Bitcoin, harganya naik dari USD$50 ke USD$350 dalam masa sebulan sahaja antara Mac dan April 2013, dan turun secara mendadak ke USD$70. Ia pernah memecah rekod pada Disember 2017 sehingga hampir $20,000 dan kemudiannya jatuh secara mendadak sepanjang tahun 2018.

Harga Bitcoin yang sentiasa berubah ini mencerminkan aktiviti pelabur yang membuat spekulasi tentang harga Bitcoin, dan bukannya peningkatan permintaan kerana transaksi bertambah antara perniagaan dan pelanggan mereka. Betul bukan? Apabila rata-rata pemilik Bitcoin adalah pelabur yang membuat spekulasi, sudah tentu orang ramai juga akan mempunyai insentif untuk menyimpan Bitcoin, bukannya membelanjakan Bitcoin untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Ini adalah bercanggah dengan apa yang berlaku dengan matawang fiat, lebih banyak kita menggunakan matawang fiat sebagai kaedah pembayaran, nilainya juga akan bertamabah.

Ciri Bitcoin yang deflationary menjejas ekonomi negara

Dalam senario di mana Bitcoin digunakan secara meluas, jumlah Bitcoin yang hanya 21 juta akan menyebabkan permintaan terhadap Bitcoin semakin tinggi, dan harga Bitcoin juga akan bertambah. Kesannya, harga barangan dan perkhidmatan dalam Bitcoin akan semakin menurun, betul? Dan dalam keadaan itu, lebih banyak insentif untuk menyimpan Bitcoin (kerana nilai yang bertambah) daripada membelanjakannya, menyebabkan jumlah transaksi jatuh.

Apa kesannya? Lama-kelamaan situasi ini akan menyebabkan kadar deflasi yang sangat tinggi sehingga keadaan ekonomi juga terjejas dan semakin ramai yang tidak mempunyai kerja.

Pernahkah anda terbayang mengapa interest rate berubah? Ini adalah salah satu langkah Bank Negara dalam polisi kewangan negara untuk mengawal kadar inflasi dan juga nilai ringgit kita. Ini adalah bukti betapa pentingnya kadar elasticity matawang fiat, di mana bekalan bertambah dan berkurang mengikut keperluan sesebuah negara.

Kadar keselamatan Bitcoin tidak menyeluruh

Teknologi Blockchain memastikan Bitcoin atau matawang kripto lain tidak boleh dipalsukan seperti matawang fiat. Sistem transaksi Bitcoin, iaitu proses penciptaan blok dan pengesahan transaksi juga hampir mustahil untuk digodam dan diambil alih penggodam untuk mencuri Bitcoin, menjadikan rangkaian Bitcoin antara yang paling selamat untuk menjalankan transaksi.

Namun begitu, kebanyakan wallet dan platform pertukaran tidak menggunakan teknologi blockchain, mereka hanya menjadi host kepada Bitcoin atau pertukaran Bitcoin. Maka tidak hairan jika berlaku kecurian Bitcoin dengan cara penggodam masuk ke dalam sistem mereka dan menukar alamat Bitcoin. Penulis sudah menulis beberapa artikel tentang kecurian yang berlaku yang melibatkan Bitcoin.

Tambahan lagi, tanpa sokongan undang-undang, risiko kerugian berjuta-juta untuk selama-lamanya menyebabkan ramai yang lebih yakin dengan matawang fiat yang dijamin kerajaan, dan juga pelaburan tradisional seperti emas dan saham.

Kesimpulan

Faktor-faktor di atas adalah antara faktor terbesar menghalang Bitcoin daripada digunakan secara meluas, tetapi penulis pasti banyak lagi faktor yang ada. Buat masa sekarang kita dapat lihat mereka yang mula menyertai dunia matawang kripto dengan niat untuk melabur dan membuat spekulasi. Dan insentif untuk HODL matawang kripto sehingga harga naik lebih besar bagi pelabur-pelabur ini.

Tetapi penulis yakin pada masa akan datang, matawang kripto akan menjadi mekanisme sesebuah negara untuk tujuan mengembangkan ekonomi. Lihatlah Estonia, negara pertama yang menawarkan program e-residency dan juga dalam perancangan mencipta matawang krypto negara itu sendiri. Banyak lagi negara lain termasuk China, Rusia dan lain-lain yang sudah mula menyelidik potensi matawang kripto sebagai matawang digital nasional. Mana tahu menjelang 2030, akan wujud matawang kripto nasional di negara kita sendiri?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.